Kerana Kehabisan Huruf ‘W’, Barcelona Tak Mampu Menjual Jersi Lewandowski

Gerai rasmi Barcelona tak mampu menjual jersi Robert Lewandowski pada ketika ini kerana mereka kehabisan huruf ‘W’ untuk ditampalkan pada jersi tersebut.

Tular video di media sosial yang memperlihatkan pekerja kelab berbincang dengan peminat tentang mengapa jersi Lewandowski tidak boleh dijual.

Lewandowski melengkapkan perpindahan bernilai £42 juta menyertai Barcelona dari Bayern Munich pada jendela perpindahan musim panas ini.

Beliau merupakan pemain keempat yang diumumkan sebagai bintang Barcelona pada musim panas ini.

Beliau dijangka akan menyarung jersi bernombor sembilan dengan nombor tersebut pada ketika ini masih dipakai oleh Memphis Depay.

Bahkan walau pemain kebangsaan Belanda itu tidak melengkapkan perpindahan menyertai mana-mana pasukan pada musim panas ini, nombor tersebut akan tetap diberikan kepada Lewandowski.

Seandainya ada peminat yang sangat berminat mahu membeli jersi pemain penyerang terbaru kelab itu, mereka sepertinya tidak akan mampu mendapatkannya dari gerai rasmi kelab pada ketika ini.

Jersi beliau tidak dijual di gerai rasmi kelab di Nou Camp hanya kerana pihak kelab kehabisan huruf ‘W’.

Salah seorang peminat berhasrat mahu membeli jersi dengan menampal nama pemain penyerang itu dibelakang jersi tersebut, namun usaha beliau berakhir dengan kegagalan.

Penjaga gerai menjelaskan kepada penyokong tersebut yang tiada huruf ‘W’ dalam simpanan mereka dan kerana itu beliau tidak boleh membeli jersi Lewandowski.

“Kenapa kami tak boleh beli jersi dengan nama Lewandowski?”

Soal penyokong tersebut sebelum petugas gerai itu menjawab:

“Kerana kami tiada bekalan huruf ‘W’ dan kerana ada dua huruf ‘W’ dalam nama dia, kita tak ada itu.”

Martin Braithwaite merupakan satu-satunya pemain Barcelona yang mempunyai huruf ‘W’ dalam namanya dan memandangkan beliau bukan pemain yang mencuri tumpuan, maka kerana itu huruf itu tidak diutamakan oleh kelab.

Atas alasan sama jugalah peminat tak boleh dapatkan nama Lewandowski pada ketika ini kerana huruf tersebut masih belum ada dalam simpanan kelab.

Pemain berusia 33 tahun itu menyertai rakan sepasukannya di Miami dan turut menyertai skuad Barcelona untuk aksi pra-musim mereka.

Beliau sememangnya sudah tiada hati untuk kekal bersama Bayern dan bertekad untuk menyertai Barcelona pada musim panas ini.

Bahkan ketika menjalani sesi latihan bersama skuad Bayern, Lewandowski dikatakan telah menunjukkan reaksi yang langsung tidak gembira di padang latihan.

Beliau menunjukkan reaksi yang cukup nyata membuktikan tentang perasaan beliau pada ketika itu.

Lewandowski masih mempunyai baki kontrak selama satu tahun bersama kelab, namun sejak Mei lalu beliau sudah menegaskan tentang hasratnya mahu meninggalkan kelab.

Selain menegaskan tentang hasratnya itu, Lewandowski turut menegaskan yang beliau hanya mahu menyertai Barcelona sahaja seandainya beliau meninggalkan Bayern Munich pada musim panas ini.

Dek kerana bidaan pertama Barca ditolak oleh Bayern, Lewandowski telah menunjukkan reaksi tidak gembira di padang latihan dan kerana itulah pihak kelab tiada pilihan lain untuk dibuat selain dari melepaskan saja beliau ke Nou Camp.

Terdapat juga beberapa kelab yang sangat berminat mahu mendapatkan khidmatnya, namun bintang Poland itu tetap memilih Barca sebagai kelab yang mahu beliau sertai.

Pemain penyerang itu bahkan turut sanggup menerima pemotongan gaji hanya kerana mahu memastikan cita-cita beliau menjadi pemain Barcelona tercapai.

Beliau dijangka akan memipin jentera serangan Barca pada musim baharu nanti, walau gergasi Catalan itu mempunya Aubameyang dalam skuad mereka pada ketika ini.

Adakah Lewandowski akan mampu memberikan impak seperti yang diharapkan? bincangkan di ruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Messi Mengaku Hak Lewandowski Untuk Menang Ballon D'or Dirompak