Kemenangan Berharga Arsenal: Merino Bersinar, Nwaneri & Lewis-Skelly Menonjol

Mikel Merino Jadi Wira Arsenal Dalam Kemenangan ke Atas Leicester

Ketika Arsenal buntu mencari penyelesaian, Mikel Merino muncul sebagai jawapan.

Dalam beberapa minggu terakhir, ramai tertanya-tanya bagaimana Arteta akan menyusun serangan tanpa pemain utama seperti Saka, Jesus, Martinelli dan Havertz.

Ketika perlawanan menentang Leicester masih terikat 0-0 dan Arsenal bergelut untuk mencari gol, Arteta melakukan pertukaran pada minit ke-69 dengan memasukkan Merino menggantikan Sterling. Ternyata keputusan itu membuahkan hasil apabila Merino menjaringkan 2 gol untuk memastikan kemenangan memihak kepada pasukannya.

Sebelum itu, Ethan Nwaneri satu-satunya pemain Arsenal yang menampilkan aksi cemerlang. Tidak lupa, dengan pertahanan mantap daripada Myles Lewis-Skelly dan 2 gol daripada Merino, Arsenal kini hanya 4 mata di belakang Liverpool, yang akan menentang Wolves esok.


Adakah Merino Penyelesaian Kepada Masalah Arsenal?

Adakah Merino akan mengulangi situasi yang pernah dialami oleh Kai Havertz? Merino dibeli untuk digunakan sebagai pemain tengah menyerang di sebelah kiri tetapi dia sukar memberi impak. Akhirnya dia diletakkan sebagai penyerang utama dan berjaya menyerlah.

Pada musim lalu perkara yang sama berlaku kepada Havertz. Selepas 2 gol daripada Merino yang membawa kepada kemenangan bermakna untuk Arsenal, Arteta mungkin sudah menemui jalan keluar kepada masalah serangannya.

Arsenal bergelut untuk mencipta peluang dari bahagian sayap, mereka memerlukan ancaman di udara dalam kotak penalti. Sterling, Trossard dan Nwaneri mempunyai fizikal yang lebih kecil, menjadikan mereka kurang berbahaya dalam situasi ini.

Declan Rice cuba membantu dengan bergerak ke dalam kotak penalti sebagai second striker tetapi Arsenal masih kekurangan penyerang yang lebih tradisional. Salah satu sebab Merino dibeli kerana kekuatannya dalam perebutan bola. Walaupun peranannya lebih kepada menguasai bahagian tengah namun tandukan kemenangan darinya untuk Sepanyol dalam perlawanan peringkat suku akhir Euro 2024 menentang Jerman membuktikan dia juga mampu menjadi ancaman dalam serangan.

Dia membuktikannya sekali lagi ketika menentang Liverpool dan Leicester yang mana tandukannya membawa kemenangan.

Untuk gol kedua, Merino menunjukkan pergerakan bijak dengan kekal di far post sebelum menyudahkan peluang, kemudian meraikannya dengan gaya khasnya iaitu berlari mengelilingi bendera penjuru.


Bagaimana Persembahan “Barisan Serangan Sementara” Arsenal?

Penyerang Arsenal beberapa kali terperangkap ofsaid, 4 kali pada babak pertama dan menjadi jumlah tertinggi mereka dalam 1 perlawanan pada musim ini. Ia menunjukkan mereka masih mencari keserasian di barisan serangan.

Tanpa Havertz sebagai titik utama serangan, Arsenal cuba bermain dengan lebih pantas tetapi sering tersilap dalam menentukan masa ketika melakukan hantaran. Sterling khususnya, beberapa kali memperlahankan permainan ketika Arsenal sepatutnya menyerang dengan lebih pantas manakala Odegaard kerap memegang bola terlalu lama mengakibatkan serangan kehilangan momentum.

