Arteta Tegur Lewis-Skelly Selepas Dikeluarkan Awal Ketika Menentang PSV
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mendedahkan bahawa beliau telah berbincang dengan pemain muda, Myles Lewis-Skelly selepas pemain itu dikeluarkan seawal minit ke-34 dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang PSV Eindhoven.
Lewis-Skelly menerima kad kuning awal dalam perlawanan tersebut dan hampir menerima kad kuning kedua. Ia menyebabkan Arteta mengambil langkah drastik untuk mengeluarkannya lebih awal untuk mengelakkan Arsenal bermain dengan 10 orang.
Bercakap dalam sidang media sebelum perlawanan menentang Manchester United, Arteta mengakui bahawa beliau menunggu masa yang sesuai untuk berbincang dengan pemain berusia 18 tahun itu.
“Hari ini saya bercakap dengannya. Saya biarkan keadaan reda dulu sebelum kami berbincang secara terbuka. Apa yang boleh kita pelajari daripada situasi itu? Bagaimana ia boleh menjejaskan pasukan? Apa yang kita perlu elakkan tanpa mengubah identiti permainan dia?”
Menurut Arteta, perkara paling penting adalah membantu Lewis-Skelly memahami had permainan agar kelebihan yang dimilikinya tidak menjadi liabiliti kepada pasukan.
“Dia pemain yang hebat. Dia ada keberanian, ada semangat juang. Itu yang dia bawa ke dalam padang. Kita hanya perlu bantu dia faham risiko dan ganjaran sesuatu tindakan. Di bahagian padang mana yang kita boleh mengambil risiko dan bila kita patut mengelak daripada membuat pertaruhan yang boleh merugikan pasukan.”
Lewis-Skelly Perlu Lebih Berdisiplin
Sejak mula diketengahkan ke skuad utama Arsenal, Lewis-Skelly dikenali sebagai pemain yang agresif dan berani dalam permainan. Namun, pendekatan itu ada risikonya terutamanya apabila dia berhadapan dengan lawan yang lebih berpengalaman.
Sebelum ini, dia telah dilayangkan kad merah ketika menentang West Ham dan Wolves. Kad merah menentang Wolves bagaimanapun telah ditarik balik selepas rayuan dibuat kerana pengadil didapati membuat keputusan yang salah.
Arteta menekankan bahawa sebagai pemain tengah, kemampuan untuk membaca situasi adalah sangat penting bagi mengelakkan keputusan terburu-buru yang boleh menjejaskan pasukan.
“Anda perlu mengawal keadaan. Fahami ruang yang anda pertahankan. Sejauh mana anda terdedah? Adakah lawan sedang menghadap anda atau membelakangi anda? Berapa besar kemungkinan untuk anda memenangi bola jika anda masuk bertahan? Bila masa yang sesuai untuk melakukan cabaran?”
Menurutnya, jika pemain gagal memahami prinsip pertahanan dengan betul, mereka sentiasa akan berada dalam masalah terutamanya di peringkat tertinggi seperti Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.
Walaupun begitu, Arteta yakin bahawa Lewis-Skelly mempunyai kemampuan untuk belajar daripada kesilapan ini.
“Ya, sebab dia seorang pemain yang sangat bijak. Dia sangat kritikal terhadap dirinya sendiri dan sentiasa mahu memperbaiki permainan.”
Dilema Arteta: Lewis-Skelly atau Calafiori?
Menjelang perlawanan Arsenal menentang Manchester United di Old Trafford, Arteta kini berdepan dilema untuk memilih antara Lewis-Skelly atau Riccardo Calafiori untuk mengisi tempat dalam kesebelasan utama.
Calafiori telah menarik perhatian ramai apabila menjaringkan gol ke-7 Arsenal dalam kemenangan besar ke atas PSV. Pemain berdarah Itali ini semakin menyerlah dalam beberapa minggu terakhir, terutamanya dengan kecenderungannya untuk naik ke atas dan membantu serangan.
“Dia mempunyai kebolehan untuk bergerak ke kawasan yang luar biasa bagi seorang pertahanan. Itu yang menarik perhatian saya,” kata Arteta.
Selain itu, Calafiori juga dikenali sebagai pemain yang sukar diramal, yang boleh menimbulkan masalah buat pasukan lawan.
“Dia ada unsur ‘chaos’ dalam permainannya, dan itu boleh menyukarkan lawan. Dia juga mempunyai naluri menjaringkan gol, terutama dalam situasi permainan terbuka. Saya sendiri tidak sangka dia boleh melakukan perkara seperti itu, tetapi selepas melihatnya dalam latihan setiap hari, jelas dia memiliki kebolehan itu.”
Misi Arsenal: Pecah Rekod di Old Trafford
Perlawanan menentang Manchester United pada hari Ahad ini bukan sekadar satu lagi aksi Liga Perdana Inggeris untuk Arsenal. Jika mereka menang, Arsenal akan menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga Perdana yang menewaskan United 5 kali berturut-turut.
Selain itu, ia juga merupakan perlawanan ke-200 Arteta sebagai pengurus Arsenal dalam Liga Perdana. Satu kemenangan akan mengukuhkan lagi kedudukan Arsenal dalam perebutan kejuaraan musim ini.
Dengan Arsenal sedang berada dalam prestasi terbaik dan United bergelut dengan ketidaktentuan prestasi, The Gunners jelas mahu memanfaatkan peluang ini untuk terus menekan pencabar utama mereka dalam perebutan kejuaraan.
Bagi Arteta, keputusannya dalam memilih pemain untuk kesebelasan utama bakal menjadi faktor penentu. Adakah beliau akan memberi peluang kepada Lewis-Skelly untuk menebus kesilapannya, atau adakah Calafiori akan diberikan kepercayaan?
Sama ada siapa yang dipilih, satu perkara pasti; Arsenal tidak boleh melakukan kesilapan jika mereka mahu membawa pulang 3 mata dari Old Trafford.