Selama bertahun-tahun, keratan akhbar itu semakin pudar dan bertukar kuning dimamah usia. Ada koyakan di salah satu sisinya dan selepas hampir 40 tahun, pemiliknya sendiri pun tak pasti bagaimana ia boleh rosak.
Bert Snippe menarik sebuah kerusi sebelum memperkenalkan dirinya sebagai bekas rakan sepasukan bapa Arne Slot, iaitu Arend. Mereka pernah bermain bersama untuk kelab kecil kampung mereka, VV Bergentheim – sebuah kisah yang kini secara tak langsung berkait dengan kejayaan moden Liverpool.
Arend mungkin tak pernah bermain secara profesional tapi dia pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan amatur Belanda. Sebut saja namanya di Bergentheim, pasti ramai yang setuju – dialah pemain terbaik yang pernah bermain untuk VV Bergentheim.
Namun, anaknya Arne juga bukan calang-calang. Pada tahun 1988, dia dan 3 rakannya dijemput ke kejohanan 4 lawan 4 peringkat junior di Zeist, kira-kira 80 batu dari kampung mereka, di ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB).
Perjalanan mereka menjadi tajuk utama di kampung halaman.
“Minggu yang tak akan dilupakan. Kanak-kanak Bergentheim di pusat KNVB,” lapor akhbar De Zwolse Courant.
Gambar yang disertakan menunjukkan Arne Slot dan rakan sepasukannya kembali ke VV Bergentheim dengan hadiah tempat ke-3 (sebuah jam). Ketika itu, Arne baru berusia 9 tahun, memakai trek sut hijau dengan rambut coklat tebal. Itulah kali pertama namanya muncul dalam suratkhabar.
Selama 37 tahun, keratan akhbar itu masih tersimpan rapi dalam salah satu album foto Bert Snippe.
“Saya masih ingat semua daripada mereka,” kata Bert sambil mengetuk jarinya pada gambar itu satu per satu, menyebut peranan mereka. “Yang ini pemain pertahanan… yang ini berkerja keras… dan yang ini pembunuh depan gol…”
VV Bergentheim bukan sekadar kelab kampung biasa. Kompleks Sportpark Moscou mempunyai 4 padang yang dikelilingi hutan dan ladang dengan pagar hijau yang rapi serta mempunyai banyak papan iklan untuk kelab kecil. Mereka memiliki 27 pasukan (lelaki, wanita dan pemain muda seawal 8 tahun) dengan 750 ahli. Dalam erti kata lain, 1 daripada 5 penduduk Bergentheim adalah ahli kelab ini.
Masuk ke bilik mesyuarat kelab, di dinding sebelah kiri tergantung potret Arend Slot yang dibingkaikan dengan penuh penghormatan. Dia bukan sekadar pemain terbaik kelab itu tetapi juga pengurus yang berjaya sehingga dilantik sebagai ahli kehormat kelab. Dengan senyuman lebar, mata yang bersinar dan kepala licin berkilat – persamaan antara bapa dan anak jelas kelihatan.
“Kalau tengok mereka pada usia yang sama, mereka macam kembar,” kata Jan Ophof, jurulatih pertama Arne di VV Bergentheim.
“Dari mata mereka, cara bercakap, cara bertindak, sikap mereka – Arne memang fotokopi bapanya. Tapi tak pelik pun, sebab sejak kecil Arne selalu duduk di sebelah ayahnya di bangku simpanan. Dia sentiasa dengar ayahnya bercakap.”
Jan ketawa kecil. “Ya, termasuk kepada pengadil. Arne mewarisi perangai itu juga.”
Pada tahun 1971, Jan Ophof yang ketika itu baru berusia 5 tahun, menjadi budak pembawa cincin di majlis perkahwinan Arend dan Fennie, seorang guru tadika. Sejak kecil, pasangan itu sering menjaganya dan apabila dia semakin besar, seperti kebanyakan budak lelaki di kampungnya, dia melalui setiap peringkat di VV Bergentheim.
Selepas bersara sebagai pemain, Jan menceburi bidang kejurulatihan.
“Tugas saya adalah melatih budak lelaki berusia 10 hingga 12 tahun. Arne baru 9 tahun ketika itu tetapi bapanya berkata, ‘Kamu pemain yang bagus, kamu boleh bermain di peringkat lebih tinggi’. Jadi, pada suatu petang, budak itu muncul di bilik persalinan dan memperkenalkan dirinya, ‘Helo, saya Arne, saya di sini untuk berlatih bersama anda semua dan saya akan bekerja keras’.”