Pada masa lain, mereka kadang-kadang terlalu tergesa-gesa. Trossard misalnya, tidak memahami pergerakan rakan sepasukan dengan baik. Dia beberapa kali berlari melepasi pertahanan ketika bola sebenarnya dihantar kepadanya dan menyebabkannya terperangkap ofsaid 2 kali.

Sterling sepatutnya kekal tinggi dan melebar untuk menerima hantaran jauh. Namun dia 2 kali terperangkap ofsaid walaupun mempunyai masa untuk melihat garis pertahanan lawan untuk menyesuaikan posisinya.


Berapa Penting Peranan Nwaneri?

Tanpa 4 pemain serangan utama, Arsenal memerlukan seseorang yang boleh menjadi pencetus serangan pasukan. Walaupun baru 8 kali berada dalam kesebelasan utama, Nwaneri menunjukkan keberanian untuk memikul tanggungjawab besar.

Ketika Sterling dan Trossard bergelut, pemain berusia 17 tahun itu tampil dengan penuh tenaga di bahagian sayap kanan. Dia melakukan hantaran silang sempurna untuk gol pertama Merino. Walaupun sering dikawal 2 pemain lawan, dia tetap berjaya melepaskan diri dengan menggelecek ke dalam untuk membuka ruang permainan. Dia juga mampu melepasi pemain pertahanan sayap lawan, seperti yang dilakukan ke atas Victor Kristiansen sebelum menghantar bola ke dalam kotak penalti.

Arsenal sering menghadapi kesukaran menyerang selepas memenangi bola di kawasan tinggi tetapi Nwaneri bermain dengan ketenangan dan ketajaman. Pada separuh masa kedua, dia 2 kali hampir menjaringkan menerusi serangan balas. 1 percubaan terkena palang dan 1 lagi terkena tiang.

Pada Disember lalu, Nwaneri sudah membuktikan bahawa dia mampu menggantikan Saka. Kini, dia kembali dan dalam usia yang begitu muda dia perlu menjadi tonggak utama dalam serangan Arsenal.

Arsenal pasti tidak mahu memberi beban berlebihan kepadanya tetapi apabila dia satu-satunya pemain yang mampu menggerakkan pasukannya ke depan, sukar untuk mengetepikannya.


Satu Aksi Bertahan Yang Hebat Dari Lewis-Skelly 

Selain Nwaneri, satu lagi pemain muda Arsenal yang menonjol ialah Myles Lewis-Skelly. Pada separuh masa kedua dia menunjukkan satu aksi bertahan yang cukup penting.

Ketika perlawanan masih terikat 0-0, Leicester hampir menjaringkan gol apabila Jordan Ayew berjaya melepasi pertahanan di bahagian kiri dan menghantar bola ke tengah. Ketika itu, Bobby De Cordova-Reid kelihatan bersedia untuk menyambar bola dan menjaringkan gol.

Namun, Lewis-Skelly kekal tenang dan berjaya menghulurkan kaki tepat pada masanya untuk menepis bola keluar. Dia bukan sahaja berjaya mengelak daripada menjaringkan gol sendiri tetapi juga menggagalkan peluang mudah buat De Cordova-Reid.

Hanya beberapa minit selepas aksi bertahan cemerlang itu, Merino menjaringkan gol pertama Arsenal. Kemenangan ini bukan hanya hasil ketajaman Merino di hadapan gol tetapi juga kecerdikan Lewis-Skelly dalam bertahan.


Kesimpulan

Arsenal berjaya mendapatkan kemenangan penting menentang Leicester walaupun bergelut dengan krisis kecederaan di bahagian serangan. Mikel Merino muncul sebagai penyelamat dengan 2 golnya, Nwaneri memainkan peranan besar sebagai pencipta serangan utama dan Lewis-Skelly memastikan gawang Arsenal kekal selamat melalui pertahanan bijaknya.

Dengan kemenangan ini, Arsenal terus memberi tekanan kepada Liverpool dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana.

BACA:  Pasukan Terburuk Eropah Kumpul Bekas Pemain Arsenal Untuk Selamatkan Musim Mereka