Jordan Henderson Ditawarkan £700,000 Seminggu Tinggalkan Liverpool Untuk Sertai Al Ettifaq

Jordan Henderson dilaporkan telah menerima £700,000 seminggu untuk menyertai Steven Gerrard di Al Ettifaq dan menjadi pemain bintang kelab Saudi Pro League itu.

Dan selepas mendapat tawaran lumayan itu, Henderson dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Jurgen Klopp di dalam tempoh 24 jam berikutnya untuk membincangkan masa depannya sama ada akan kekal di Anfield atau sebaliknya untuk saingan musim hadapan.

Henderson masih memiliki kontrak berdurasi 2 tahun bersama Liverpool dengan pendapatan £190,000 seminggu.

Tetapi Al Ettifaq kini begitu bersungguh untuk meyakinkan pemain tengah itu dengan menggandakan gaji hampir 4 kali ganda yang diperolehinya bersama kelab Merseyside itu.

Jika berjaya meyakinkan Henderson, Ettifaq juga harus membayar nilai yuran perpindahan yang tinggi – dijangka lebih daripada £17 juta yang dibayar Al Hilal untuk mendapatkan Khalidou Koulibaly dari Chelsea.

Pemain berusia 33 tahun itu sudah kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukannya yang lain di Liverpool pada Selasa lalu.

Ettifaq pula sudah menyatakan minat untuk mendapatkan Henderson sejak dua minggu lalu dan kini ia terpulang kepada kapten The Reds itu untuk membuat keputusan.

Keputusan Henderson pasti akan dipengaruhi oleh perbincangannya dengan Klopp. Henderson masih lagi bersemangat untuk menjadi tunjang utama Liverpool untuk bersaing dengan Manchester City untuk kejuaraan pada musim hadapan.

Tetapi dengan ketibaan Alexis Mac Allister dan Dominik Sbozoszlai, tempat Henderson di dalam kesebelasan utama Liverpool sudah tidak lagi terjamin.

Selain dua pemain yang baru didatangkan itu, Henderson juga dijangka akan bersaing dengan Trent Alexander-Arnold yang beraksi cemerlang di posisi sama pada musim lalu.

BACA:  Ole Gunnar Solskjaer Goyang Masalah Kecederaan Ganggu Aksi Bertemu Liverpool