Jaringan Kontroversi & Aksi Sengit: Newcastle Singkirkan Birmingham

Piala FA: Birmingham vs Newcastle – Perlawanan Penuh Drama

Sejak awal lagi perlawanan ini dijangka menjadi aksi paling menarik dan ternyata ia memenuhi jangkaan itu.

Birmingham City adalah satu pasukan yang sedang meningkat naik dan memiliki daya tarikan besar apabila Tom Brady menjadi salah seorang pemiliknya.

Pertembungan antara Birmingham City menentang Newcastle United, yang baru sahaja mara ke final Piala Carabao, memberikan segala-galanya: kontroversi, kemahiran, ketegangan dan drama yang tidak berkesudahan.

Berikut adalah analisis tentang perkara utama yang mencuri perhatian.


Adakah Birmingham Berjaya Dalam ‘Super Bowl’ Mereka?

Perlawanan ini terasa seperti klise pertarungan ‘David vs Goliath’ dalam Piala FA tetapi dalam masa yang sama merupakan acara besar yang penuh semangat.

Sebelum perlawanan, suasana di St Andrew’s cukup meriah dengan persembahan daripada rapper Jaykae. Muzik rancak dimainkan dalam keadaan stadium gelap serta letusan api menyambut kemasukan pemain ke padang. Semuanya kelihatan acara di Super Bowl.

Walaupun Brady tidak hadir secara fizikal, aura dan pengaruhnya jelas terasa.

“Saya dapat banyak mesej daripadanya,” kata Tom Wagner, pemilik bersama Birmingham, kepada BBC. “Dia sering menghubungi kami, dia cukup terlibat dengan Chris Davies (pengurus) dan pasukan. Saya pasti dia sedang menonton.”

Dengan sokongan penonton yang hebat, Birmingham memulakan perlawanan dengan garang. Birmingham mendapat sepakan sudut sebaik wisel sepak mula dibunyikan dan menjaringkan gol dalam masa 45 saat. Walaupun Newcastle mula mendapatkan rentak selepas permulaan yang goyah, Birmingham tidak mudah mengalah walaupun ketinggalan.

Mereka mungkin gagal mencipta kejutan besar dalam perlawanan ini tetapi jelas Birmingham sedang bergerak ke arah yang lebih baik. Malam-malam seperti ini akan akan berlaku lebih kerap pada masa akan datang.


Adakah Newcastle Perlu Bimbang dengan Squad Depth Mereka?

Ini adalah ujian sebenar terhadap keupayaan skuad simpanan Newcastle.

Eddie Howe membuat sembilan perubahan dalam kesebelasan utama. Dia hanya mengekalkan Dan Burn dan Bruno Guimaraes. Walaupun kemenangan ini tidak terlalu meyakinkan namun ia satu kejayaan kerana mereka mampu menang tanpa menurunkan ramai pemain utama.

Kebimbangan timbul apabila Burn memberi isyarat mahu keluar pada minit ke-55 kerana  kecederaan pangkal paha. Ia mengingatkan semula risiko yang diambil Newcastle dalam jendela perpindahan Januari terutama selepas menjual Lloyd Kelly kepada Juventus tanpa mendapatkan pemain ganti.

Kecederaan Burn amat merisaukan lebih-lebih lagi apabila Sven Botman turut diketepikan akibat masalah lutut. Joe Willock juga hampir tercedera selepas beberapa terjahan keras daripada pemain Birmingham tetapi bernasib baik kerana dapat meneruskan perlawanan dan akhirnya menjaringkan gol kemenangan.

Howe sedar keutamaan mereka kini adalah final Piala Carabao yang akan berlangsung pada 16 Mac. Alexander Isak hanya dimasukkan pada saat akhir sebagai langkah berjaga-jaga. Walaupun kemaraan dalam Piala FA ini satu kejayaan, Newcastle kini perlu berharap kecederaan yang dialaminya tidak terlalu serius.


Adakah Gol Pertama Newcastle Patut Dibatalkan?

Di peringkat awal Piala FA memberikan penonton satu nostalgia era bola sepak tanpa teknologi dan bagi Newcastle, situasi ini memihak kepadanya apabila mereka mendapat gol penyamaan kontroversi.

