Kisah Louis Saha: Kejayaan, Kecederaan dan Legasi di Old Trafford

Louis Saha: Penyerang Serba Boleh dan Peranannya di Manchester United

Louis Saha terkenal dengan kebolehannya menghubungkan permainan. Sama ada dalam jersi biru Perancis atau jersi merah Manchester United, penyerang ini mampu menggerakkan bola dari satu titik ke titik lain dengan pantas dan lancar.

Dalam tempoh 4 setengah tahun bersama United, Saha juga menjadi penghubung antara 2 era. Dia mengukuhkan barisan serangan Sir Alex Ferguson ketika penghujung zaman Ruud van Nistelrooy, sebelum memainkan peranan sokongan dalam era Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney.

Perpindahan ke Manchester United

Saha tidak berpindah ke Old Trafford pada musim panas 2003 seperti yang dirancang tetapi United berjaya mencapai persetujuan dengan Fulham pada Januari tahun berikutnya dengan nilai £12.4 juta.

Ketika itu Chelsea yang baru diambil alih oleh Roman Abramovich berusaha memecahkan dominasi United dan Arsenal di puncak liga. Ferguson pula perlu menjadi kreatif untuk membina semula pasukannya dan memastikan United kekal sebagai kuasa besar bola sepak Inggeris.

Kehadiran Rio Ferdinand (musim panas 2002) dan Cristiano Ronaldo (musim panas 2003) memberi Ferguson beberapa pemain teras baharu untuk pasukan United. Pada musim panas 2004 giliran Wayne Rooney pula menyertai United. Sementara itu, Saha dilihat sebagai pemain pelengkap yang boleh membantu pasukan dalam musim di mana United ketinggalan 15 mata di belakang Arsenal yang tidak ‘terkalahkan’ serta 4 mata di belakang Chelsea.

Saha Terpaksa Bertindak untuk Dapatkan Perpindahan

Perpindahan ini tidak berlaku dengan mudah. Fulham menolak 2 tawaran awal daripada United menyebabkan Saha secara terbuka menyuarakan rasa kecewanya.

“Saya terpaksa mengambil tindakan untuk memastikan saya mendapat perpindahan yang saya mahukan,” kata Saha. “Ia adalah peluang besar untuk bermain di sebuah kelab yang saya sudah rasa ada kaitan dengannya sebelum saya menyertai mereka. Saya membesar dengan melihat 2 penyerang, Andy Cole dan Dwight Yorke, dan saya mahu mencontohi mereka.

“Jadi ia adalah tempoh yang sukar. Tetapi apabila Sir Alex Ferguson menelefon dan berkata, ‘Saya suka gaya permainan awak’ serta ‘Awak akan menjadi sebahagian daripada rancangan kami dalam tempoh peralihan ini’, ia adalah sesuatu yang sangat hebat.”

Permulaan Cemerlang di United

Pemain yang berpindah pada jendela perpindahan Januari sering diharapkan memberikan impak segera dan Louis Saha tidak mengecewakan. Pada usia 25 tahun, dia menjaringkan gol pada penampilan pertamanya untuk Manchester United ketika menentang Southampton. Namun, Saha bukan sekadar pemain jangka pendek. Ferguson sedang membina pasukan yang mampu bersaing dalam 4 kejohanan sekaligus, jadi peluang bermain sentiasa ada selagi Saha menunjukkan prestasi baik dalam latihan.

Di Old Trafford, Saha berusaha untuk memanfaatkan setiap peluang yang dimilikinya.

“Saya mempunyai kelebihan yang berbeza daripada pemain lain. Saya lebih… boleh dikatakan lebih bergerak bebas. Saya juga lebih baik dalam permainan udara,” katanya dari rumahnya di selatan Perancis.