“Sesi latihan berjalan selama sejam, dan Arne adalah pemain terbaik di padang. Bola seolah-olah melekat pada kakinya. Selepas latihan, dia bertanya, ‘Jurulatih, boleh saya datang lagi?’ Dan saya kata, ‘Baiklah, kamu boleh datang lagi’.”
Jan kemudian mengeluarkan gambar lama pasukan, menunjukkan dia berdiri di sebelah Arne dan rakan sepasukan lain dalam jersi hijau VV Bergentheim.
“Arne sangat bijak untuk usianya. Dia selalu datang bertanya, ‘Jurulatih, boleh kita cuba ini? Boleh kita buat itu?’ Dia bukan pemain yang tinggi atau pantas tetapi dia tahu ke mana bola perlu dihantar dan di mana dia perlu bergerak.”
“Kami pernah menjaringkan 22 gol dalam 1 perlawanan menentang pasukan dari Ommen. Jurulatih mereka marah dan menjerit, ‘Kamu semua gila! Ini budak-budak umur 10 hingga 12 tahun!’. Tapi jurulatih kami hanya berkata, ‘Lagi, lagi – gol seterusnya!’. Arne sendiri menjaringkan 12 gol dalam perlawanan itu, bermain dari posisi tengah.”
“Satu-satunya masalah kami sebagai jurulatih ialah setiap kali bapanya berada di tepi padang, Arne lebih banyak melihat ke arahnya daripada mendengar arahan kami! Arend memang jurulatih pasukan utama, dan dalam masa yang sama dia juga melatih Arne. Kadang-kadang kami tanya Arne, ‘Kenapa kamu berjalan ke sana?’ dan dia akan jawab, ‘Sebab ayah saya mahu bercakap dengan saya’.”
Arend bukan sekadar jurulatih bola sepak biasa. Dia juga pernah menjadi guru besar di sebuah sekolah di Bergentheim selama bertahun-tahun. Orang kampung mengenalinya sebagai seorang yang tegas dan berpegang pada prinsip. Apabila dia bercakap, kata-katanya adalah muktamad.
“Dalam bola sepak pun sama,” kata Snippe. “Dia ada aura yang kuat. Apa sahaja yang dia katakan, itulah yang betul.”
Jadi, apabila Liverpool menang 2-1 ke atas Lille dalam Liga Juara-Juara pada bulan Januari (walaupun tanpa persembahan yang hebat), keesokan hari ayahnya terus menelefon Arne keesokan harinya untuk mengadu bahawa pasukan itu sepatutnya lebih berani dalam melakukan hantaran?
“Dia kata perlawanan tu kurang menarik,” kata Arne sambil ketawa ketika bercakap dengan wartawan. “Saya cuba jelaskan kepadanya bahawa dalam situasi macam ni, kalau kita terlalu paksa melakukan hantaran-hantaran sukar, kita boleh kalah dengan mudah. Tapi… dia tak selalu setuju dengan saya.”
Penduduk kampung sering menggelar Arend sebagai Louis van Gaal dari Bergentheim. Van Gaal juga bekas guru yang lantang bersuara, yakin dengan pandangannya dan tak pernah ragu bahawa dia lebih tahu dalam apa jua perbincangan bola sepak. Dan seperti Van Gaal, Arend boleh mencetuskan perdebatan.
“Saya hormat dia,” kata Ophof. “Tapi kalau tanya bekas pemain Bergentheim… ramai yang akan kata tidak. Dia seorang jurulatih yang cukup tegas. Biasalah, guru sekolah mesti betul, kan? Mesti! Bagi dia, cuma cara dia yang betul, cara dia bercakap dengan orang pun, dia sentiasa betul. Macam Van Gaal, macam Rinus Michels… jenis personaliti yang sama. Cuma, bagi sesetengah orang dia terlalu tegas.”
Adakah Arne mewarisi sifat yang sama? Ophof berkata, ya, memang begitu.
“Kamu nampak dia menggantikan (Mohamed) Salah dalam perlawanan pertama Liverpool menentang Paris Saint-Germain? Oof! Salah tak gembira. Tetapi itulah Arne. ‘OK, Salah, kamu pemain yang bagus tapi kamu tak bermain setiap minit dalam setiap perlawanan untuk saya dan saya yang menentukan’. Kemudian dia akan beritahu pemain selepas itu kenapa dia buat keputusan itu dan kenapa dia betul.”