Hantaran silang dari William Osula di sebelah kanan disambut oleh Joe Willock, Willock melepaskan rembatan kencang tetapi percubaannya ditepis keluar oleh penjaga gol Birmingham, Bailey Peacock-Farrell.

Pada mulanya, ia kelihatan seperti satu penyelamatan hebat. Namun selepas bola melantun keluar dan percubaan susulan tersasar tinggi, pengadil penjaga garisan Nigel Lugg tiba-tiba mengangkat bendera, menandakan bahawa bola telah melepasi garisan gol.

Rakaman ulang tayang tidak memberikan bukti kukuh bahawa bola benar-benar sudah melintasi garisan sepenuhnya. Oleh kerana Birmingham adalah pasukan Liga Satu, tiada teknologi garisan gol digunakan dalam perlawanan ini (teknologi ini hanya tersedia di stadium Liga Perdana dan Championship dan tiada VAR untuk pusingan keempat ini).

Jaringan gol diberikan kepada Newcastle dan ia sesuatu yang sudah pasti mengecewakan Birmingham.


Gol Terbaik Kejohanan?

Sepanjang musim ini Birmingham telah mendominasi sebahagian besar perlawanan di St Andrew’s. Birmingham merekod 10 kemenangan dan 3 seri di League One. Jika ada yang menjangkakan Newcastle akan mendapat laluan mudah ke pusingan ke-5, mereka silap.

Gol daripada Tomoki Iwata adalah sesuatu yang bertaraf dunia.

Walaupun keadaan nampak selamat untuk Newcastle, Iwata telah melepaskan rembatan dari jarak 25 ela, menjadikan Nick Pope tidak berdaya. Ia adalah satu rembatan yang padu dan tidak boleh diselamatkan lagi.

Gol Iwata ini adalah salah satu jaringan terbaik dalam kejohanan. Ia menyaingi jaringan kreatif dari Jamie Donley untuk Tottenham Hotspur ketika menentang Manchester City pada hari yang sama.


Adakah Wilson Sudah Kembali Sebagai Penyerang Berbisa?

Callum Wilson membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama Newcastle sejak Disember 2023. Ia menunjukkan kariernya sering diganggu kecederaan.

Namun, dalam perlawanan yang menguji squad depth Newcastle, kepulangan Wilson adalah sesuatu yang positif.

Wilson memainkan peranan penting dalam gol penyamaan Newcastle. Hantaran silangnya ke far post menyebabkan pertahanan Birmingham menjadi panik. Jaringannya pula merupakan satu penyudah klasik dari seorang penyerang sejati. Dia menolak masuk bola selepas Osula gagal menyudahkannya di depan gawang.

Alan Shearer, penjaring terbanyak sepanjang zaman Newcastle memuji Wilson sebagai ‘six-yard player’ yang sentiasa tajam.

“Ia bukan satu kelemahan tetapi satu kelebihan. Dia selalu tiba lebih cepat daripada pemain lain. Dia memang hebat dalam aspek itu.”

Dengan kontraknya yang akan tamat hujung musim ini, Wilson pastinya mahu menyambung kariernya di St James’ Park. Dari segi kualiti, tiada keraguan. Namun dari segi ketahanan fizikal, ia sentiasa menjadi satu persoalan besar.


Apa Kata Eddie Howe?

Bercakap kepada BBC selepas perlawanan, Eddie Howe berkata:

“Mental dan fizikal, anda boleh lihat beberapa pemain benar-benar berada di had mereka malam ini.”

“Pada separuh masa, saya hanya meminta mereka untuk kekal tenang. Kami sedikit gelisah dan perlawanan menjadi agak emosional untuk kami. Kami tidak mahu sebarang ketegangan yang tidak perlu.”

“Kami perlu bertenang dan mengawal permainan dan kami berjaya melakukannya dengan lebih baik pada babak kedua.”

Laporan asal dari Chris Waugh dan Philip Buckingham

BACA:  Ini Sebab Mengapa Chelsea Masih Belum Berputusa Asa Untuk Mendapatkan Romelu Lukaku