“Ruud (van Nistelrooy) lebih kepada penyerang nombor 9 klasik,” tambahnya sambil menggambarkan bentuk bola dengan tangannya, menunjukkan kebolehan lengkap pemain Belanda itu. “Saya pula lebih kepada pemain yang boleh bergerak di belakang pertahanan lawan dan mengganggu permainan mereka.”

Bagi Saha, Cristiano Ronaldo ketika itu mengingatkannya kepada Ryan Giggs.

“Saya mempunyai gaya yang sangat berbeza dengan mereka. (Ole Gunnar) Solskjaer pula cukuo bijak dalam larian dan cara dia menahan bola. Saya juga cuba bermain seperti itu. Saya tidak mempunyai semua kemahiran mereka tetapi saya seorang pemain yang boleh menghubungkan permainan. Saya yakin dengan kelebihan itu.”

“Saya bermain dengan kelebihan ini sepanjang karier saya di United. Saya sentiasa berasa sedikit berbeza. Saya bertuah kerana dapat bermain bersama 2 pemain yang sedang meningkat naik. Bila anda ada Ronaldo dan Rooney… memang ada persaingan tetapi saya juga meningkat bersama mereka. Tempoh peralihan ini sangat menarik. Saya hanya mahu bermain bola sepak dengan pemain terbaik, dalam persekitaran terbaik untuk berkembang dan United adalah tempat itu.”

Cabaran Kecederaan dan Persaingan di United

Saha menamatkan kempen 2003-04 dengan 7 gol dalam 14 perlawanan tetapi tidak dapat bermain dalam perlawanan akhir Piala FA 2004 – menentang Millwall kerana telah bermain untuk Fulham dalam kejohanan itu.

Dalam skuad United, dia berkawan rapat dengan David Bellion, Quinton Fortune dan Wes Brown. Dia juga sangat gembira dengan sesi latihan menentang Paul Scholes dan Ryan Giggs.

“Saya tak percaya dengan apa yang saya lihat,” katanya. “Saya selalu cuba menghentikan Scholes dalam latihan, bermain satu lawan satu dengannya… tetapi saya langsung tak boleh rapat dengannya.”

Malangnya, kecederaan ligamen lutut dan masalah betis menghalang Saha daripada mencapai rentak yang lebih konsisten dalam musim penuh pertamanya di United. Kelab itu menamatkan musim 2004-05 tanpa sebarang trofi dan kehadiran Rooney menjejaskan peranan Saha dalam pasukan.

Dalam fikirannya, Saha sentiasa teringatkan gandingan Andy Cole dan Dwight Yorke. Oleh itu, dia cuba menyesuaikan gaya permainannya bergantung kepada siapa rakan gandingannya di bahagian serangan.

Jika dia bermain dengan Rooney, dia akan menahan bola dan melakukan hantaran ke hadapan untuk pemain England itu. Jika bergandingan dengan Van Nistelrooy, mereka akan menjadi ancaman berganda di dalam kotak penalti.

“Saya cuba bermain lebih dekat dengannya kerana, apabila anda mempunyai pemain seperti Ruud dalam kotak penalti, kadangkala anda perlu menjadi pengalih perhatian kepada pertahanan lawan.”

Perubahan Besar di United

Musim 2005-06 menandakan peralihan besar di Manchester United. Saha tersisih selama 3 bulan pertama kerana kecederaan hamstring. Ketika dia kembali, kapten kelab, Roy Keane, telah meninggalkan pasukan.

Ferguson menggunakan Piala Liga sebagai pentas untuk Saha mendapatkan semula sentuhannya sebagai penjaring. Kepercayaan Ferguson tidak disia-siakan. Saha menjaringkan gol dalam pusingan keempat dan kelima kejohanan itu, serta dalam kedua-dua perlawanan separuh akhir menentang Blackburn Rovers.

Ketika itu, penolong pengurus Carlos Queiroz memainkan peranan besar dalam sesi latihan di Carrington. Ferguson pula sentiasa mengingatkan pemainnya supaya berani menguasai bola dan tidak bermain secara selamat.

