Isu Garnarcho Terus ke Terowong Selepas Dikeluarkan, “Mungkin Sebab Cuaca Sejuk dan Basah?” – Amorim

Ruben Amorim akan bercakap dengan Alejandro Garnacho selepas pemain sayap itu terus menuju ke terowong selepas digantikan

Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim berkata beliau akan bercakap dengan Alejandro Garnacho selepas pemain sayap itu terus menuju ke terowong sejurus selepas dikeluarkan dalam kemenangan di laman sendiri ke atas Ipswich Town.

Amorim membuat keputusan untuk menggantikan Garnacho sebelum waktu rehat selepas pemain sayap, Patrick Dorgu dilayangkan kad merah kerana mengasari Omari Hutchinson. Noussair Mazraoui dimasukkan menggantikan Garnacho untuk mengembalikan formasi lima pertahanan.

Namun, Garnacho tidak duduk di bangku simpanan bersama rakan sepasukan sebaliknya terus masuk ke terowong menuju bilik persalinan.

Ketika ditanya mengapa pemain berusia 20 tahun itu berbuat demikian, Amorim menjawab:

“Mungkin sebab cuaca sejuk dan basah?”

Beliau menjelaskan bahawa keputusannya untuk menggantikan Garnacho adalah kerana perubahan taktikal.

“Kami bermain dalam formasi 5-3-1. Saya tahu ia berisiko kerana kami mengeluarkan pemain yang mungkin satu-satunya mempunyai kelajuan untuk berdepan 1 lawan 1. Tetapi saya rasa pasukan mengawal permainan dengan baik, hampir separuh masa, jadi kami buat pertukaran.”

“Kami perlu memilih seseorang untuk dikeluarkan dan kami juga perlu memikirkan tentang situasi bola mati, jadi kami memilih Garnacho.”*

Ketika diasak sama ada beliau tidak berpuas hati dengan reaksi Garnacho, Amorim berkata,

“Awak cuba kaitkan ini dengan (Marcus) Rashford, kan? Saya tahu, saya tahu.”

“Apa yang boleh saya katakan ialah saya akan bercakap dengan Garnacho tentang perkara ini. Jadi, kalau awak mahu tahu lebih lanjut, kita boleh bincangkannya dalam sidang media seterusnya.”*

Ketika Dorgu dilayangkan kad merah, United sedang mendahului 2-1 hasil gol sendiri daripada Sam Morsy dan penyudah jarak dekat Matthijs De Ligt selepas Jaden Philogene mengejutkan tuan rumah dengan gol pembukaan seawal minit ke-4.

Philogene sekali lagi menjaringkan gol untuk menyamakan kedudukan untuk Ipswich pada masa tambahan separuh masa pertama sebelum Harry Maguire meledak gol kemenangan hanya 2 minit selepas rehat.

Garnacho kembali ke dalam kesebelasan utama United dalam perlawanan ini selepas diketepikan ketika seri 2-2 menentang Everton pada perlawanan sebelumnya. Dalam perlawanan tersebut dia memberi impak selepas dimasukkan sebagai pemain gantian. Pemain sayap Argentina itu telah menjaringkan 8 gol dan mencatat 6 bantuan gol dalam 40 penampilan musim ini.

Kemenangan ke atas Ipswich mengangkat United ke tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris. Amorim dan pasukannya kini bersedia untuk menerima kunjungan Fulham di Old Trafford dalam aksi pusingan ke-4 Piala FA pada Ahad nanti. Selepas itu mereka akan berdepan Real Sociedad dalam perlawanan pertama pusingan 16 pasukan terakhir Liga Europa pada Khamis depan.

BACA:  Roy Keane Pecah Karakter Hanya Kerana Mahu Pertahankan Pemain United