Pemain antarabangsa Chile, Alexis Sanchez dilaporkan ‘hilang’ dari radar dan tidak kelihatan dalam sesi latihan terakhir menjelang pertemuan penting menentang Juventus awal pagi Rabu nanti dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah.
Menurut laporan yang dikeluarkan The Times hujung minggu lalu, bekas pemain Arsenal itu dilaporkan tidak gembira dengan layanan Jose Mourinho terhadapnya dan sudah mengarahkan ejennya supaya mencari kelab baru yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya sebaik sahaja pintu perpindahan Januari dibuka atau pada musim panas tahun hadapan.
Ketiadaan Sanchez dalam sesi latihan terakhir sebelum skuad Manchester United turun menentang Juventus di Old Trafford menghangatkan lagi laporan yang mendakwa Sanchez sedang mengintai peluang untuk meninggalkan kelab tersebut dalam masa terdekat ini.
Sanchez menyertai Red Devils pada jendela perpindahan Januari tahun ini dalam perjanjian pertukaran pemain yang menyaksikan pemain antarabangsa Armenia, Henrikh Mkhitaryan berpindah ke Arsenal.
Musim ini menyaksikan Sanchez bergelut untuk mempamerkan prestasi cemerlang yang pernah dipamerkannya ketika beraksi dengan Arsenal dahulu. Sanchez telah beraksi dalam 7 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini dan hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja.
Beliau juga hanya bermain 90 minit perlawanan sekali sahaja musim ini, iaitu ketika perlawanan pembukaan menentang Leicester yang menyaksikan United menang tipis 2-1 ke atas Leicester City.
Dalam perlawanan terakhir menentang Chelsea hujung minggu lalu, beliau hanya masuk sebagai pemain gantian sahaja dan sempat beraksi selama 5 minit. Perlawanan itu berakhir dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata selepas Ross Barkley menjaringkan gol pada saat terakhir untuk mengecewakan hati penyokong Setan Merah seluruh dunia, termasuk admin The Sukan Bukhari.
Secara keseluruhannya, Sanchez telah bermain dalam 26 perlawanan untuk Manchester United dan hanya mampu menjaringkan 4 gol sahaja. Ia merupakan satu jumlah yang mengecewakan bagi seorang pemain yang menerima gaji tertinggi di Liga Perdana Inggeris iaitu sekitar £391,000 seminggu.
Dalam perkembangan lain, kelibat Jesse Lingard, Diogo Dalot, dan Maroune Fellaini juga tidak kelihatan menjelang pertemuan terbesar United musim ini di peringkat Eropah.
Red Devils setakat ini telah mengumpul 4 mata hasil kemenangan ke atas Young Boys dan seri menentang Valencia. United menduduki tangga ke-2 kumpulan H di belakang Juventus yang memperolehi 6 mata selepas menang kesemua perlawanan mereka.
Antara perkara yang mencuri perhatian menjelang pertemuan dua gergasi Eropah adalah kepulangan pemenang 5 Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo ke Old Trafford buat kali pertama sejak menyertai Juventus.
Ronaldo yang berdepan tuduhan rogol di Amerika Syarikat, berada dalam prestasi terbaik musim ini dan telah menjaringkan 5 gol dan 5 asssits selepas mengharungi 9 perlawanan Serie A.