Juara Bertahan, Manchester United Tersingkir dari Piala FA

Manchester United, juara bertahan Piala FA tersingkir selepas tewas dalam penentuan penalti kepada Fulham. Penjaga gol Fulham, Bernd Leno menjadi wira apabila menyelamatkan sepakan Victor Lindelof dan Joshua Zirkzee.

Fulham Mendahului, United Bangkit di Babak Kedua

Separuh masa pertama berlangsung tanpa aksi menarik daripada kedua-dua pasukan. Namun Fulham berjaya mendapatkan gol pertama pada minit terakhir sebelum rehat. Calvin Bassey menanduk masuk bola hasil sepakan sudut untuk meletakkan pasukannya di hadapan.

Menyedari pasukannya memerlukan perubahan, pengurus Manchester United memasukkan Alejandro Garnacho pada minit ke-53. Pemain muda itu sebelum ini dihukum “kena belanja kawan-kawan makan” kerana meninggalkan padang lebih awal ketika digantikan dalam perlawanan menentang Ipswich Town.

Manchester United akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-71. Bruno Fernandes menyempurnakan hantaran lintang daripada Diogo Dalot untuk memberikan harapan kepada pasukannya. Sebelum itu penjaga gol United, Andre Onana, melakukan beberapa aksi cemerlang lagi gemilang termasuk menepis percubaan Emile Smith Rowe.

Pada masa tambahan, Garnacho hampir menjaringkan gol kemenangan. Mujur Leno sekali lagi menjadi penghalang dengan aksi penyelamatan yang baik. Pemain gantian, Chido Obi turut berpeluang menjaringkan gol tetapi percubaannya berjaya ditepis oleh Leno sebelum perlawanan berlanjutan ke penentuan penalti.

Dramatik di Penentuan Penalti

Dalam penentuan sepakan penalti, 3 pemain United (Fernandes, Dalot, dan Casemiro) berjaya menyempurnakan sepakannya. Fulham juga tidak ketinggalan apabila Raul Jimenez, Sander Berge dan Willian menjaringkan gol untuk pasukan mereka.

Namun, detik penentuan tiba apabila Lindelof entah bagaimana gagal menyempurnakan sepakannya. Peluang itu dimanfaatkan oleh Antonee Robinson untuk menjaringkan gol dan meletakkan Fulham di hadapan 4-3. Harapan terakhir United terletak pada Zirkzee tetapi sepakannya lemah serupa orang tak makan nasi ditepis mudah oleh Leno. Dengan itu, United tersingkir daripada kejohanan.

Apa Maksud Kekalahan Ini untuk United?

Kekalahan ini memberi tekanan besar kepada pengurus baharu, Ruben Amorim. Kini, satu-satunya kejohanan yang boleh diharapkan United adalah Liga Europa. Mereka bakal berdepan Real Sociedad dalam pusingan 16 terakhir.

Walaupun aksi mereka dalam perlawanan ini lebih baik berbanding sebelum ini, Fulham menunjukkan ketenangan yang lebih tinggi dalam penentuan penalti. Kekalahan ini juga membuktikan bahawa United masih bergelut untuk mencari rentak di bawah kendalian Amorim.

Penyokong United Protes Sebelum Perlawanan

Sebelum perlawanan bermula, ramai penyokong United dan Fulham berkumpul di luar Old Trafford untuk membantah kenaikan harga tiket. Untuk perlawanan ini, penyokong Fulham terpaksa membayar sehingga £61 berbanding had maksimum £30 dalam Liga Perdana Inggeris.

Penyokong United turut menyuarakan kemarahannya terhadap pemilik kelab, keluarga Glazer dan pelabur minoriti, Sir Jim Ratcliffe. Mereka tidak berpuas hati dengan kenaikan “harga ahli” dari £40 kepada £66 serta tiada lagi harga diskaun untuk kanak-kanak dan orang tua.

Ketahanan Dalot di Atas Padang

Diogo Dalot terus menunjukkan keazaman tinggi walaupun jadual perlawanan yang padat. Setakat ini, dia merupakan pemain ke-2 paling banyak beraksi untuk United selepas Andre Onana.

Ketika menentang Fulham, Dalot memainkan peranan penting dalam gol penyamaan United. Dia berjaya melakukan hantaran lintang berkualiti tinggi kepada Fernandes yang menyempurnakannya dengan baik.

Kemarau Gol Rasmus Hojlund

Kini Rasmus Hojlund sudah melalui 18 perlawanan tanpa menjaringkan sebarang gol. Keadaan ini amat membimbangkan kerana dia sebelum ini memulakan musim dengan prestasi baik. Semakin lama keyakinannya semakin merosot akibat kurangnya peluang mencipta jaringan. Kawan-kawan macam tak  pass bola kat dia.

Dalam perlawanan ini, dia hanya mendapat satu peluang menerusi hantaran Christian Eriksen tetapi gagal menjaringkan gol. Amorim kemudiannya menggantikannya dengan Obi pada minit ke-68, tanda jelas bahawa pengurus itu sedang mencari pilihan lain di bahagian serangan.

United Lemah Bertahan dari Sepakan Sudut

United masih bergelut dengan kelemahan ketika bertahan dalam situasi bola mati. Sejak awal tahun 2024, mereka sudah bolos 17 gol daripada situasi itu termasuk 3 daripada sepakan sudut.

Gol Bassey berpunca daripada kelemahan yang sama. Rodrigo Muniz dibiarkan bebas menanduk bola kepada Bassey yang kemudian menewaskan Onana. Walaupun Amorim menyedari masalah ini, pasukannya masih gagal memperbaikinya walaupun sudah 24 perlawanan di bawah kendaliannya.

Amorim Kekal Berpegang pada Sasaran Liga Perdana

Selepas perlawanan, Amorim menegaskan bahawa sasaran utama United adalah untuk kembali menjuarai Liga Perdana Inggeris.

“Saya tahu kami tewas tetapi matlamat tetap sama. Kami akan terus berusaha ke arah itu. Kami perlu pulihkan pemain kerana jadual perlawanan sangat padat,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan untuk bersedia menghadapi Real Sociedad dalam Liga Europa serta pertemuan besar menentang Arsenal selepas ini.

Kesimpulan

Tersingkir dari Piala FA adalah tamparan hebat untuk United. Kini mereka perlu memberikan tumpuan penuh kepada Liga Europa.

Masalah utama pasukan ini masih sama – kelemahan bertahan dalam bola mati dan ketumpulan serangan. Jika Amorim mahu mengubah nasib United, dia perlu segera menyelesaikan isu ini sebelum musim berakhir.

BACA:  Christian Eriksen Secara Lisannya Telah Bersetuju Sertai Man United