Kepintaran Todd Boehly; 3 Strategi Mengelakkan Chelsea Dari Terperangkap Dengan FFP

Todd Boehly telah membeli Chelsea, sejak itu mereka telah melalui tiga jendela perpindahan pemain. Perbelanjaannya telah menjadi bualan di serata dunia termasuk di Malaysia.

Senang cerita atau lebih spesifik ia berkaitan nafsu Todd Boehly yang seolah-olah tidak dapat dipuaskan. Jumlah yuran perpindahan yang dibelanjakan menjadi topik perbualan paling hangat.

Dalam tempoh hanya enam bulan Chelsea telah memecah rekod pembelian British sebanyak dua kali. Mereka membeli Enzo Fernandez (£106 juta) kemudian Moises Caicedo (£115 juta).

Liverpool yang tewas dalam pertarungan untuk mendapatkan Caicedo telah beralih kepada Romeo Lavia. Malangnya pemain itu juga menyertai Chelsea pada harga pakej £58 juta (£53 juta + £5 juta).

Chelsea telah berbelanja sebanyak £300 juta hanya untuk pemain-tengah dan untuk tahun 2023 sahaja. Jumlah itu belum dicampur pemain posisi lain dan tahun lain.

Jika dicampur kesemuanya, jumlah yang telah dibelanjakan oleh Boehly lebih mengejutkan: Lebih £900 juta sejak dia membeli kelab itu pada Jun 2022 dan tanpa ragu-ragu dia akan terus berbelanja lagi.

Selepas ini Chelsea perlu mencari penjaga gol baharu untuk menggantikan Kepa Arrizabalaga yang telah pergi ke Real Madrid secara pinjaman.

Chelsea juga berhasrat menambah dua lagi penyerang baharu. Kesemua perbelanjaan ini berlaku ketika mereka tidak mempunyai penaja utama di jersi dan tanpa wang dari Liga Juara-Juara (2023-24).

Tidak ada kelab lain di dunia beroperasi seperti Chelsea dan adalah wajar untuk mengatakan bahawa pendekatan Chelsea cukup menghairankan.

Perasaan tidak puas hati dalam kalangan pasukan pesaing semakin meningkat dan mereka mula merungut kepada pihak Liga Perdana.

Dalam peraturan FFP, kelab hanya dibenarkan mengalami kerugian sebanyak €90 juta untuk tempoh tiga tahun perakaunan.

Pada September lepas Chelsea telah berada dalam senarai pemantauan kuat FFP kerana kelab itu mengalami kerugian besar.

Namun di pihak Chelsea, mereka percaya mereka mempunyai strategi untuk memastikan mereka sentiasa berada di landasan betul, tidak melanggar peraturan FFP.

Bagaimana Chelsea melakukannya? Teruskan membaca…

Memberi kontrak panjang

Masalah besar untuk memahami apa yang dilakukan oleh Chelsea ialah cara kebanyakan orang berfikir tentang urus niaga bola sepak.

Bukan dengan cara yang kebanyakan kelab bola sepak berfikir. Orang ramai hanya memusatkan tumpuan kepada jumlah yuran perpindahan.

Sebagai contoh: Kelab A membeli pemain pada harga £50 juta dan memberinya kontrak 5 tahun dengan gaji £100,000 seminggu.

Kelab B membeli pemain dengan perpindahan percuma dan memberi gaji £400,000 seminggu. Pemain mana yang anda rasa lebih mahal – dalam kiraan setiap tahun?

Jika jawapan anda adalah Kelab B, anda memberi jawapan yang  betul. Gaji tahunannya adalah sekitar £20 juta.

Manakala kelab A hanya membelanjakan £15 juta semusim iaitu gabungan dari £10 juta yuran perpindahan (dikira selama 5 tahun) dan gaji £5 juta.

Jika dilihat dalam konteks ini, Erling Haaland merupakan pemain paling mahal dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Walaupun yuran perpindahannya hanya £51 juta tetapi dia diberi gaji tinggi, mempunyai bonus tandatangan dan yuran ejen.

