Bagi peminat bola sepak dunia, nama Keisuke Honda bukanlah satu nama yang asing kerana pemain ini telah mencipta nama ketika beraksi di pentas Eropah bersama skuad gergasi Itali, AC Milan suatu ketika dahulu. Kini pada penghujung karier sebagai seorang pemain, Honda memilih untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kerdil, Kemboja – secara percuma tanpa mengambil gaji!
カンボジア代表のシャツ着てしれっと練習に参加してみたい。https://t.co/YDUpONeWaK #keisukehonda pic.twitter.com/D607CL0Ofw
— 名人 (@meijin0609) December 8, 2021
Memulakan karier bersama kelab elit Jepun, Nagoya Grampus Egiht, Honda mendapat perhatian kelab Belanda, VVV Denlo selepas beraksi tiga musim di liga professional Jepun.
Peranannya sebagai pemain tengah yang kreatif, telah menaikkan namanya di Belanda dan lantas membuka pintu kepada perpindahannya ke kelab Russia, CSKA Moscow, dan di sinilah saham Honda betul-betul naik mencanak.
Pemain istimewa ini melakukan debut buat CSKA Moscow dalam perlawanan Liga Juara-Juara UEFA menentang Sevilla pada bulan Januari 2010, dalam pusingan 16-pasukan. Dalam perlawanan pusingan kedua, Honda telah muncul sebagai pemain terbaik perlawanan apabila dia menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dan juga mencipta satu assist kepada Tomas Necid, sekaligus menjadi pemain Jepun pertama yang bermain di pusingan suku akhir UCL dan menjaringkan gol dalam pusingan kalah mati.
🇰🇭 Keisuke Honda rallying his troops in training before their pivotal Group 🅱️ clash versus 🇮🇩 later tonight ⏳#AFFSuzukiCup2020 | #RivalriesNeverDie pic.twitter.com/skfSMYcxfC
— AFF Mitsubishi Electric Cup (@affmecup) December 9, 2021
Honda mengecapi kejuaraan pertama bersama CSKA Moscow dengan memenangi Piala Russia pada bulan Mei 2011. Dek cemerlang di atas padang, Honda telah dipilih sebagai pemain terbaik kelab.
Selepas kontraknya tamat, Honda terbang ke Itali dan menyertai AC Milan, pada bulan Januari 2014 dan memakai jersi bernombor 10. Bersama Rossoneri, Honda telah menjulang Supercoppa Italiana pada tahun 2016.
Apabila kontraknya bersama AC Milan tamat, maka bermulalah kehidupan nomad dalam karier bola sepak legenda Jepun ini. Sebaik meninggalkan Itali, Honda menyertai kelab Mexico, Pachuca, selama semusim, sebelum terbang merentas Lautan Pasifik menyertai kelab A-League di Australia, Melbourne Victory.
Selepas semusim, Honda sekali lagi berpindah benua apabila dia kembali ke Belanda dan menyertai kelab Vitesse Amhem, namun mengangkat kaki selepas hanya beraksi dalam empat perlawanan.
Sebaik meninggalkan bumi Belanda, Honda menyertai kelab Brazil, Botafogo, dengan kontrak selama semusim pada Januari 2020. Walaubagaimanapun, dengan kontraknya berbaki tiga bulan, Honda bertindak meninggalkan kelab tersebut kerana kecewa dengan kekerapan pertukaran jurulatih pasukan sebanyak empat kali, selain mereka gagal mendapatkan keputusan yang tidak memberangsangkan.
Pada bulan Februari 2021, Honda, mungkin dipengaruhi oleh Safawi Rasid, telah menyertai kelab Portugal, Portimonense.
Walabagaimanapun, pendaftarannya bersama kelab tersebut tidak dapat disahkan kerana syarat yang menyatakan bahawa pemain yang tidak mempunyai kontrak perlu menjadi ejen bebas sekurang-kurangnya tiga bulan untuk didaftarkan di luar jendela perpindahan.
Kegagalan ini membawa Honda ke Azerbaijan, menyertai Neftci Baku pada bulan Mac 2021 sehingga tamat musim. Pada bulan September tahun yang sama, Honda menyertai FK Suduva di Lithuania dengan kontraknya akan tamat pada bulan Disember 2021.
Keisuke Honda on why he chose Lithuania over Japan: "I've already played in Japan when I was young. I like it there in Japan but I don't want to play there anymore. I want to travel the world. That's why I refused to re-sign in Azerbaijan, Mexico & Brazil, although I had offers."
— Marius Milašius (@mamilasius) September 24, 2021
Honda ternyata tidak memandang kepada wang semata-mata dalam karier bola sepaknya. Honda berpendapat, dia akan lebih teruja sekiranya dapat bermain bola sepak di lain-lain negara, dan dapat mengenali budaya bola sepak yang berbeza.
Disebabkan tidak memandang wang ringgit lah, Honda telah menerima tawaran untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kemboja pada bulan Ogos 2018 secara percuma tanpa gaji, sebaik sahaja mengumumkan persaraannya sebagai pemain buat pasukan kebangsaan Jepun.
Ketika ditanya kenapa dia memilih Kemboja dan kenapa tidak mengambil gaji, Honda menjawab;
“Aku nak bantu pasukan kebangsaan Kemboja mencipta satu gaya permainan yang jelas dan mempromosikan Kemboja ke dunia luar.”
Pada majlis pengenalannya, presiden bola sepak Kemboja, Sao Sokha berkata;
“Honda telah menawarkan dirinya untuk membantu bola sepak kebangsaan Kemboja, dan dia setuju untuk tidak mengambil gaji, tetapi FFC akan membayar segala kos perjalanannya dan juga kediaman,” ujarnya sepertimana yang diterbitkan oleh Chinadailyhk.
Sepanjang menjadi pemain dan jurulatih pasukan kebangsaan, Honda hanya akan bersama Kemboja mengikut kalendar antarabangsa FIFA, di samping mengadakan pertemuan mingguan secara maya bersama kesemua barisan kejurulatihan Kemboja.
Jika Honda tidak dapat hadir ke perlawanan, pembantunya Felix Dalmas akan mengambil alih pasukan.
Dalam edisi Piala AFF pada tahun ini, permainan Kemboja boleh dikatakan sudah mengalami peningkatan, dan ini dapat kita lihat dalam perlawanan kedua mereka, ketika tewas 1-2 kepada Indonesia.
Para pemain Kemboja dilihat sangat yakin ketika mengawal bola dan positioning mereka juga cukup mantap. Namun, Kemboja perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal tampil tajam di hadapan gol lawan.
Sumber : Wikipedia