Mungkin perkara paling besar yang dapat diambil daripada kemenangan 4-0 Manchester City ke atas Newcastle United pada Sabtu lalu ialah; seolah-olah apa yang berlaku pada beberapa bulan yang lepas, tidak pernah berlaku.
Sebelum perlawanan ini, City hanya menang 8 daripada 24 perlawanan terakhir. Banyak kekalahan dan keputusan seri dalam tempoh itu, ia memberi kesan besar terhadap moral pasukan sehingga jelas terpampang pada fizikal dan mental pemain.
City tetap bangkit dengan semangat dan tenaga selepas menempuhi setiap kekecewaan tetapi tidak berjaya bertahan sehingga perlawanan tamat. Menjelang pertemuan menentang Newcastle Pep Guardiola mengulangi perkataan itu.“kami tidak dapat mengekalkannya selama 90 minit.”
Dalam sidang media sebelum perlawanan, Guardiola bercakap panjang lebar mengenai masalah pasukannya. Dia tidak menjangka pemain yang sering mengalami kecederaan akan kembali ke prestasi terbaik musim ini. Malah, dia turut meluahkan kebimbangan bukan sahaja ketika pasukannya tidak mempunyai bola tetapi juga ketika mereka menguasainya.
“Saya boleh terima apabila pihak lawan menguasai bola, saya akan menderita,” katanya. “Saya terima itu. Tetapi sekarang, kami juga menderita ketika menguasai bola. Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini.”
Namun, semua kebimbangan itu tidak kelihatan dalam kemenangan ke atas Newcastle. Walaupun tahap tenaga mereka sedikit menurun selepas separuh masa pertama, City tidak menghadapi sebarang masalah. Mereka tidak bolos – satu pencapaian besar selepas menempuhi beberapa bulan yang sukar. Sejak akhir Oktober, City hanya mencatatkan 4 clean sheet. Kali terakhir adalah pada enam perlawanan lepas ketika menentang Ipswich Town pada 19 Januari.
Guardiola menyifatkan Newcastle sebagai lawan yang sukar. “Mereka lebih kuat, lebih pantas dari pemain kami,” katanya. Namun, dia menegaskan perbezaan ini tidak menjadi masalah kepada City kerana pasukannya selalu bijak mengawal bola.
Walaupun City bermain baik, Newcastle sendiri tampak goyah. Pengurusnya, Eddie Howe mengakui kelemahan pasukannya selepas perlawanan. Dia memberi gambaran bagaimana City masih dianggap sebagai pasukan yang ditakuti oleh pesaing mereka.
“Kami tewas dalam banyak perebutan bola,” kata Howe. “Dan itu menyukarkan kerana bagi saya, mereka masih pasukan terbaik di dunia dalam fasa membina serangan.”
Perkataan “masih” menunjukkan bahawa ada perubahan dalam persepsi terhadap City.
Howe menambah lagi: “Dengan bola, mereka masih pasukan yang cukup sukar untuk dihadapi.”
Maksud tersiratnya jelas – tanpa bola, City tidak lagi setakut dulu.
Namun, itu tidak berlaku dalam perlawanan ini. Untuk meraih kemenangan seperti ini, City bukan sahaja memerlukan Newcastle bermain buruk tetapi mereka sendiri perlu bermain dengan baik dan itulah yang berlaku.
Pemain Baharu Beri Impak, Pemain Lama Kembali Bersinar
Omar Marmoush mencuri perhatian dengan hatrik dalam tempoh 33 minit pada separuh masa pertama. Dia menunjukkan larian berbahaya serta keupayaan membaca pergerakan di kotak penalti. Pemain berusia 25 tahun ini telah dikenal pasti oleh City sebagai pemain yang mampu memberikan impak segera terutamanya pada separuh kedua musim ini. Selepas beberapa aksi yang kurang meyakinkan, dia akhirnya menunjukkan kemampuan sebenar ketika menentang Newcastle.
Nico Gonzalez yang membuat penampilan sulung di Liga Perdana turut memberi kesan besar. Guardiola sendiri memuji pemain berusia 23 tahun itu.
“Saya rasa kehadiran Nico banyak membantu kami. Dalam 10 perebutan bola 50-50, jika dia menang 7, kami boleh menang. Jika dia kalah 7, lawan akan menyerang. Saya rasa kelab telah membeli pemain yang luar biasa untuk masa depan terutama dari segi mentaliti,” kata Guardiola.
“Dia mengingatkan saya kepada Rodri dalam versi lebih kecil. Itu satu pujian besar. Rodri masih yang terbaik tetapi saya percaya dia akan membantu kami musim ini.”
Abdukodir Khusanov, baru berusia 20 tahun juga menunjukkan peningkatan besar berbanding debutnya yang goyah ketika menentang Chelsea pada Januari. Guardiola berkata,
“Kelajuan Khusanov sangat penting dalam bertahan. Dia terlalu agresif dalam perebutan bola tetapi ini hanya soal masa.”
Selain pemain baharu, pemain lama seperti Ilkay Gundogan dan Rico Lewis juga kembali menunjukkan prestasi baik selepas mengalami keletihan hujung tahun lalu.
Satu lagi faktor yang membantu City ialah sumbangan Savinho. Pemain sayap Brazil itu bermain dengan cemerlang, menyerang pertahanan Newcastle pada setiap peluang yang ada.
Cabaran di Bernabeu Menanti
Sementara itu, di Sepanyol, Jude Bellingham dilayangkan kad merah ketika Real Madrid seri 1-1 dengan Osasuna, satu lagi kemunduran untuk mereka menjelang perlawanan timbal balik menentang City.
Selepas kalah 3-2 kepada Madrid di Manchester minggu lalu, City berdepan tugas berat untuk bangkit di Bernabeu. Bukan sahaja kerana agregat perlawanan tetapi juga masalah yang mereka hadapi sepanjang musim ini.
Namun, jika segalanya berpihak kepada City – jika Madrid mengalami malam yang sukar, pemain baharu City memberi impak dan pemain lama mereka kembali berada di tahap terbaik, mungkin mereka masih ada harapan.
Bagaimana Guardiola kekal realistik terutamanya ketika Ruben Dias dan Nathan Ake masih dalam keraguan selepas terlepas perlawanan menentang Newcastle.
“Dengar sini,” katanya.
“Untuk menang di Bernabeu, dalam situasi ini, semua orang tahu betapa sukarnya. Jika anda tanya saya sebelum perlawanan, saya tak pasti sama ada kami ada 1% peluang pun. Tetapi selagi ada peluang, kami akan mencuba.”
“Musim ini, realitinya ialah kami jauh ketinggalan. Kami benar-benar lemah dari segi prestasi dan keputusan, bukan hanya 1 perlawanan. (Menentang Newcastle) kami bermain dengan baik tetapi ia tidak mengubah keadaan keseluruhan pasukan. Kami masih belum mencapai tahap terbaik.”
“Namun, sekurang-kurangnya adalah lebih baik untuk ke Madrid dengan kemenangan ini berbanding satu lagi kekalahan di saat akhir. Peluang kami masih tipis tetapi selagi ada peluang, kami akan cuba dan lihat apa yang berlaku.”
Sekurang-kurangnya, masih ada secercah harapan untuk City.