Kecewa Dilucutkan Jawatan Kapten, Maguire Kenang Kebaikkan Dan Kepercayaan Diberikan Solskjaer

Pemain pertahanan termahal dunia Harry Maguire meluahkan rasa kecewanya di Twitter selepas pertemuan dengan pengurus pasukan, Erik ten Hag yang mengesahkan pelucutan peranannya sebagai kapten Manchester United.

Perkhabaran pertukaran peranan kapten di dalam skuad Setan Merah sememangnya tidak mengejutkan.

Malah ia sudah bertiup kencang sejak lebih seminggu lalu dalam usaha Ten Hag memperkasakan pasukan kendaliannya untuk saingan musim hadapan.

“Selepas duduk berbincang dengan pengurus [Ten Hag] hari ini saya mengesahkan akan berlaku perubahan jawatan kapten pasukan,” tulis Maguire.

“Dia [Ten Hag] menjelaskan alasan berbuat demikian dan secara peribadi saya amat kecewa.

“Bagaimanapun saya akan terus memberikan segalanya setiap kali saya menyarung jersi [Man Utd] ini.

“Dan saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada penyokong Manchester United yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi ketika saya memakai lilitan ini.

“Sejak saya memegang peranan ini tiga tahun setengah yang lalu, ia adalah satu penghormatan untuk memimpin Manchester United dan salah satu kebanggaan yang saya lalui sepanjang karier.

“Ia adalah salah satu penghormatan terbesar di dalam bola sepak peringkat kelab. Saya telah memberikan segalanya untuk membantu United berjaya – dalam dan luar padang.”

Maguire kemudiannya turut mengucapkan penghargaan kepada bekas pengurus, Ole Gunnar Solskjaer yang menjadi pengurus bertanggungjawab memberikan lilitan kapten kepadanya.

“Saya akan sentiasa menghargai Ole Gunnar Solskjaer yang menjadi pengurus pertama memberikan tanggungjawab kapten kepada saya, dan mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain berikutnya memainkan peranan itu.

“Dan saya beri jaminan akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada kapten pasukan yang baharu,” tambahnya lagi.

Dua calon yang mungkin dipertimbangkan Ten Hag untuk menggantikan Maguire sebagai kapten seperti dilaporkan media adalah pemain tengah berpengalaman, Casemiro dan juga Bruno Fernandes.

Selain daripada dua pemain tersebut, Ten Hag juga berkemungkinan akan mempertimbangkan pemain pertahanan, Raphael Varane.

Bekas pemain Real Madrid itu dilihat memakai lilitan kapten dalam perlawanan persahabatan pertama United di pra musim menentang Leeds pada minggu lalu.

Ten Hag turut mengesahkan dia akan memilih sendiri kapten baharu yang dirasakan sesuai, dan tidak akan menyerahkannya kepada pemain atau undian untuk melakukan pemilihan.

BACA:  Reaksi Pogba Sebaik Sahaja Mendapat Tahu Mourinho Dipecat