“Saya rasa dia (Ferguson) yang terbaik,” kata Saha tentang pengurusnya. “Dia tahu bagaimana untuk bercakap dengan pelbagai jenis pemain. Dia tahu bagaimana untuk memberi motivasi, bagaimana untuk mencabar kita dan juga bagaimana untuk menekan ego kita.”

“Ada hari dia boleh menjadi seperti seorang bapa, ada hari dia seperti datuk kita dan ada hari dia seperti sahabat baik.”

‘Winning Mentality’ di Manchester United

Satu perkara yang konsisten dalam era Ferguson adalah keinginan untuk membina pasukan yang mampu menang pada bila-bila masa dan dalam apa jua kejohanan. Saha memahami bahawa menjadi pemain United bermakna dia perlu berlari, berjuang dan memberikan segalanya dalam setiap minit permainan.

“Ferguson selalu berkata kepada kami bahawa kami tidak boleh bermain dengan separuh hati. Kami perlu sentiasa bermain dengan keinginan dan intensiti yang sama dari minit pertama hingga minit ke-90.”

Walaupun dia mengakui bahawa dia tidak mempunyai stamina terbaik, Saha sentiasa menikmati persekitaran kompetitif di United.

“Setiap pemain benci dengan kalah. Anda perlu bekerja keras dalam latihan, itu asasnya. Anda juga perlu membantu rakan sepasukan tanpa perlu berfikir dua kali.”

“Jika anda hanya buat kerja sendiri dan tidak lebih daripada itu, anda sudah gagal. Itu bukan cara Manchester United berfungsi. Anda perlu lakukan lebih. Dan apabila usaha tambahan itu menjadi sesuatu yang biasa, ia adalah kerana pemain lain turut memberikan kepercayaan kepada anda.”

“Kami semua bekerja keras. Jadi, jika kami kalah, ia hanya kerana pasukan lawan benar-benar lebih baik bukan kerana kami tidak mencuba.”

Kejayaan di Piala Liga dan Konflik di United

Ketika United bersedia menghadapi perlawanan akhir Piala Liga pada Februari 2006 menentang Wigan Athletic di Cardiff, satu insiden berlaku dalam sesi latihan. Van Nistelrooy bertelagah dengan Ronaldo. Ferguson terpaksa menggugurkan penyerang Belanda itu daripada kesebelasan utama untuk final tersebut.

Saha diberi kepercayaan untuk bermula bersama Rooney di bahagian serangan dan kedua-duanya berjaya mencetak gol dalam kemenangan 4-0 di Stadium Millennium.

“Saya hanya mahu memenangi trofi. Pemain di United begitu obses dengan kejayaan dan saya suka berada dalam suasana seperti itu,” kata Saha.

Menjadi Gandingan Pilihan Ferguson

Musim 2006-07 merupakan tempoh di mana United beralih kepada sistem serangan yang lebih fleksibel. Saha menjadi pilihan utama Ferguson untuk digandingkan dengan Rooney.

Salah satu gol terbaiknya untuk kelab hadir dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara ketika menentang Benfica. Dia menyempurnakan serangan balas dengan rembatan kaki kanan yang kemas dari luar kotak penalti.

Dia telah meningkat menjadi penyerang-tengah yang lengkap tetapi masalah kecederaan groin dan hamstring membuatkannya terlepas separuh musim itu. Nasib baik, Rooney dan Ronaldo terus menunjukkan perkembangan luar biasa, membantu United meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama sejak tahun 2003.

Walaupun Saha menjaringkan 13 gol sepanjang kempen itu, dia sekali lagi terpaksa menyaksikan pasukannya dari tepi padang apabila terlepas final Piala FA (menentang Chelsea) kerana kecederaan.

