Premier League 2022/23: Gol Tak Masuk Akal Salah & Assist Kelas Dunia Nunez Bantu Kemenangan Liverpool

Liverpool berjaya menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam.

Mohamed Salah menjadi wira kemenangan buat The Reds menerusi dua jaringan yang dihasilkan olehnya.

Separuh masa pertama: Salah 2 gol

Liverpool memberikan ancaman terlebih dahulu pada minit ke-3, namun rembatan jarak dekat Darwin Nunez berjaya dihalang oleh penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris.

Kemudian, pada minit ke-11 The Reds berjaya membuka jaringan menerusi Mohamed Salah.

Hantaran lintang Andy Robertson dari sebelah kiri berjaya diterima Nunez di dalam kotak penalti lawan. Nunez memutuskan untuk tidak merembat, sebaliknya dia menghantar bola kepada Mohamed Salah yang turut berada di dalam kotak, tetapi mempunyai kedudukan yang lebih bebas.

Keputusan Nunez itu ternyata sangat tepat. Dan dia membolehkan penyerang Mesir itu merembat dengan kaki kiri ke sudut kanan bawah gawang yang tidak mampu diselamatkan Hugo Lloris.

Ketinggalan satu gol, Tottenham mulai mengamuk mahu mencari gol penyamaan.

Tandukan Ivan Perisic pada minit ke-15 hampir menerjah gol sekiranya tidak terkena tiang. Pierre-Emile Hojbjerg turut berpeluang merobek gawang The Reds tidak lama kemudian, namun rembatannya berjaya dihalang oleh penjaga gol Liverpool, Alisson.

Pada minit ke-22, Trent Alexander-Arnold dilihat menyiku belakang Ryan Sessegnon sehingga terjatuh di dalam kotak penalti Liverpool. Pemain Tottenham meminta penalti, tetapi pengadil Andrew Madley berkata ia bukan satu kesalahan. Perlawanan diteruskan, kerana kekasaran itu dikatakan bersih.

Kemudian, berlaku detik komedi. Kesilapan Eric Dier pada minit ke-40 membuatkan Spurs terpaksa menelan detik pahit sekali lagi.

Dia cuba mengeluarkan bola dari hantaran lintang Alisson, tetapi tandukannya terus ke Salah. Tanpa belas kasihan, penyerang berusia 30 tahun itu menggelecek ke dalam kotak penalti dan kemudian menjaringkan gol kedua dengan satu lob berkelas dunia.

Kedudukan 2-0 untuk Liverpool kekal sehingga rehat.

Separuh masa kedua: Spurs merapatkan jurang

Pada separuh masa kedua, Tottenham segera tampil mengasak. Terdapat peluang melalui Harry Kane di sudut pada minit ke-48, tetapi tandukannya terus ke pelukan Alisson. Seminit kemudian, rembatan Perisic sekadar terkena palang.

Liverpool tidak berdiam diri. Salah hampir menjaringkan hatrik selepas menerima hantaran baik Nunez dalam kotak penalti Tottenham pada minit ke-54, namun rembatan jarak dekatnya berjaya diselamatkan Lloris.

Nunez juga mempunyai peluang pada minit ke-57. Pada serangan balas, dia bergerak dari kiri ke tengah dan merembat dari tepi kotak, tetapi Lloris mudah meneka arah bola.

Kebuntuan dalam serangan Tottenham menyaksikan pengurus Antonio Conte membawa masuk Dejan Kulusevski pada minit ke-68. Dua minit kemudian, Spurs berjaya menjaringkan gol.

Kulusevski memberikan bola hantaran kepada Kane yang berada di dalam kotak penalti. Walaupun dikawal ketat, penyerang England itu berjaya melepaskan rembatan yang tidak dapat dihalang oleh Alisson, untuk mengubah kedudukan menjadi 1-2.

Gol itu telah menambahkan lagi semangat pemain Tottenham. Beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan tercipta, seperti tandukan Rodrigo Bentancur pada minit ke-83, namun tiada satu pun yang membuahkan hasil.

Kedudukan 2-1 untuk Liverpool kekal sehingga perlawanan tamat. Dan Liverpool membawa pulang kesemua 3 mata dari tempat lawan.

Kemenangan ini dapatlah membantu Liverpool mengesot sedikit dalam carta liga.

Barisan pemain

Tottenham Hotspur: Lloris, Emerson (Doherty 68′), Dier, Lenglet, Davies, Sessegnon (Kulusevski 68′), Bentancur, Bissouma (Moura 88′), Hojbjerg, Kane, Perisic.

Liverpool: Alisson, Robertson, Van Dijk, Konate, Alexander-Arnold, Fabinho, Thiago, Elliott (Henderson 74′), Firmino (Jones 74′), Nunez (Gomez 87′), Salah (Oxlade-Chamberlain 90+2′) .

BACA:  Jadual Liga Perdana Inggeris 2015/2016. BPL Bermula 8 Ogos 2015