Direktor Sukan Juventus, Fabio Paratici mengesahkan kelab tersebut sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey secara percuma untuk saingan musim hadapan.
Ramsey dijangka akan meninggalkan Arsenal secara percuma pada penghujung musim nanti selepas kelab utara London itu menarik balik tawaran kontrak terhadap Ramsey.
Ramsey dilaporkan hampir untuk menandatangani kontrak baru untuk terus kekal di Emirates Stadium tetapi ketibaan rejim baru di bawah Unai Emery mengubah segalanya.
Ramsey dilaporkan meminta gaji yang agak tinggi untuk kekal bersama Arsenal tetapi pengurusan baru melihat permintaan tersebut sebagai tidak berasas dan menarik balik tawaran kontrak yang ditawarkan ketika era Arsene Wenger.
Pemain antarabangsa Wales itu kini sudah memasuki 6 bulan terakhir dalam kontraknya dan boleh mengadakan perbincangan dengan mana-mana kelab di luar England yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya secara percuma pada musim panas nanti.
Mengikut sumber BBC, Ramsey dijangka akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kelab ternama sekitar Eropah seperti Juventus, Inter Milan, Real Madrid, PSG, dan Bayern Munich sebelum meninggalkan Arsenal secara percuma hujung musim nanti.
Exclusive: Aaron Ramsey to hold talks with Bayern Munich, Inter Milan, Juventus, PSG, Real Madrid before leaving Arsenal as a free agent in the summer. #AFC have little money to spend in Jan so loans more likely with a bigger budget next window. Full story https://t.co/hhE92je0lS
— David Ornstein (@David_Ornstein) December 31, 2018
Laporan dari BBC mengenai minat Juventus terhadap Ramsey nyata benar selepas Direktor Sukan kelab berkenaa, Fabio Paratici memberitahu Sky Italy Juventus sangat berminat untuk mendapatkan Ramsey.
“Ya, kami sangat berminat terhadap Aaron Ramsey.”
“Beliau merupakan pemain tengah yang hebat tetapi buat masa sekarang beliau adalah pemain Arsenal. Kita akan lihat apa yang akan berlaku.”
Sky Sports sebelum ini pernah melaporkan sebelum ini yang musim ini bakal menjadi musim terakhir Ramsey di Emirate Stadium selepas Arsenal memberitahu secara peribadi yang beliau tidak akan ditawarkan kontrak baru.
Sejak berpindah ke Arsenal dari Cardiff pada tahun 2008 lalu, Ramsey telah melakukan 352 penampilan dan berjaya menjaringkan 60 gol untuk kelab tersebut.
Juventus dijangka menjadi pasukan pilihan Ramsey memandangkan peluang untuk beraksi bersama Cristiano Ronaldo amatlah sukar untuk dilepaskan.
Juventus merupakan pasukan pilihan untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah musim ini selepas ketibaan Ronaldo ke kelab tersebut pada jendela perpindahan musim panas lalu.