Chelsea telah mengeksploitasi atau memanipulasi peraturan amortisasi untuk mengagihkan perbelanjaan mereka dalam tempoh yang lebih lama.

Kesemua pemain yang dibeli pada jendela perpindahan Januari telah diberi kontrak panjang, 7 hingga 8 tahun.

Ia dilakukan kerana Chelsea mahu mengurangkan perbelanjaan tahunan dalam buku kewangannya.

Selepas Chelsea memberi kontrak panjang kepada pemain ramai baharunya, UEFA mula mengubah semula peraturan kontrak.

Kelab hanya boleh memberikan kontrak 5 tahun kepada pemain yang dibelinya. Pihak Liga Perdana dijangka akan mengikut langkah UEFA itu.

Amortisasi telah menjadi alat kepada Chelsea untuk mereka berbelanja lebih dan mereka telah menggunakannya banyak kali sebelum peraturan itu diubah.

Pada musim ini Chelsea tidak akan bermain dalam mana-mana pertandingan kelab Eropah dan mereka tidak terlalu terikat dengan perubahan peraturan UEFA.

Chelsea pasti berharap mereka akan kembali ke pertandingan Eropah pada musim depan dan mereka mempunyai masa untuk memperbaiki masalahnya.

Peraturan kewangan dari pihak Liga Perdana tidak setegas UEFA.

Menjual pemain

Sepanjang 3 jendela perpindahan, Chelsea telah menjana lebih daripada £250 juta hasil dari jualan pemain. Kira-kira £200 juta daripada jumlah itu diraih pada jendela perpindahan kali ini.

Kai Havertz dijual ke Arsenal, Mason Mount ke Manchester United, Mateo Kovacic ke Manchester City, Kalidou Koulibaly dan Edouard Mendy ke kelab Liga Pro Saudi.

Jika dikira dalam jumlah yuran perpindahan, yuran perpindahan (jual) akan ditulis serta merta dan yuran perpindahan (beli) akan dibahagikan mengikut tempoh kontrak.

Jadi perbelanjaan dan pendapatan Chelsea menjadi lebih seimbang.

Chelsea juga berjaya menjual ramai pemain dari akademinya seperti Mount dan Ruben Loftus-Cheek yang membawa keuntungan bersih kepada kelab itu.

Havertz, Mount dan Kovacic, tiga pemain ini sahaja telah menghasilkan £100 juta. Kesemua £100 juta ini akan ditulis dalam buku akaun Chelsea .

Dengan £100 juta, secara teorinya Chelsea boleh berbelanja sebanyak £500 juta.

Apa yang Chelsea perlu lakukan adalah menjana pendapatan secara konsisten dalam tempoh 5 tahun di hadapan untuk membayar apa yang mereka beli pada hari ini.

Sejak Boehly membeli Chelsea, dilaporkan perbelanjaan kelab itu adalah £157.2 juta semusim (jumlah yuran perpindahan yang telah dibahagikan mengikut tempoh kontrak mereka).

Dalam tempoh yang sama pendapatan melalui jualan pemain adalah £149.6 juta semusim. Jadi perbelanjaan dan pendapatan melalui jual-beli pemain Chelsea hampir seimbang.

Kelab-kelab besar mempunyai ruang untuk menggunakan kaedah catatan hasil jualan pemain dan jumlah perbelanjaan membeli pemain untuk mengelak dari melanggar peraturan FFP.

Bermula pada musim 2023-24, kelab dibenarkan mengalami kerugian sebanyak €90 juta dalam tempoh tiga tahun pemantauan. Ia adalah 3 kali ganda dari had lama iaitu €30 juta.

Semua perbelanjaan Chelsea pada jendela perpindahan kali ini akan dirumuskan dalam laporan tahunannya. Ia hanya akan dikeluarkan pada pertengahan tahun hadapan.

Jadi, semua orang tidak tahu sama ada Chelsea sedang mencatat keuntungan atau kerugian.

Pada tahun lepas Chelsea telah mencatat kerugian sebanyak £121 juta. Tahun sebelumnya Chelsea merekodkan kerugian sebanyak £156 juta – rekod kedua paling buruk di Liga Perdana.

