Joe Cole Umum Persaraan Dari Bola Sepak Selepas 20 Tahun Bergelar Pemain Profesional

Joe Cole akhirnya mengumumkan persaraan dari bola sepak selepas mengharungi 20 tahun sebagai seorang pemain profesional.

Cole yang kini berusia 37 tahun berjaya mencatatkan 57 penampilan bersama England di peringkat antarabangsa dan pada masa yang sama berjaya menjaringkan 10 gol. Kelab terakhir Cole sebelum mengumumkan persaraan adalah Tampa Bay Rowdies yang beraksi dalam liga divisyen ke-2 di Amerika Syarikat.

Joe Cole mencapai tahap kegemilangan ketika mewakili Chelsea bermula dari 2003 hingga 2010. Cole juga menjadi pemain sandaran Mourinho suatu ketika dahulu

Bekas pemain Chelsea dan West Ham itu membuat pengumuman rasmi menerusi akaun Instagram beliau dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang pernah membantunya selama ini.

“Selepas 20 tahun sebagai pemain profesional, masanya sudah tiba untuk saya menggantung kasut. Impian saya sudah menjadi kenyataan.”

“Perkara kegemeran saya sepanjang bergelar pemain bola sepak adalah perasaan gembira ketika kembali memasuki bilik persalinan selepas pasukan meraih kemenangan. Amat sukar untuk saya mengulangi perasaan itu kembali tetapi saya akan sentiasa mengingati bekas rakan sepasukan yang berkongsi pengalaman dengan saya selama ini.”

“Saya sangat bernasib baik kerana dapat bermain bersama dengan beberapa pemain hebat ketika era permainan saya. Saya juga sangat bernasib baik kerana dapat memanggil mereka sebagai kawan.”

280 penampilan dan 40 gol sepanjang 7 tahun mewakili The Blues.

“Sebagai seorang peminat bola sepak, saya sangat suka melihat pemain yang mempunyai skill yang tinggi dan itu merupakan perkara yang memberi inspirasi kepada saya.”

“Saya mengingati kembali pengalaman instimewa yang pernah saya alami sebelum ini ketika menonton perlawanan di tempat duduk stadium.”

“Saya berharap saya mampu memberikan kenangan indah kepada para peminat yang menonton persembahan saya selama ini.”

“Menjulang trofi bersama Chelsea merupakan detik istimewa buat saya. Memori yang saya dapat ketika itu akan kekal bersama saya sehingga ke akhir hayat kerana saya dapat berkongsi kegembiraan tersebut bersama ahli keluarga saya.”

Sepanjang karier profesional Cole, beliau menjulang 3 kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan 2 Piala FA yang mana kesemuanya dimenangi ketika mewakili Chelsea.

Cole juga berkata beliau berhasrat untuk menceburi bidang kejurulatihan pada masa hadapan.

“Memandang ke masa hadapan, saya berhasrat untuk terus berada dalam sukan ini. Saya rasa saya mampu menyumbang sebagai seorang jurulatih dan saya menikmati pengalaman menggalas tugas sebagai jurulatih ketika mewakili Rowdies.”

Penampilan kompetitif terakhir Cole bersama Tampa Bay Rowdies sebelum pencen

“Minat saya adalah untuk berkongsi pengalaman yang saya timba selama ini kepada pemain muda supaya dapat mencapai impian mereka.”

Antara kelab yang diwakili Cole selepas meninggalkan Chelsea pada tahun 2010 adalah Liverpool, Lille, West Ham, Aston Villa, Coventry City, dan yang terakhir Tampa Bay Rowdies. Beliau bermain lebih 700 perlawanan dan berjaya menjaringkan lebih 100 gol.

BACA:  Peminat Chelsea Geram Tengok Video Lukaku Menjadi Lakaka Sepanjang 90 Minit