Jual Salah Kerana Liverpool Bermain Lebih Baik Tanpa Salah

Jurgen Klopp telah disarankan untuk menjual penjaring gol terbanyak mereka musim ini, Mohamed Salah kerana Liverpool akan bermain dan beraksi dengan lebih baik tanpa Salah di padang.

Mohamed Salah telah menjaringkan 22 gol di Premier League musim ini dan hanya satu gol sahaja dibelakang Harry Kane yang telah dinobatkan sebagai pemenang kasut emas dengan 23 gol.

Tanpa jaringan daripada Mohamed Salah rasanya Liverpool tidak mungkin akan dapat menamatkan musim ini ditangga ketiga dan meraih slot ke Champions League.

Nak diharapkan anak Pak Iman dari Senegal, Sadio Mane yang dimaki sepanjang musim dalam setiap permainan sangat mustahil dengan 11 jaringan sahaja yang berjaya dihasilkan.

Walaupun situasinya dan hakikatnya itu yang terjadi musim ini, Jurgen Klopp telah disarankan untuk menjual pemain antarabangsa Mesir itu bagi menjana wang untuk dibelanjakan kembali.

Idea ini datangnya daripada bekas penjaga gol Liverpool, David James yang percaya bahawa Liverpool bermain lebih baik tanpa Mohamed Salah.

David James telah menyatakan perkara ini ketika bercakap kepada Stadium Astro:

“Idea untuk Liverpool berbelanja besar dengan ratusan juta sangat mustahil. Aku rasa Liverpool perlu menjual pemain jika mahu berbelanja besar.”

“Di mata aku, Salah ni mungkin penjaring gol kedua terbanyak Premier League tapi Liverpool bermain dengan lebih baik tanpa Mohamed Salah.”

“Dan peluang untuk Liverpool mendapatkan wang tunai daripada Salah, Diogo Jota sangat cocok untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Salah.”

Bagi David James penjualan Salah bukan sahaja dapat modal untuk pembelian pemain baru sahaja malah akan mewujudkan dimensi baru dibahagian serangan Liverpool.

“Firmino akan mendapat lebih banyak kebebasan tanpa sebarang bantahan dan Liverpool akan mendapat dinamik baru di bahagian serangan.”

“Dan tiada lagi bergantung harap kepada Salah untuk menjaringkan gol.”

Sebagai perbandingan, Sadio Mane menjaringkan 11 gol, Roberto Firmino dan Diogo Jota pula masing-masing menjaringkan jumlah gol yang sama dengan 9 gol musim ini.

Apa yang menarik, Roberto Firmino telah menjaringkan 9 gol dalam 33 perlawanan dari kesebelasan utama dan Jota hanya 12 perlawanan bermula dari kesebelasan utama.

James telah ditanya bila dia terfikir sepatutnya Mohamed Salah yang menjaringkan 125 gol dalam 203 perlawanan ini patut dijual, bekas penjaga gol itu telah membandingkan pula dengan situasi Sergio Aguero.

“Sekarang, ini bukan tengtan Mo Salah tidak bagus kerana rekod jaringan telah menceritakan segala-galanya.”

“Hampir sama statistik dengan pemain seperti Aguero di mana Pep Guardiola dapat melihat Manchester City tidak perlukan Aguero.”

“Aku rasa Jurgen Klopp telah mengembangkan pasukannnya dengan cara, Salah menjadi titik fokus daripada tiga pemain penyerang sejak musim sebelum ini lagi.”

David James berpendapat kehadiran Salah telah mengganggu kelancaran permainan pasukan Liverpool.

“Aku fikir kelancaran Liverpool telah terganggu kerana Salah walaupun dia menjaringkan gol. Tottenham Hotspur satu lagi pasukan di mana penjaring terbanyak tidak menang liga.”

“Aku rasa Liverpool perlu jual Salah dapatkan aliran tunai dan hasilkan pasukan yang kuat.”

Untuk rekod sejak musim 2012/13 hanya Robin Van Persie sahaja menjadi penjaring terbanyak semusim membawa pasukannya muncul juara Premier League selepas itu tiada.

Jadi harapan David James untuk melihat penjaring terbanyak membawa pasukan menjadi juara adalah tidak masuk akal sama sekali.

Jual Salah digantikan Jota yang mempunyai rekod kecederaan yang cemerlang dan membeli pemain baharu belum tentu dapat melakukan apa yang Salah lakukan, 20 gol setiap musim di kaki.

Ini bukanlah kali pertama Mohamed Salah dipertikaikan kehadirannya dalam pasukan Liverpool, sebelum ini, Michael Owen telah melabel Mohamed Salah dan Sadio Mane tidak mempunyai penyudah semulajadi.

Untuk rekod, Salah dibawa masuk dari AS Roma sebagai seorang pemain sayap dengan rekod jaringan kurang dua angka semusim, entah bagaimana Klopp menukar Salah menjadi mesin gol.

Mungkin kerana campuran kurma dan hababatus sauda.

BACA:  Jangan Terlalu Memuja Salah, Benzema Sebenarnya Lebih Hebat