Kembalinya ‘Jeneral’ Marco Verratti Jadikan Itali Pasukan Pilihan Juarai Euro 2020

Jika ada pemain yang boleh dianggap seperti seorang jeneral di dalam skuad Itali di kejohanan Euro 2020 ini, maka gelaran itu harus menjadi milik Marco Verratti.

Verrati tenang menampilkan aksi seorang jeneral ketika membantu Itali menewaskan Wales dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan A pada tengah malam tadi.

Beraksi di Stadium Olimpico, Roma, Itali berjaya menewaskan lawan mereka itu dengan jaringan 1-0 hasil jaringan tunggal Matteo Pessina.

Kemenangan tersebut mengesahkan laluan Itali ke pusingan 16 pasukan terbaik selaku juara kumpulan, melalui tiga perlawanan dengan rekod kemenangan 100% dan tanpa dibolosi sebarang gol.

Sumbangan Verrati

Verrati memberikan sumbangan amat besar dalam melakar kemenangan Itali ke atas Wales. Malah assist daripada beliau membenarkan Pessina menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan ini.

Selain daripada assist tersebut, Verratti memastikan kehadiran beliau di tengah padang amat dirasai dengan larian dari kotak ke kotak, dan sentuhannya.

103 hantaran dilengkapkan, 4 hadangan untuk mematikan serangan lawan, dan lima peluang yang dicipta pemain ini dalam perlawanan menentang Wales pasti akan membuatkan Roberto Mancini tersenyum menuju saingan peringkat kumpulan.

Sebenarnya perlawanan menentang Wales ini adalah perlawanan penampilan pertama pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG) ini di Euro 2020. Sebelum ini, Verratti sekadar memanaskan bangku pemain simpanan kerana belum pulih sepenuhnya dari kecederaan yang diperolehinya sebelum kejohanan bermula.

Walau sebelum ini diketepikan kerana masalah kecergasan, namun selepas diberikan peluang, Verratti jelas memanfaatkannya dengan cukup sempurna.

Marco Verratti walau tidak dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan ini, namun statistik yang beliau catatkan sungguh luar biass menakjubkan.

Tanpa Verratti di bahagian tengah, posisi tersebut diisi oleh Manuel Locatelli yang turut menyerlah dalam dua penampilan peringkat kumpulan.

Kritikan Viera

Namun dengan adanya Locatelli sekalipun persembahan Itali tetap masih dikritik oleh legenda Perancis, Parick Viera sebelum ini.

Patrick Viera masih belum melihat pasukan ini merupakan pilihan kuat untuk ke final Piala Eropah 2020, walaupun Locatelli menjaringkand dua gol ketika menang ke atas Turki.

Malah Viera melihat Itali masih belum sempurna dan mempunyai beberapa kekurangan.

“Saya fikir (pada) dua perlawanan pertama yang mereka hadapi adalah perlawanan mudah,” kata Vieira kepada ITV

“Tentu saja, Anda perlu mengalahkan pasukan yang perlu dihadapi, tapi saya masih ragu mereka boleh mara ke perlawanan akhir,”

“Saya yakin mereka kurang intensiti, kurang kuat, (kurang) pantas untuk menjadi lebih bahaya untuk meluru ke atas. Jadi, saya masih akan menunggu (melihat).”

“Saya fikir masih terlalu awal untuk mengatakan Itali boleh mara ke peringkat akhir.” kata Vieira kepada ITV

Kepulangan Verratti dari kecederaan kini hanya akan menambahkan kekuatan bahagian tengah Itali.

Penutup

The Azzurri kini telah melebarkan rekod tanpa kalah kepada 30 perlawanan selepas menewaskan Wales 1-0 dalam saingan Euro 2020.

Itali memenangi 25 perlawanan dan seri lima kali sejak September 2018, sekali gus menyamai rekod dipegang jurulatih yang memenangi trofi Piala Dunia sebanyak dua kali, Vittorio Pozzo antara 1935 hingga 1939.

Adakah Itali kini layak dilabel sebagai pilihan dengan adanya Verratti?

BACA:  Marco Verratti: England Lebih Tertekan