John Duran; Perjalanan Pendek Di Aston Villa Yang Berakhir Di Al Nassr

Dua minggu lepas Unai Emery bergurau tentang masa depan dua penyerang utamanya di Aston Villa. “Harapnya kami boleh bersama Ollie Watkins dan Jhon Duran selama 10 tahun… mungkin 12, mungkin 15!” katanya sambil ketawa.

Ketika itu, dia sering diajukan soalan tentang bagaimana Watkins dan Duran boleh beraksi bersama dalam satu pasukan. Emery berusaha mencari formula terbaik supaya kedua-duanya dapat berfungsi bersama dalam sistem permainan Villa. Namun semua itu berubah dengan pantas.

Duran yang dibeli dari Chicago Fire (MLS) pada Januari 2023 dengan harga £14.75 juta telah pun berpindah ke Al Nassr, Arab Saudi. Pada masa yang sama, Arsenal sedang menunjukkan minat terhadap Watkins dan ia menimbulkan persoalan tentang hala tuju Villa dalam unit serangan.

Cabaran Villa dalam Mengekalkan Dua Penyerang Elit

Realitinya, sejak awal lagi Villa sedar untuk mengekalkan dua penyerang utama dalam satu pasukan adalah sukar. Sumber dalaman kelab mengakui bahawa sesuatu perlu dilakukan, sama ada menjual salah seorang atau mengubah strategi pasukan.

Selepas kemenangan 4-2 ke atas Celtic dalam perlawanan Liga Juara-Juara, Emery tampak lebih serius apabila bercakap tentang Duran. “Saya selalu berusaha membimbingnya, tapi pemain ada impian dan matlamat sendiri,” katanya. “Minggu lepas saya katakan saya mahu dia kekal tetapi apa pula yang dia mahukan?”

Ketika Emery sibuk membuat persiapan menghadapi Celtic, Al Nassr pula sedang mempertimbangkan sama ada mahu mendapatkan Duran atau Victor Boniface dari Bayer Leverkusen. Tidak lama selepas perlawanan tersebut, laporan mendedahkan Duran bakal menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum melengkapkan perpindahan bernilai €77 juta termasuk bonus tambahan.

Duran Satu Bakat Besar Tetapi Tidak Sabar

Sejak tiba di Villa, Duran sering menjadi perhatian, bukan sahaja kerana bakatnya tetapi juga kerana sikapnya. Dia masih bergelut untuk menguasai bahasa Inggeris, yang mungkin membuatkan dia sukar menyesuaikan diri di bilik persalinan. Kadang-kadang dia ceria dan bergurau dengan rakan sepasukan tetapi ada juga masanya dia kelihatan pendiam dan menyendiri.

Ketua pasukan John McGinn pernah berkata, “Dia sedikit gila… boleh jadi mimpi buruk dalam pasukan tetapi dia ada detik-detik berkualiti.” Sementara itu, penjaga gol Emiliano Martinez percaya Duran boleh menjadi salah satu penyerang terbaik dunia tetapi hanya jika dia kekal fokus dan bekerja keras.

Emery sendiri melihat potensi luar biasa dalam diri Duran. “Dia permata,” kata salah seorang staf kejurulatihan Villa. Namun Emery juga tahu bahawa bakat sahaja tidak mencukupi ia perlu disertakan dengan disiplin dan kesabaran.

Masalah utama ialah Duran mahu segalanya dengan segera. Dia mahukan lebih banyak minit permainan, lebih banyak gol dan lebih banyak pengiktirafan. Bagi Emery, pemain ini memerlukan masa untuk berkembang tetapi Duran tidak mahu menunggu.

Disiplin dan Isu Luar Padang

Selain prestasi di atas padang, terdapat juga isu disiplin yang menjejaskan karier Duran di Villa. Dia pernah datang lewat ke mesyuarat pasukan dan kadang-kadang menunjukkan kurang komitmen. Akaun .edia sosialnya juga sering mencetuskan kontroversi. Dia pernah berhenti mengikuti akaun rasmi Villa, memadamkan gambar-gambar berkaitan kelab dan membuat isyarat tangan ‘Irons’ (simbol West Ham) ketika dikaitkan dengan perpindahan ke kelab tersebut.

Dalam satu perlawanan menentang Newcastle United, Duran dibuang padang dan bertindak menendang botol air kerana kecewa. Insiden itu menyebabkannya didenda £15,000 dan digantung 3 perlawanan. Selepas insiden itu dia tidak pernah lagi diturunkan dalam kesebelasan utama Villa.

Salah satu punca utama perpindahannya adalah kesukaran untuk menyesuaikan Watkins dan Duran dalam satu pasukan. Emery pernah mencuba sistem dua penyerang tetapi selepas kekalahan kepada Monaco dalam Liga Juara-Juara, Emery mengakui, “Saya membuat kesilapan bermain dengan dua penyerang. Kami kehilangan keseimbangan.”

Keputusan Akhir: Jual Duran untuk Kestabilan Pasukan

Akhirnya, Villa memilih untuk menerima tawaran Al Nassr dan melepaskan Duran. Mereka menyedari untuk mengekalkan dua penyerang utama bukanlah keputusan yang stabil dalam jangka panjang.

Jika Watkins yang dijual, Villa masih tidak yakin Duran cukup matang dan konsisten untuk menjadi penyerang utama pada setiap minggu. Terdapat juga kebimbangan bahawa Duran mungkin akan mendesak untuk berpindah pada jendela perpindahan seterusnya walaupun dia sudah menjadi pilihan utama.

Sebagai pengurus, Emery berbangga kerana berjaya membangunkan seorang pemain muda yang kini dijual pada harga yang cukup tinggi. Namun, Emery juga memahami bahawa Duran melihat dirinya sebagai bintang segera bukan projek jangka panjang.

Akhirnya, Villa membuat keputusan yang terbaik untuk kestabilan pasukan, mengambil wang hasil penjualan Duran dan mengelakkan drama yang berterusan. Kini, cabaran seterusnya adalah memastikan Watkins kekal dan mencari keseimbangan baru dalam unit serangan mereka.

BACA:  Premier League 2020/21: Aston Villa 7-2 Liverpool