Kiatisuk Terkesan 3 Anggota Termasuk Pembantu Dan Pemain Import Kelab Kendaliannya Di V League Maut

Legenda Thailand Kiatisuk Senamuang yang kini bergelar Ketua Jurulatih HAGL FC di V League nyata terkesan dengan kematian membabitkan anggota pasukan kendaliannya dalam satu kemalangan maut pada hujung minggu lalu.

Setelah tiba di Bangkok pada Ahad, Kiatisuk menerima perkhabaran pembantu jurulatih Duong Minh Ninh, penyerang import Paollo Madeira Oliveira dan doktor pasukan Dao Trong Tri terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan ketiga-tiga individu kehilangan nyawa.

Melalui akaun Instagramnya, Kiatisuk memuat naik ucapan takziahnya dan berkata: “Sangat sedih, berehatlah dengan tenang wahai ketiga-tiga saudara ku.”

Di antara ketiga-tiganya, Kiatisuk mungkin paling terkesan dengan kehilangan Duong Minh Ninh, pembantu jurulatih yang rapat dengannya untuk mengendalikan pasukan sejak melebarkan karier ke Vietnam.

Ini kerana kedua-duanya sudah mengenali antara satu sama lain sejak lebih 20 tahun, pada ketika Minh Ninh masih bergelar pemain muda, dan Kiatisuk menyertai HAGL sebagai pemain pada 2002.

Di mata Kiatisuk, Minh Ninh sentiasa merupakan seorang individu yang lemah lembut dan sentiasa terbuka untuk teguran. Minh Ninh juga dianggap sebagai individu yang sentiasa menyokong perjalanan karier Kiatisuk baik sebagai pemain, dan kini sebagai jurulatih.

Malah Minh Ninh sanggup meninggalkan peranannya sebagai Pengarah Akademi Bola Sepak HAGL untuk menyertai Kiatisuk sebagai pembantu jurulatih, selepas legenda Thailand itu menerima tawaran untuk melatih pasukan V League itu pada 2020.

Bercakap mengenai hubungan baik dengan Minh Ninh yang sudah dianggap sebagai sahabat baiknya itu, Kiatisuk berkata: “Kami boleh duduk bersama sepanjang hari hanya untuk bercakap hal kerja atau berbual kosong.

“Ketika hari cuti Minh Ninh tidak mahu saya rasa kesunyian kerana berjauhan daripada keluarga di Ham Rong. Dia sentiasa menjemput saya ke rumah untuk minum kopi dan makan bersama,” kata Kiatisuk.

Kemalangan maut membabitkan tiga anggota HAGL FC itu berlaku sekitar 3 petang Sabtu lali ketika kenderaan sedan yang dinaiki mereka sedang dalam perjalanan dari Dak Lal menuju Gia Lai.

Ketika berada di wilayah Chu Puh, kenderaan yang mereka naiki dirempuh oleh sebuah lori dari arah belakang sebelum merempuh sebuah lagi lori yang bergerak dari arah bertentangan.

Ini menyebabkan kenderaan yang mereka naiki tersepit di antara kedua-dua lori dan memaksa pihak penyelamat menggunakan dua jentera untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang hancir sepenuhnya.

BACA:  Kiatisuk Senamuang Calon Pengganti Aidil Shahrin Di Kedah