Messi Turkiye Tolak Pinangan Barcelona Dan Pilih Real Madrid

Wonderkid dari Turkiye Arda Guler menolak tawaran untuk menyertai Barcelona dan memilih untuk ke Real Madrid di jendela perpindahan musim panas ini.

Pemain tengah menyerang berusia 18 tahun itu menarik perhatian serius daripada Barcelona seperti yang didedahkan oleh Presiden kelab, Joan Laporta sendiri, tetapi akhirnya membuat pilihan untuk menyertai seteru kelab Catalan itu.

Sebaik sahaja segala urusan perpindahan diselesaikan, Guler dilaporkan akan terus menyertai skuad kendalian Carlo Ancelotti untuk latihan pra musim.

Semua urusan berkaitan untuk pemain itu ke Real Madrid dijangka akan diselesaikan seawal minggu hadapan.

Guler mempunyai kontrak bersama Fenerbahce sehingga 2025, dan ia termasuk klausa pelepasan bernilai €17.5 juta.

Real Madrid dijangka akan membayar lebih daripada jumlah itu untuk memastikan perpindahan tersebut tidak berhadapan sebarang masalah. Fenerbahce juga akan memasukkan klausa 20% daripada nilai penjualan semula pemain itu.

Daripada segi profil, Guler memenuhi setiap kriteria yang Los Blancos mahukan: muda, berbakat dan harga perpindahan yang munasabah, selain daripada potensi yang pemain itu miliki.

Sering kali digelar ‘Messi Turkiye’ kerana kemampuan teknikal dan kelincahan yang dimilikinya, Guler cemerlang bersama Fenerbahce sepoanjang musim lalu.

Guler adalah pemain yang terlibat dengan jumlah jaringan terbanyak di Super Lig dan juga liga utama Eropah pada musim 2022/23 – di kalangan calon pemenang anugerah Golden Boy Tuttosport pada bulan lalu.

Walaupun baru berusia 18 tahun pada Januari lalu, Guler sudah pun melakukan 4 penampilan bersama skuad kebangsaan Turkiye, beraksi selama 145 minit dan berjaya menghasilkan 1 gol setakat ini.

Seperti Messi, Guller adalah seorang pemain yang versatile di bahagian serangan.

Selain berkemampuan beraksi sebagai pemain  sayap jadian, Guler paling menyerlah di bahagian atas serangan walaupun memulakan aksi di posisi sayap.

BACA:  La Liga 2019/20: Barcelona 2-2 Atletico Madrid