Wenger Akui Tolak Banyak Tawaran Lumayan Demi Cintanya Terhadap Arsenal

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata beliau menolak banyak tawaran dari kelab luar sepanjang kariernya kerana sayangkan Arsenal.

Arsenal akan berkunjung ke Old Trafford malam esok untuk bertemu Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris. Perlawanan itu juga bakal menjadi kunjungan terakhir beliau ke Old Trafford selaku pengurus Arsenal.

Cinta Wenger terhadap Arsenal tidak berbelah bahagi dan tidak boleh dijual beli

Pengurus berasal dari Perancis itu juga mengakui beliau ada berjumpa dengan bekas pengerusi United Martin Edwards sekitar tahun 2002 yang mana ketika itu Sir Alex Ferguson berhasrat untuk bersara dari jawatannya sebagai pengurus Manchester United. Akan tetapi Wenger menolak tawaran untuk menggantikan tempat Ferguson kerana masih setia dengan Arsenal.

“Arsenal merupakan cinta hati saya sepanjang hayat. Saya telah menolak banyak tawaran dari kelab luar demi memastikan Arsenal dapat membina sebuah stadium baru [Stadium Emirates siap dibina pada tahun 2006].”

“Saya bercakap dengan banyak pihak. Betul, saya ada bercakap dengan bekas pengerusi United Martin Edwards. Banyak pihak datang berjumpa saya tetapi saya sentiasa setia dengan Arsenal.”

“Jika dilihat balik, Manchester United mempunyai skuad yang cukup hebat ketika itu. Ryan Giggs, Paul Scholes, dan mereka juga memiliki pemain muda yang hebat iaitu Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney. Anda dapat lihat apa yang Ronaldo dan Rooney telah lakukan sepanjang karier mereka.”

Please Wenger, ganti tempat aku. Aku nak pencen

“Termasuk Ruud Van Nistelrooy, mereka memiliki pasukan yang cukup luar biasa. Sekarang baru saya sedar betapa hebatnya cabaran Arsenal ketika itu untuk bersaing dengan pasukan United tersebut.”

Wenger tentunya akan diingati peminat Manchester United kerana perseteruan beliau dengan Sir Alex Ferguson pada hujung 90-an dan awal 2000. Tetapi Wenger mengakui tidak dapat menjangka sambutan yang bakal diterimanya malam esok dalam perlawanan terakhir beliau di Old Trafford.

“Saya tidak tahu apa reaksi penyokong tuan rumah malam esok tetapi kami telah terlibat dalam banyak pertarungan yang hebat sepanjang 22 tahun menguruskan Arsenal.”

“Tetapi bagi saya, apa yang penting adalah kami dapat bangkit daripada keputusan mengecewakan menentang Atletico Madrid tempoh hari dan mencatatkan keputusan yang baik sebelum kami bertemu Atletico Madrid sekali lagi minggu hadapan.”

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho juga mengakui perasaan kesalnya terhadap pertelingkahan beliau dengan Wenger sepanjang kariernya dan mahu penyokong tuan rumah memberikan penghargaan terakhir kepada Wenger apabila kedua-dua pasukan bertembung malam eosk.

Mourinho menyesal bergaduh dengan Wenger dulu. Andai dapat ku undurkan putaran dunia….

“Pada pendapat saya, seteru utama adalah kawan yang terbaik kerana mereka yang bertanggungjawab menekan anda melepasi had.”

“Saya rasa semua peminat Manchester United tahu selama hampir sedekad, kejuaraan liga hanya ditentukan oleh Arsenal atau Manchester United, Wenger atau Alex Ferguson.”

“Penyokong United tahu pasukan Arsenal ketika itu telah membuatkan Manchester United menjadi lebih baik. Saya amat berharap Wenger akan menerima sambutan yang baik daripada penyokong kami. Saya mahu Wenger merasai perasaan hormat yang dimiliki penyokong United terhadap beliau.”

BACA:  Giroud Keluar Jika Aubameyang Masuk