Chelsea tidak mempunyai pilihan lain kerana had kerugian yang dibenarkan hanya €90 juta (3 tahun). Chelsea perlu meningkatkan hasil melalui jualan pemain, meningkatkan hasil komersial atau kembali ke Liga Juara.

Hanya masa yang akan memberi jawapan tetapi Boehly tahu jumlah yuran perpindahan pemain yang dibeli tidak akan dimasukkan ke dalam akaun sekali gus.

Tetapi ia dibahagikan mengikut tempoh kontrak pemain dan Boehly menggunakan strategi ini.

Menurunkan bil gaji

Pada era Roman Abramovic, Chelsea tidak keberatan untuk memberi gaji premium kepada pemain bintangnya, tidak kira apa pun pencapaian mereka. Bil gaji pasukan sentiasa tinggi.

Boehly mahu melakukan dengan cara berbeza. Hampir kesemua pemain dari era Abramovich disingkirkan dari kelab itu. Ia bermakna mereka juga mengeluarkan kontrak lama dan bil gaji tinggi.

Boehly berazam untuk menurunkan bil gaji ke tahap yang lebih kompetitif. Namun Boehly juga sedar gaji pemain akan meningkat selari dengan usia pemain tersebut.

Chelsea mahu meningkat selari dengan peningkatan pemain mudanya dan gaji mereka. Ini lah idea mereka.

Chelsea telah distrukturkan semula. Pada tahun ini mereka melantik Laurence Stewart dan Paul Winstanley untuk bertindak sebagai pengarah sukan kelab itu.

Mereka telah membuat dasar baharu. Kelab akan menyasarkan pemain berumur 23 tahun ke bawah kecuali Christopher Nkunku, Axel Disasi dan Robert Sanchez

Pemain muda lebih mudah untuk menerima gaji lebih rendah dan mereka akan diberi insentif tinggi jika membuat pencapaian baik di dalam pertandingan yang disertai.

Lavia akan menerima gaji lebih rendah berbanding bekas rakan sepasukannya, James Ward-Prowse yang menyertai West Ham United.

Chelsea juga memberi kontrak yang lebih lama. Selain dari faedah amortisasi; Boehly percaya mereka telah memberi jaminan masa depan kepada pemain itu dalam masa sama melindungi aset kelab.

Melalui gaji rendah Chelsea tidak akan mempunyai masalah untuk menjual mereka jika pemain tersebut tidak berprestasi.

Romelu Lukaku dan Hakim Ziyech menjadi masalah besar kepada pasukan ini. Mereka berdua susah untuk dijual kerana hampir kesemua kelab tidak mampu memberi gaji seperti Chelsea berikan.

Risiko

Tidak ada satu strategi pun yang tidak mempunyai risiko, apa strategi digunakan oleh Chelsea juga tidak terkecuali.

Chelsea merupakan pasukan yang sedang dibina semula dari bawah. Chelsea mengumpul koleksi pemain muda berbakat yang komited dengan kelab itu untuk satu tempoh panjang.

Nilai mereka boleh jatuh atau meningkat bergantung kepada perkembangannya. Tidak semua pemain yang dibeli akan berjaya. Tugas Steward dan Winstanley adalah memastikan kejayaan perlu lebih banyak dari kegagalan.

Jika Chelsea kurang berjaya di atas padang ia akan menimbulkan satu masalah kepada pasukan ini. Jumlah belian pemain yang perlu ditulis sudah mencapai £160 juta setahun untuk tempoh 5 hingga 7 tahun.

Had pembelian Chelsea semakin mengecil kecuali mereka berjaya menjual semula pemain ini dengan harga yang baik.

Chelsea telah bertukar dari skuad paling tua di Liga Perdana menjadi pasukan paling muda.

Boehly cuba meniru cara Monaco, RB Leipzig dan Brighton dalam pembelian pemainnya. Dengan pendekatan sedemikian semua kelab tersebut berjaya meletakkan diri mereka bersama kelab-kelab elit Eropah.

BACA:  Chelsea Akhirnya Melepaskan Gol Pertama Dari Permainan Terbuka Sepanjang Musim 2021/22