Snippe, yang dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik VV Bergentheim, masih ingat bagaimana sesi latihan Arend sentiasa diakhiri dengan perlawanan 8 lawan 8. Arend sendiri turut serta dalam perlawanan itu. Peraturannya, menurut Snippe ia adalah begini.
“permainan tidak akan berakhir selagi dia belum menjaringkan gol kemenangan. Hanya selepas itu barulah kami boleh berhenti.”
Menurut isterinya, Arend boleh merajuk selama seminggu jika mendapat keputusan yang buruk. Jika melihat musim pertama Arne dalam bola sepak Inggeris, perkara ini mungkin tidak mengejutkan.
“Kamu lihat kad merah Arne ketika menentang Everton kerana apa yang dia katakan kepada pengadil?” kata Snippe, yang telah pergi ke Liverpool untuk menyaksikan pasukan Arne beraksi. “Bukan itu sahaja, dia juga telah mengumpul 4 atau 5 kad kuning dalam perlawanan lain. Hahaha.”
Sebenarnya hanya 3. Namun, maksudnya tetap sama. Slot dikenakan penggantungan dua perlawanan selepas menjerit kepada Michael Oliver – katanya, “Jika kami tidak memenangi liga, saya akan menyalahkan awak!” – dan ketawa Snippe jelas menunjukkan bahawa dia pernah menyaksikan perkara seperti ini sebelum ini.
“Semuanya berjalan lancar untuk Arne musim ini tetapi jika dia mengalami 2 atau 3 minggu yang kurang baik dan saya berharap perkara itu tidak berlaku, ketika itulah kamu akan benar-benar mengenali siapa Arne Slot,” katanya.
“Bapanya juga bersikap sama terhadap pengadil. Pap, pap, pap! Keluarga Slot sentiasa mahu menang, tidak kira permainan apa, kad, bola sepak atau apa sahaja, mereka yang menetapkan peraturan dan mereka mahu menang.”
Di Bergentheim, ada penduduk yang berpendapat Sportpark Moscou sepatutnya dinamakan semula sempena nama Arne Slot. Ophof adalah salah seorang daripada mahu ianya dilakukan.
“Kalau saya pengerusi kelab, saya akan pastikan perkara itu dilakukan segera,” katanya. “Saya sangat bangga dengan Arne. Seluruh kampung bangga dengannya. Bila lagi kita boleh katakan ada anak Bergentheim yang mencapai apa yang Arne capai?”
Namun, pihak kelab memutuskan untuk tidak menukar nama itu. Arne tidak pernah bermain untuk pasukan senior kerana sudah berpindah ke akademi PEC Zwolle pada usia 12 tahun. Walaupun penduduk berbangga dengan kejayaannya, mereka lebih suka melihatnya sebagai orang biasa berbanding seorang bintang besar. Tiada patung akan didirikan. Malah, mereka juga merancang untuk menukar nama Hari Arne Slot, acara tahunan selama 3 hari yang melibatkan ratusan kanak-kanak dalam kem latihan.
Mengapa mahu tukar nama? Kelab percaya jika ia dikaitkan dengan Arne, perhatian media dan orang luar akan meningkat. Lagipun, tiada siapa yang boleh memastikan pengurus Liverpool itu mempunyai masa dalam jadual sibuknya untuk singgah walaupun sekejap.
Satu kerugian juga. Arend, kini berusia 78 tahun, masih hadir ke kebanyakan perlawanan. Di Bergentheim, terdapat kisah tentang bagaimana Arne, ketika di akademi PEC Zwolle, bersetuju untuk bermain dalam kejohanan remaja untuk VV Bergentheim dengan syarat kelab tidak memberitahu sesiapa.
Beberapa tahun kemudian, dia kembali ke Bergentheim dan menawarkan diri untuk melatih salah satu pasukan yang disertai oleh adik lelakinya.
Gert Bullen, yang pernah bermain dalam pasukan itu masih mengingati pengalaman tersebut.
