Jack Grealish di Manchester City; Apa Yang Sebenarnya Berlaku?

Jack Grealish menggeliat keluar dari katil, duduk dan merenung taman di bawah. Ia sebuah pemandangan yang menggambarkan kehidupan seorang pemain bola sepak bernilai £100 juta yang berada di puncak kariernya.

“Rahsia? Tiada rahsia,” katanya dalam satu iklan yang dilancarkan oleh sebuah syarikat makanan ahli sukan yang memilihnya menjadi duta global. “Saya seorang yang santai, santai dan bersahaja. Tetapi tenang tidak bermakna saya tidak mempunyai semangat. Kita semua ada ‘sebab’ kita sendiri.”

Dalam video itu formatnya cukup tipikal. Menggambarkan seorang atlet terkenal berada di rumah, bersenam di atas treadmill, mengangkat dumbbell, berlatih di padang dengan peluh membasahi tubuh kemudian mencampurkan serbuk makanan sihat ke dalam botol dan menggoncangnya sebelum meneguknya perlahan-lahan.

“Saya bersedia, saya berusaha keras, dan saya kembali cergas,” katanya sambil menggoncang satu lagi botol dan berkata dia memberikan segalanya dalam bola sepak. “Segalanya.”

Iklan itu penuh dengan klise tetapi dalam masa yang sama ia mendedahkan satu paradoks dalam diri Grealish. Dia menggambarkan dirinya sebagai seorang yang santai dan sentiasa ceria tetapi dalam dunia bola sepak moden di bawah jurulatih yang menuntut kesempurnaan seperti Pep Guardiola, dia perlu menjadi seorang atlet yang serius, gigih dan memberi sepenuh komitmen.

Soalan lama tetapi masih tiada jawapan

Adakah Grealish benar-benar memberikan segala-galanya? Ini adalah persoalan yang telah menghantuinya sepanjang kariernya di Manchester City. Pada penghujung musim 2022-23, apabila dia menjadi sebahagian daripada skuad itu, dia merasakan sudah menemui jawapannya.

Namun prestasinya merudum. Dia telah melalui 35 perlawanan bersama City tanpa menjaringkan sebarang gol. Catatan itu berlanjutan lebih dari setahun. Sejak awal musim lalu dia hanya menjaringakan 3 gol dan 5 bantuan dalam 53 penampilan.

Bukan sekadar statistik yang membimbangkan tetapi juga jumlah minit permainannya semakin berkurangan. Sejak awal tahun 2024, Grealish hanya berada dalam kesebelasan utama sebanyak 9 dari 39 perlawanan liga. Walaupun kecederaan menjadi faktor, lebih membimbangkan adalah jumlah masa yang diberikan ketika dia berada di bangku simpanan, hanya 185 minit dalam 21 perlawanan sebagai pemain gantian.

Guardiola akhirnya meluahkan rasa kecewanya secara terbuka. Kenapa pemain muda Savinho dipilih berbanding Grealish? “Sebab dia berada dalam keadaan yang lebih baik dalam semua aspek,” kata pengurus City itu.

Guardiola menegaskan Grealish perlu menunjukkan tahap permainan yang tinggi “setiap sesi latihan, setiap perlawanan.” ia seakan-akan satu sindiran bahawa Grealish sedang berada dalam zon selesa dan tidak lagi mahu berusaha keras seperti sebelumnya.

Dari seorang pemain berbakat kepada pemain tidak penting

Grealish akan mencapai usia 30 tahun pada September ini. Walaupun dia masih mempunyai masa tetapi usianya tidak lagi muda.

Kariernya penuh dengan turun naik. Dia mula mencipta nama bersama Aston Villa sebagai pemain remaja berbakat tetapi dia mengambil sedikit masa untuk benar-benar meningkat. Dia menghabiskan 3 musim di Championship sebelum mendapat tempat dalam skuad utama Villa. Grealish akhirnya menyertai City dengan nilai perpindahan rekod £100 juta.

Sejak menyertai City prestasinya sentiasa dipersoalkan. Pada musim pertama dia sendiri mengakui dia bermain dengan hambar dan pada musim ketiga dia berkata, “Saya rasa saya langsung tidak bermain dengan baik.”

Salah satu faktor utama kejatuhan Grealish adalah kehilangan motivasi selepas menjuarai treble. “Apabila sudah menang semuanya, apa lagi yang tinggal?” katanya tahun lalu, satu kenyataan yang kini menjadi semakin relevan.

Dia juga terkenal sebagai salah seorang pemain yang paling kuat meraikan kemenangan selepas kejayaan treble itu. Guardiola, di sebalik kata-kata manisnya sering memberi peringatan tegas kepada Grealish tentang pentingnya mengekalkan tahap kecergasan. Malah, selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Copenhagen, Guardiola menyindir, “Ini yang berlaku apabila pemain tidak berada dalam keadaan cergas.”

Ketika City memasuki fasa akhir musim lalu, Grealish masih diberikan peluang dalam beberapa perlawanan penting. Namun selepas pasukan diberikan cuti 3 hari, dia kembali dengan prestasi yang mengecewakan dalam latihan. Ia membuatkan Guardiola menggugurkannya daripada skuad menentang Fulham. Selepas itu dia tidak bermain dalam 3 perlawanan terakhir liga dan perlawanan akhir Piala FA.

Apa yang tinggal untuk Grealish?

Grealish mengakui, tidak tersenarai dalam skuad England ke Euro 2024 adalah satu tamparan besar. Guardiola berharap perkara itu mampu menjadi motivasi untuk Grealish kembali bangkit. Namun 5 bulan telah berlalu dan Grealish masih belum menemui rentaknya.

Melihat kembali permainannya bersama Villa, dia adalah pemain utama yang bebas untuk mencipta gerakan dan mengambil risiko. Tetapi di City, dia perlu mengikut sistem yang lebih ketat. Statistiknya menunjukkan kejatuhan besar dalam aspek kreativiti dan sumbangan jaringan.

City mengharapkan Grealish versi musim treble iaitu seorang pemain yang boleh membawa kreativiti tetapi dalam sistem yang lebih teratur. Namun sejak awal musim lalu dia kelihatan seperti bayangan dirinya yang dulu, kurang tenaga, kurang inspirasi dan kurang keyakinan.

Dalam situasi sekarang, masa depannya bersama City terus menjadi tanda tanya. Kontraknya masih berbaki dua setengah tahun dan nilai pasarannya semakin merosot. Pilihan untuk kembali ke Villa juga tampak sukar kerana kelab itu kini berada dalam era baru di bawah Unai Emery.

Buat masa ini, Grealish masih mahu berjuang untuk mendapatkan kembali kepercayaan Guardiola. Namun dengan hanya satu atau dua persembahan cemerlang sahaja tidak mencukupi. Dia perlu membuktikan dirinya yang boleh cemerlang minggu demi minggu atau perlawanan demi perlawanan.

Jika tidak, tempohnya di City mungkin akan berakhir lebih awal daripada yang dijangka.

BACA:  Mourinho: Duit Adalah Segala-Galanya