Jesus Fortea, Kontroversi Perpindahan ke Real Madrid dan Masa Depan Yang Tidak Menentu

Pemain Muda Real Madrid yang Berpindah dari Atletico – Dan Menyebabkan Ketegangan

Pada musim ini Real Madrid berdepan banyak masalah kecederaan sehingga Carlo Ancelotti terpaksa memanggil pemain dari akademi. Namun, terdapat seorang pemain muda yang masih belum mendapat peluang.

Jesus Fortea, bek kanan berusia 17 tahun belum pernah beraksi bersama skuad utama walaupun Dani Carvajal mengalami kecederaan lutut serius dan Lucas Vazquez pula bergelut dengan masalah prestasi. Malah, Federico Valverde pernah bermain di posisi itu dan dia tidak akan beraksi dalam separuh akhir pertama Copa del Rey menentang Real Sociedad kerana perlu berehat selepas mengalami masalah hamstring.

Fortea kini bermain untuk skuad bawah 19 tahun Real Madrid, jadi ketiadaan peluang mungkin tidak mengejutkan. Dia pernah dianggap sebagai pengganti Carvajal tetapi masih belum diberi peluang bermain untuk pasukan Castilla (Real Madrid B). Sementara itu, rakan seakademinya seperti Raul Asencio, Jacobo Ramon, Lorenzo Aguado, Diego Aguado, Gonzalo Garcia dan Chema Andres sudah pun membuat debut bersama pasukan utama.

Situasi Fortea lebih menarik kerana dia sebenarnya dibeli dari Atletico Madrid pada 2022, sekali gus memecahkan perjanjian tidak rasmi antara dua kelab Madrid itu untuk tidak ‘mencuri’ pemain muda masing-masing. Langkah ini menimbulkan ketegangan antara kedua-dua kelab. Kini masa depan Fortea tidak menentu kerana kontraknya akan tamat pada 2026 dan dis belum pasti akan memperbaharuinya. Tidak hairanlah kelab-kelab lain di Eropah sedang memantau keadaannya.

Perjalanan Karier dan Perpindahan Kontroversi

Fortea memulakan karier bersama akademi Levante di Valencia dari 2014 hingga 2019 sebelum menyertai Atletico Madrid. 3 tahun kemudian dia berpindah ke Real Madrid.

Penyertaannya ke Real Madrid menimbulkan kemarahan Atletico. Sebagai pemain bawah 16 tahun ketika itu, Los Blancos tidak perlu membayar yuran perpindahan dan menyebabkan Atletico kecewa. Malah, Atletico membawa ibu bapa Fortea ke mahkamah untuk menuntut pampasan tetapi tuntutan mereka ditolak.

Lebih kontroversi, perpindahan ini melanggar perjanjian lisan yang dibuat oleh Presiden Real Madrid, Florentino Perez dan Presiden Atletico Madrid, Enrique Cerezo untuk tidak mengambil pemain muda antara satu sama lain. Bekas pemain Real Madrid dan Liverpool, Alvaro Arbeloa yang kini jurulatih pasukan bawah 19 tahun Real adalah individu yang berusaha membawa Fortea ke kelab itu.

Ketika mengucapkan selamat tinggal kepada Atletico, Fortea menulis di Instagram:

“Saya rasa ini adalah masa untuk saya pergi demi mengejar impian saya.”

Walaupun kontrak asalnya sehingga 2025 tetapi terdapat persetujuan lisan untuk melanjutkannya sehingga 2026, yang diumumkan secara rasmi pada Mac 2024.

Dulu Dipuji, Kini Diketepikan

Pada awalnya, semuanya berjalan lancar untuk Fortea. Dia diberi jolokan ‘Carvajal baharu’ dan segera mencuri perhatian di pusat latihan Valdebebas Real Madrid. Walaupun baru berusia 16 tahun, pada Februari 2023 dia membuat debut bersama skuad bawah 19.

Pelan asalnya adalah untuk dinaikkan ke Castilla pada 2024 tetapi kelab kemudian memutuskan untuk mengekalkannya dalam pasukan bawah 19 tahun. Dia juga sepatutnya bermain untuk pasukan ‘C’ Real Madrid yang beraksi dalam divisyen ke-4 Sepanyol tetapi setakat ini hanya bermain 5 kali untuk pasukan itu dan langsung tidak pernah beraksi untuk Castilla.

Keadaan bertambah buruk apabila dia tidak tersenarai dalam barisan 11 pemain muda yang dibawa ke jelajah pramusim di Amerika Syarikat pada musim panas lalu. Pemain seperti Asencio, Lorenzo Aguado dan Fran Gonzalez dipilih.

