Penyerang Tottenham Hotspurs, Harry Kane mencabar Mohamed Salah supaya mengulangi prestasi cemerlang beliau pada musim hadapan bagi membolehkan beliau digelar pemain ‘hebat’.
Pemain antarabangsa Egypt tersebut menjaringkan gol ke-32 dalam saingan Liga Perdana Inggeris dalam perlawanan terakhir liga musim ini ketika Liverpool membelasah Brighton 4-0 di hadapan penyokong sendiri semalam.
Kane gagal dalam percubaannya untuk memintas Salah walaupun berjaya menjaringkan dua gol ketika Spurs menang tipis ke atas Leicester 5-4 dalam perlawanan yang dipenuhi dengan aksi menarik. Pemain antarabangsa England itu gagal dalam percubaannya untuk menjadi pemain pertama memenangi gelaran Kasut Emas bagi 3 musim berturut-turut.
Dua gol yang dijaringkan Kane ketika menentang Leicester menjadikan jumlah gol terkumpul beliau musim ini meningkat ke angka 30, tetapi masih belum cukup untuk memintas Salah. Jumlah tersebut juga merupakan jumlah gol tertinggi yang dicatatkan Kane dalam satu musim.
Dalam dua musim sebelum ini, beliau berjaya menjaringkan 25 dan 29 gol bagi merangkul gelaran Kasut Emas tetapi kehebatan Salah musim ini menyebabkan Kane terpaksa berputih mata.
“Ia merupakan perkara yang bagus untuk bersaing. Liga Perdana Inggeris juga menjadi lebih menarik apabila ada dua pemain berjaya mencecah angka 30 gol.”
“Secara peribadi, saya sudah mencapai sasaran untuk memperbaiki catatan saya musim lepas dimana sebelum ini saya menjaringkan 29 gol. Saya berasa gembira dapat mencecah angka 30 musim ini.”
“Mohamed Salah telah mempamerkan prestasi yang hebat musim ini dan beliau berhak memenangi anugerah Kasut Emas. Saya sudah melihat ke hadapan untuk bersaing dengan beliau merebut anugerah tersebut musim hadapan.”
“Bagi saya, apa yang penting adalah menjaringkan gol dengan banyak secara konsisten setiap musim. Saya telah memasuki tahun ke-4 dalam pasukan utama Spurs dan ini kali pertama saya mencapai angka 30 gol dalam Liga Perdana Inggeris.”
“Jadi sekarang, saya perlu menjaringkan 30 gol untuk dua atau tiga tahun selepas ini. Itu sasaran saya.”
“Setiap pemain mahu melakukannya secara konsisten dan perkara tersebut yang membezakan di antara pemain yang baik dengan pemain yang hebat. Salah telah mempamerkan aksi yang hebat musim ini dan beliau kelihatan seperti seorang pemain yang hebat. Sekarang kita lihat sama ada kami berdua mampu mengekalkan prestasi yang sama musim hadapan.”
Dalam perkembangan lain pula, pengurus Tottenham Mauricio Pochettino telah mencabar pengerusi kelab, Daniel Levy untuk menyamai perbelanjaan yang dilakukan seteru Liga Perdana Inggeris dalam pasaran perpindahan pemain.
Pochettino menggesa kelab tersebut supaya berani mengambil risiko dan meneliti kembali strategi kelab dalam pasaran perpindahan jika mereka mahu kembali memenangi trofi pada masa hadapan.