“Arne memang pemain hebat,” katanya selepas 20 tahun. “Dia datang melatih kami dan arahannya jelas, ‘Satu sentuhan sahaja, hanya satu sentuhan.’ Saya beritahu dia mungkin lebih baik jika dua sentuhan. ‘Tidak,’ katanya, ‘satu sentuhan sahaja.’ Tapi selepas 20 saat, permainan jadi kelam-kabut (ketawa). ‘OK,’ kata Arne. ‘Dua sentuhan!’”
Tahun lalu, penulis terkenal James Worthy mula menulis buku dalam bahasa Belanda berjudul De eerste 100 dagen van Arne Slot (100 Hari Pertama Arne Slot). Untuk lebih memahami subjeknya, dia telah menyewa rumah di Bergentheim selama 3 bulan.
Dia juga meninggalkan nota di pasar raya untuk menjelaskan apa yang sedang ditulisnya dan meminta sesiapa yang mempunyai cerita tentang Arne supaya menghubunginya. Namun ia mengambil masa untuk mendapatkan kepercayaan penduduk tempatan. Selama beberapa minggu, telefonnya langsung tidak berdering. Seorang rakan dari kawasan itu sudah pun memberi amaran kepadanya.
“Mereka takkan bercakap dengan awak, James.”
Apa yang ditemuinya adalah sebuah kampung yang sangat damai, terletak di kawasan Belanda yang sering digelar Dutch Bible Belt.
Bergentheim mempunyai sebuah terusan, kolam renang awam, balai bomba, pusat membeli-belah kecil dan sebuah pub bernama Veenlust. Tiada gambar Arne di dinding pub itu tetapi ia terkenal dengan kroket yang sangat enak. Selain itu, tidak banyak yang terdapat di sekitarnya, hanya ladang, ternakan, kicauan burung dan rumah beratap jerami yang berselang-seli.
“Adakah Arne merindui Bergentheim?” kata Worthy. “Tanpa ragu. Kampung itu begitu damai.”
“Apabila saya melihat Arne, saya rasa bandar-bandar yang pernah didiaminya belum benar-benar mengubah dirinya. Bila saya dengar dia bercakap, saya tidak terbayang tempat letak kereta berbayar, pelancong yang bersesak-sesak atau restoran mewah dengan harga yang tidak masuk akal. Tidak, apabila saya dengar Arne Slot bercakap, saya nampak bangau di tepi terusan, burung murai di atas tiang elektrik.
“Saya pasti akan kembali ke Bergentheim. Saya sudah mencipta kenangan dan bertemu rakan-rakan di sana.”
Ophof telah menetap di Bergentheim sepanjang hidupnya. Dia sering bergurau bahawa dia bertanggungjawab atas dua peratus kejayaan Slot – merujuk kepada pressing yang sangat ditekankannya sebagai jurulatih. Namun, ketika perbualan tersasar seketika, lelaki berusia 58 tahun itu mula berkongsi tentang berita besar lain di kampung sejak awal tahun ini.
“Kami ada 3 gereja di Bergentheim. Penduduk di sini sangat berpegang teguh pada agama dan tiada bola sepak dimainkan pada hari Ahad. Sehingga baru-baru ini, segala-galanya juga ditutup pada hari tersebut. Tapi sekarang, pasar raya dibuka pada hari Ahad. Ini satu keajaiban! 2 bulan terakhir ini, memang satu keajaiban. Pemilik pasar raya sebenarnya sudah mengumumkannya 2 tahun lalu tetapi prosesnya mengambil masa yang lama.”
Bagaimana reaksi penduduk kampung terhadap keputusan itu?
“Saya rasa mereka menerimanya. Tiada bantahan.”
Inilah kehidupan Arne Slot sebelum dia menyertai akademi PEC Zwolle, yang akhirnya mengubah rutin hariannya. Setiap hari, dia perlu berbasikal selama 15 minit ke stesen kereta api di Marienberg, diikuti perjalanan selama 45 minit menaiki kereta api untuk menghadiri sesi latihan atau perlawanan. Dia akan mengulangi perjalanan yang sama untuk pulang sebanyak 6 kali seminggu.
Seawal usia 12 tahun, dia sudah menunjukkan dedikasi yang luar biasa. Malah, seorang pencari bakat tempatan pernah menggelarnya sebagai Bergkamp dari Bergentheim. Dan sepanjang masa, bapanya sentiasa mendorongnya untuk memanfaatkan bakatnya sepenuhnya.