Pada Oktober lepas keadaan menjadi lebih mengecewakan apabila Carvajal mengalami kecederaan serius. Dengan hanya Vazquez sebagai pilihan di posisi bek kanan, ada pihak dalam kelab yang menjangka Fortea akan mendapat peluang. Walaupun terdapat laporan media menyatakan dia akan dinaikkan ke skuad utama, sumber dalam kelab menegaskan perkara itu tidak akan berlaku.

Pada bulan yang sama Fortea sempat menjalani latihan bersama skuad utama sebelum perlawanan El Clasico. Namun, selepas bermain dalam 2 perlawanan kelayakan Kejuaraan Eropah Bawah 19 Tahun bersama Sepanyol pada November, dia tidak lagi dipanggil ke sesi latihan Ancelotti.

Ancelotti dan stafnya terkejut dengan laporan media yang mendakwa Fortea akan kekal dalam skuad utama. Sumber di akademi menjelaskan, walaupun pemain lain seperti Joan Martinez dan Pau Cubarsi di Barcelona berjaya menyesuaikan diri dengan pantas, situasi Fortea lebih rumit.

“Pasukan bawah 19 tahun mendominasi perlawanan dengan kawalan bola yang tinggi, jadi hampir tiada kerja defensif untuk dibuat,” kata seorang sumber di Valdebebas.

Tidak Bersedia atau Dipinggirkan?

Pihak yang rapat dengan Fortea mengakui dia belum bersedia untuk bersma skuad utama tetapi kesal kerana kelab tidak memberinya peluang untuk sekurang-kurangnya berada dalam skuad simpanan. Mereka juga tidak puas hati kerana dia tidak diberi lebih banyak minit bermain di Castilla atau pasukan ‘C’.

Namun, di pihak kelab, ada isu berkaitan peraturan liga yang menyukarkan situasi Fortea. Peraturan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) menetapkan bahawa Castilla mesti mempunyai sekurang-kurangnya 7 pemain utamanya di padang dalam setiap perlawanan (liga divisyen tiga). Dengan banyak kecederaan dan pemain utama yang dipanggil ke skuad senior, posisi lain lebih diberi keutamaan.

Ada juga pendapat dalam kelab bahawa Fortea masih belum cukup bagus untuk bermain di Castilla. Sumber akademi menyatakan kelemahan utamanya adalah dalam aspek bertahan.

Mereka juga mengakui bahawa jangkaan terhadap Fortea mungkin terlalu tinggi dan perubahan pasukan yang kerap tidak membantu perkembangannya. Beberapa pihak dalam kelab percaya dia perlu berkembang secara berperingkat seperti Asencio dan Lorenzo Aguado yang bermain semusim dengan pasukan ‘C’ sebelum dinaikkan ke Castilla dan akhirnya ke skuad utama.

Namun begitu, tiada siapa dalam kelab yang mempunyai pandangan buruk terhadap Fortea.

“Sikapnya sangat baik, tidak pernah menimbulkan masalah atau merungut,” kata seorang pegawai akademi.

Masa Depan yang Tidak Pasti

Sumber dalam kelab berharap Fortea akan memperbaharui kontraknya dalam tempoh bulan akan datang. Perbincangan dijangka bermula selepas dia mencapai usia 18 tahun pada penghujung Mac ini. Jika tiada persetujuan dicapai, perpindahan pada musim panas boleh menjadi pilihan, seperti yang berlaku kepada Paulo Iago, pemain tengah yang berpindah ke Sporting CP tahun lalu.

Kelab mahu Fortea kekal tetapi jika dia memilih untuk pergi, mereka mahu memastikan Real Madrid masih mempunyai kawalan ke atas masa depannya. Contohnya, Alex Jimenez yang dipinjamkan ke AC Milan pada 2023 tetapi Real Madrid masih memiliki hak pembelian semula bernilai sekitar €9 juta pada 2025 dan €12 juta pada 2026.

Setakat ini, situasi Fortea belum sampai ke peringkat yang memerlukan campur tangan pengarah umum kelab, Jose Angel Sanchez. Namun, pemain muda yang mengidolakan Real Madrid sejak kecil ini tidak gembira.

Selepas segala kontroversi perpindahannya dari Atletico, kini semua mata tertumpu kepada apa yang bakal terjadi kepada Fortea dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

BACA:  Courtois: Cintaku Tertinggal di Madrid