Kejayaan dan Kekecewaan di United

Masalah kecederaan terus menghantui Saha sepanjang kariernya di Manchester United. Dalam tempoh 4 musim di bawah Ferguson, dia berjaya memenangi 2 kejuaraan Liga Perdana Inggeris, 1 Piala Liga dan 1 Liga Juara-Juara. Walaupun pencapaian itu cukup mengagumkan, dia tetap merasakan dirinya mampu memberikan lebih banyak sumbangan.

“Saya sepatutnya bermain lebih banyak perlawanan. Saya mengalami terlalu banyak kecederaan dan terpaksa kembali dari situasi yang sukar berkali-kali,” katanya.

Kehadiran Carlos Tevez pada musim panas 2007 mengubah perancangan Ferguson di bahagian serangan. Pengurus itu mula menggandingkan Tevez dan Rooney di posisi penyerang utama manakala Ronaldo diberi lebih kebebasan untuk menyerang. Ini menyebabkan peranan Saha semakin berkurangan.

Namun, Ferguson tetap menunjukkan keyakinan terhadapnya.

“Dia melindungi saya dan membuatkan saya berasa istimewa. Dia selalu mahu saya berada dalam pasukan,” kata Saha.

Momen Paling Perit – Terlepas Final Liga Juara-Juara 2008

Saha mengakui detik paling menyakitkan dalam kariernya di United adalah apabila dia terlepas final Liga Juara-Juara 2008 di Moscow akibat kecederaan.

“Saya tahu United memerlukan seorang penyerang yang boleh bermain sekurang-kurangnya 15 hingga 20 perlawanan liga setiap musim. Saya tidak boleh memberikan jaminan itu,” katanya.

Selepas kehilangan tempat dalam pasukan utama, Saha merasakan sudah tiba masanya untuk berundur. Dia meminta untuk meninggalkan United walaupun jauh di sudut hatinya dia mahu kekal lebih lama.

“Saya mahu kekal seumur hidup di United tetapi kelab terus berkembang. Jika saya ingat dengan betul, Dimitar Berbatov menggantikan tempat saya. Saya gembira kerana dia seorang pemain yang luar biasa.”

Meninggalkan United dan Memulakan Bab Baharu

Pada musim panas 2008 Saha akhirnya meninggalkan United dan menyertai Everton dengan kontrak berasaskan jumlah perlawanan yang dimainkan. Dia kemudiannya bermain untuk Tottenham Hotspur, Sunderland dan Lazio sebelum bersara daripada bola sepak profesional.

Kini Saha menetap di selatan Perancis dan mengusahakan perniagaan Axis Stars. Ia sebuah platform dalam talian yang membantu atlet profesional merancang masa depan mereka selepas bersara. Dia mahu memastikan generasi baharu pemain mempunyai sokongan yang lebih baik dalam mengekalkan kestabilan kewangan dan membina kerjaya selepas bola sepak.

Legasi Saha di United

Apabila ditanya bagaimana dia mahu dikenang oleh peminat bola sepak, Saha berkata:

“Sebagai seorang pemain yang jujur. Saya sentiasa mahu memberikan yang terbaik. Saya tidak pernah menipu atau bermain sambil lewa.”

“Saya menghormati setiap kelab yang saya wakili. Saya hormati semua penyokong walaupun saya tidak bercakap dengan mereka secara langsung. Saya cintakan industri ini dan saya banyak berkorban untuk memperbaikinya.”

Itulah kisah Louis Saha – seorang penyerang berbakat yang menjadi sebahagian daripada tempoh peralihan Manchester United malangnya dia sering dibayangi dengan kecederaan. Meskipun perjalanannya di Old Trafford penuh dengan naik turun, dia tetap meninggalkan legasi sebagai pemain yang bekerja keras, berjiwa besar dan sentiasa menghormati kelab serta rakan sepasukannya.

Artikel asal: Carl Anka

BACA:  Penyokong Man Utd Buat Protes Berhampiran Bas Pasukan Di Hotel Lowry Kini Telah Masuk Ke Padang