Aksi Chilwell Tolak Pingat CWC Kerana Tak Pernah Beraksi Mencuri Perhatian Peminat

Reaksi Ben Chilwell menolak untuk menerima pingat kemenangan FIFA Club World Cup mencuri perhatian peminat.

Chelsea berjaya memenangi gelaran FIFA Club World Cup pertama dalam sejarah mereka selepas menewaskan Palmeiras 2-1 dalam aksi perlawanan akhir di Abu Dhabi.

Ia merupakan detik yang sangat menggembirakan untuk para penyokong Chelsea, kerana mereka kini boleh dikatakan sudah memenangi segalanya yang boleh dimenangi oleh kelab.

Romelu Lukaku dan Kai Havertz merupakan penjaring gol yang membantu Chelsea untuk bergelar Juara dunia, sementara Raphael Viega pula berjaya catat nama sebagai penjaring gol untuk Palmeiras.

Ketika sesi penyampaian hadiah, Ben Chilwell bersama Reece James bersama-sama naik ke pentas dan dalam fikiran mereka, mereka hanya naik dan bersalaman sahaja dengan VVIP.

Ketika Chilwell mahu dikalungkan dengan pingat, beliau menolak dan seolah-olah sedang memberitahu bahawa beliau langsung tidak terlibat dengan pertandingan tersebut.

Chilwell kemudian tetap dikalungkan dengan pingat tersebut dan beliau menerimanya sambil tersenyum lalu meneruskan perjalanannya meninggalkan pentas.

Beliau dibelenggu masalah kecederaan lutut ketika aksi bertemu Juventus dalam saingan Champions League pada November lalu, dan berkemungkinan akan berehat sehingga penghujung musim ini.

Dek kerana merasakan dirinya sedang cedera dan memang tidak disenaraikan dalam skuad FIFA Club World Cup, maka kerana itulah beliau anggap dirinya tak layak untuk terima pingat tersebut.

Reaksi comel beliau menolak menerima pingat itu mencuri perhatian peminat, dengan ramai yang memuji serta menegaskan yang beliau sebenarnya lebih dari layak untuk mendapat pingat tersebut.

Ia kerana beliau merupakan antara nadi penting yang membantu Chelsea memenangi gelaran Champions League pada musim lalu, dan kerana itu jugalah The Blues melayakkan diri untuk beraksi dalam saingan FIFA Club World Cup.

Kejohanan Piala Dunia kelab ini sememangnya dianggap besar untuk kebanyakan kelab apa lagi memikirkan mereka beraksi di pertandingan tersebut sebagai wakil benua masing-masing.

Sudah tentu para pemenang akan meraikan kejayaan mereka itu dengan sehabis bahagia.

Namun begitu, bukan semua pihak boleh menerima FIFA Club World Cup sebagai satu kejohanan besar apa lagi kerana mereka tak pernah berpeluang untuk beraksi di kejohanan tersebut.

Bekas bintang Chelsea, Craig Burley dengan tiba-tiba tampil dan menghentam bekas kelabnya kerana terlalu berlebih-lebihan meraikan kejayaan menjuarai saingan FIFA Club World Cup.

Burley anggap Chelsea berlebih-lebihan meraikan kejayaan Piala tak berguna

Penyampai ESPN, Craig Burley tampil mengkritik Chelsea kerana meraikan kejayaan mereka menjuarai saingan FIFA Club World Cup secara berlebih-lebihan menurutnya.

Beliau menghentam bekas kelabnya itu dan turut memberi amaran kepada Chelsea supaya lebih memberikan tumpuan kepada pencapaian Manchester City yang sedang mendahului saingan liga pada ketika ini.

The Blues berjaya menewaskan Palmeiras 2-1 kemarin, seterusnya mengesahkan kejayaan mereka buat pertama kalinya muncul sebagai Juara FIFA Club World Cup dalam sejarah kelab.

Burley walau bagaimanapun menghentam bekas kelabnya itu kerana terlampau bersungguh-sungguh meraikan kejayaan mereka memenangi pertandingan tersebut.

Beliau menghentam Chelsea secara langsung dan turut mengkritik Romelu Lukaku dan Kai Havertz.

Dalam kenyataannya, Burley menyatakan bahawa:

“Saya bahkan langsung tak tengok pertandingan ini kerana saya rasa ia mengarut. Mereka terlalu teruja kerana berjaya memenangi pertandingan tersebut.”

“Mereka ada Romelu Lukaku yang menjaringkan gol dengan tandukan padu, mereka ada Kai Havertz yang berjaya sempurnakan sepakan penalti…. Tapi lakukanlah itu ketika ia berguna.”

Chelsea menyertai saingan FIFA Club World Cup selepas kejayaan mereka menewaskan Manchester City dalam saingan Champions League musim lalu.

Musim ini, ketika mereka berada di Abu Dhabi untuk sertai pertandingan tersebut, Chelsea terpaksa menangguhkan aksi mereka dalam saingan Premier League bertemu Leicester City dan Arsenal.

“Baiklah, Havertz menjaringkan gol dalam aksi perlawanan akhir saingan Champions League.”

“Ketika mereka meraikan kejayaan mereka (CWC) seolah-olah menang Piala Dunia, Manchester City pula sedang mendahului saingan liga dengan kelebihan 16 mata, yang mana lagi penting: Premier League.”

Tambah Burley lagi.

“Itu pertandingan yang besar untuk mereka. Mereka meraikan Club World Cup seolah-olah itu pertandingan terbaik. Sementara itu mereka sedang semakin jauh ditinggalkan oleh Manchester City.”

“Club World Cup merupakan acara pertunjukkan, Piala plastik. Saya tak akan beli penyerang bernilai £100 juta untuk menang Piala Club World Cup tak guna tu, saya beli mereka untuk cabar Manchester City dan Liverpool dalam saingan Premier League.”

Komen Burley jelas sekali tidak diterima dengan baik oleh para penyokong di media sosial, yang merasakan tak salah untuk Chelsea meraikan kejayaan mereka menjuarai saingan FIFA Club World Cup.

Chelsea merupakan pasukan Inggeris ketiga yang mampu untuk memenangi pertandingan tersebut selepas Manchester United dan Liverpool.

“Fikirkan berapa banyak perlawanan kita perlu lalui untuk sampai di sini dan menang? Salah untuk kita raikan?”

“Kita kena menang Champions League untuk beraksi dalam saingan FIFA Club World Cup, ini bukan kejohanan tak berguna, setiap pasukan berjuang untuk menang.”

“Jadi dia nak kita kalah dan pulang selepas hari pertama? Ini pertandingan berkelas dunia, pasukan-pasukan yang bertanding merupakan wakil terhebat di setiap benua dalam dunia. Adakah dia sudah gila?”

“Apa yang cuba dia sampaikan? Dia tak ambil apa-apa barang terlarang kan? Dia bekas pemain Chelsea yang sepatutnya gembira kita sekarang Juara dunia. Juara dunia yang diiktiraf.”

“Piala itu jauh lebih bernilai dari dia, saya rasa dia tak perlu bercakap sesuatu yang boleh menunjukkan dia semakin bodoh.”

Sumber: video twitter

BACA:  Fabregas: Messi Masih Pemain Terbaik Dunia Jika Bermain Di Liga Perdana Inggeris