Beberapa tahun menjalani rutin perjalanan ke akademi, Arne mula berbual dengan seorang gadis yang menaiki kereta api yang sama. Gadis itu ialah Mirjam, yang kemudian menjadi isterinya. Mereka kekal bersama sehingga ke hari ini dan menetap di sebuah rumah yang indah di pusat Zwolle, menghadap terusan dan taman Ter Pelkwijkpark, di mana bunga krokus dan salji mula berkembang setiap tahun pada musim ini.
Sementara itu, ibu bapanya masih tinggal di rumah separa berkembar tempat dia membesar. Di hadapan rumah, terdapat papan nama keluarga, sebuah trofi yang kelihatan di tingkap bilik tidur, pasu tulip merah di halaman serta 5 burung merpati hiasan di tepi rumput yang dipotong rapi.
Pada Mei 2023, pasangan itu membuka pintu rumah mereka untuk satu wawancara eksklusif bersama Vincent de Vries, seorang wartawan bola sepak terkenal dari De Stentor. Dua hari sebelum itu, anak mereka telah membawa Feyenoord menjuarai Eredivisie dan Fennie, yang setahun lebih muda daripada suaminya tidak dapat menahan air mata kegembiraan.
“Ada masa saya rasa seperti bermimpi,” katanya. “Saya sangat bangga dengannya. Saya juga bangga dengan Edwin, Jakko dan Gerlinde, 3 anak saya yang lain. Tetapi apa yang Arne capai sangat luar biasa – hampir ajaib.”
Dalam sesi itu, pasangan tersebut turut bergambar sambil melihat album lama dan memegang trofi kejuaraan.
“Kawan-kawan dari Rotterdam sudah memberi amaran,” kata Arend sambil tersenyum. “Untuk 4 atau 5 tahun akan datang, Arne takkan dapat berjalan di bandar tanpa memakai rambut palsu.”
Di Bergentheim, kira-kira 125 batu ke timur, suasananya jauh berbeza. Arne hanyalah Arne. Itulah keistimewaan kampung ini -sikapnya yang sederhana dan tidak bermegah. Namun, Fennie yang bukan peminat bola sepak, mengakui terkejut apabila masuk ke pasar raya Plus untuk membeli barang dan mendapati ramai yang ingin menyapanya serta mengucapkan tahniah.
Dalam temu bual itu, De Vries juga menemui satu kisah menarik: ketika kecil, Arne pernah menampal pelekat Feyenoord pada tingkap bilik yang dikongsi bersama Jakko. Pelekat itu dilekatkan begitu kuat sehingga masih ada di situ lebih 30 tahun kemudian.
Adakah Arend melihat dirinya dalam Arne?
“Sudah tentu,” jawab bapanya dengan senyuman lebar. Mereka sering berbalas mesej sebelum perlawanan. “Buat yang terbaik,” adalah pesanan biasa Arend. Jawapan Arne pula selalunya dijawab dengan pantas.
“Sebab isteri saya mahu sedikit masa untuk dirinya sendiri pada hari Sabtu, saya selalu membawa anak-anak lelaki saya ke perlawanan,” kata Arend dalam wawancara yang sama. “Mereka sentiasa ada di bilik persalinan sebelum setiap perlawanan. Arne duduk diam di satu sudut, memerhati segala-galanya. Saya kadang-kadang bertanya, ‘Tak nak main di luar, nak?’ Tidak, dia mahu melihat dan merasai semuanya. Umurnya baru 6 atau 7 tahun ketika itu.”
Gambar dari zaman itu menunjukkan Arne di taman permainan sekolah. Ada juga gambar dia duduk di atas palang panjat serta satu lagi di dalam gimnasium sekolah.
Menariknya, dalam bahasa Belanda Arend bermaksud helang dan ia bukanlah nama yang biasa digunakan di negara itu. Namun, nama itu diwariskan kepada Arne (nama penuhnya ialah Arend Martijn Slot) dan mempunyai asal-usul Jerman yang membawa maksud pemerintahan dan kuasa. Satu makna yang terasa cukup sesuai.
Kini, Liverpool di bawah Slot sedang menanti saat untuk dinobatkan sebagai juara, bersedia menuju Wembley dan mungkin penduduk Bergentheim lebih memahami daripada orang lain dari mana datangnya mentaliti kemenangan ini. Tidak kenal lelah, penuh dorongan dan sangat kompetitif, Like Father Like Son.