Keown: Arsenal Perlukan Pemain Kental Seperti Marco Veratti

Bekas pemain pertahanan Arsenal, Martin Keown percaya Unai Emery akan cuba untuk membawa masuk pemain tengah baru ke dalam pasukan Arsenal bagi memperkuatkan bahagian tengah yang agak lembik musim ini.

Keown percaya Arsenal memerlukan seseorang yang lebih kental di bahagian tengah, dan pemain Paris Saint-Germain Marco Veratti merupakan calon terbaik untuk mengisi peranan tersebut.

Keown percaya Marco Veratti merupakan pembelian sempurna buat Arsenal bagi menyelesaikan masalah di bahagian tengah mereka.

Arsenal baru sahaja melantik bekas pengendali PSG, Unai Emery awal minggu ini bagi menggantikan tempat Arsene Wenger yang telah berkhidmat bersama Arsenal selama 22 tahun.

Emery sudah tentu akan membawa masuk beberapa muka baru pada jendela perpindahan musim panas ini, dan Veratti dianggap pemain paling sesuai untuk memperkuatkan bahagian tengah Arsenal. Emery bekerjasama dengan Veratti selama dua musim dan pemain antarabangsa Itali itu mungkin tertarik dengan peluang untuk kembali bekerjasama dengan bos lamanya itu.

Pemain  berusia 25 tahun itu telah memenangi segala-galanya bersama PSG kecuali Liga Juara-Juara Eropah, dan masanya sudah tiba untuk Veratti mencari angin baru supaya perkembangan beliau tidak terbantut. Walaupun gagal membantu PSG memenangi Liga Juara-Juara, Veratti masih dianggap sebagai antara pemain tengah terbaik di dunia ketika ini.

Keown mahu melihat pemain yang lebih keras beraksi untuk Arsenal, tiada lagi jambu

Terdapat laporan mengatakan Veratti mungkin akan meninggalkan PSG musim panas ini sekiranya menerima tawaran yang sesuai dari kelab luar, dan Keown percaya Arsenal perlu mencuba segala-galanya bagi membawa masuk pemain tersebut ke Emirates Stadium.

Ketika bercakap kepada akhbar Daily Mail, bekas pemain pertahanan Arsenal itu mengakui Unai Emery memerlukan lebih banyak masa untuk membawa Arsenal kembali ke tahap tertinggi.

“Tidak realistik untuk melihat Unai Emery mengubah pasukan Arsenal ketika ini menjadi juara dalam waktu yang singkat.”

“Arsenal telah dikendalikan oleh Arsene Wenger selama 22 tahun dan jika dilihat pada kuasa beli yang dimiliki dua kelab Manchester, persaingan musim depan bakal menjadi lebih sengit.”

Menurut Keown, Emery perlukan lebih banyak masa untuk membentuk skuad Arsenal menjadi pencabar utama liga seperti masa lalu

“Emery mewarisi skuad yang mampu menghadirkan ancaman di depan pintu gol lawan tetapi kekurangan ‘kekentalan’ terutamanya ketika beraksi di tempat lawan. Jika Emery berjaya menyelesaikan masalah ini, Arsenal akan sekurang-kurangnya bersaing untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim hadapan.”

“Peminat Arsenal mahu melihat sebuah pasukan yang mampu memberikan tentangan dan berjuang pada saat sukar.”

“Untuk melakukan perkara tersebut, Emery memerlukan pemain seperti Marco Veratti yang mana beliau pernah latih di PSG bagi memberikan kualiti tersebut pada bahagian tengah Arsenal.”

BACA:  Premier League 2022/23: Arsenal Kalah Bermaruah 4-1 Di Etihad