Ketika lagu tema Liga Juara-Juara berkumandang, Omar Marmoush berdiri tegak dan bersedia membuktikan dirinya sebagai salah seorang pemain bola sepak terbaik dunia.
Tapi ia bukan di Etihad. Bukan di Bernabeu. Ia cuma di sebuah rumah di Mesir.
“Semasa kecil, bila kami bermain bola di dalam rumah atau di taman, kami akan berbaris seolah-olah sedang bermain di Liga Juara-Juara dengan lagu temanya dipasang sebagai latar belakang,” kata Hussein Zikry, rakan baik Marmoush
Bertahun kemudian, impian itu menjadi kenyataan. Penyerang baharu Manchester City ini akhirnya membuat debut Liga Juara-Juara pada minggu lalu. Omar Marmoush masuk pada minit ke-84 ketika menentang Real Madrid di Etihad. Malangnya City melepaskan kelebihan 2-1 apabila tewas 2-3. Pada Rabu depan dia mungkin beraksi lagi dalam perlawanan timbal balik yang akan berlangsung di Sepanyol.
Pada Sabtu lepas, Marmoush mencipta sejarah peribadi apabila menjaringkan hatrik pertamanya di Liga Perdana Inggeris ketika menentang Newcastle United.
Perjalanan dari Mesir ke Eropah
Zikry dan Marmoush sudah bersahabat sejak zaman sekolah rendah dan pernah bermain bersama di Wadi Degla yang terletak di selatan Kaherah. Wadi Degla merupakan pasukan pertama Marmoush. Biasanya, pemain berbakat dari Mesir akan diambil oleh 2 kelab terbesar negara itu iaitu El Zamalek atau Al Ahly. Namun sejak kecil, Marmoush memasang impian untuk beraksi di liga Eropah. Dia merealisasikan impian itu pada usia 18 tahun apabila menyertai kelab Bundesliga, Wolfsburg pada 2017.
Sebelum itu, dia menghabiskan 14 tahun di Degla, sebuah kelab yang ditubuhkan pada 2002. Pada 2010 Degla naik ke liga utama Mesir tetapi turun semula ke divisyen dua pada 2021.
Jurulatih-jurulatih yang melatihnya sejak kecil berasa bangga melihat pencapaian Marmoush sekarang.
“Kami tahu dia akan sampai ke tahap ini kerana mentalitinya berbeza,” kata Gomaa El Kas, salah seorang jurulatih Marmoush semasa remaja. “Dia cukup berdisiplin, bersemangat dan benar-benar mencintai bola sepak.”
Dedikasi Sejak Kecil
Sejak muda, Marmoush tidak suka datang lewat atau ponteng latihan. Ketika remaja lain keluar melepak, dia dan Zikry memastikan mereka tidur awal supaya bertenaga keesokan harinya. Pada masa yang sama, ibu bapanya menekankan kepentingan pendidikan.
“Dulu saya tak faham kenapa ayah suruh saya utamakan sekolah berbanding latihan bola,” kata Marmoush dalam Sahibat Al Saada Talk Show. “Tapi bila saya dah besar baru saya sedar pentingnya pendidikan.”
Sekolah dan kelab bola sepaknya memahami situasinya.
“Kami dibenarkan pulang awal dari sekolah untuk ke latihan bola dan kalau tertinggal pelajaran, kami boleh ulang kaji keesokan harinya,” kata Zikry. “Kalau ada peperiksaan, kami beritahu kelab dan mereka aturkan sesi latihan khas untuk kami.”
Kelab Degla terkenal kerana membangunkan pemain bukan sahaja dari segi permainan tetapi juga sebagai individu. Pengasasnya, Maged Samy menjelaskan bahawa mereka memberi tumpuan kepada 4 aspek: membina kemahiran teknikal pemain, memberi peluang bermain bersama pasukan utama, membenarkan mereka berpindah ke luar negara dan membantu mereka menyertai pasukan kebangsaan.
Pada 2021 Marmoush membuat debut antarabangsa dan kini sudah mempunyai 35 caps bersama Mesir. Dia juga beraksi dalam Piala Negara-Negara Afrika.
Bakat yang Semakin Matang
Marmoush bermula sebagai pemain sayap kiri bersama pasukan remaja Degla, tetapi dia juga mampu bermain di pelbagai posisi bahagian serangan. Dia dikenali kerana kelajuan, kekuatan fizikal serta ketajamannya dalam menjaringkan gol dan keupayaan menggelecek.
“Sejak kecil, dia sudah memiliki fizikal yang kuat dan larian yang laju,” kata Zikry. “Gabungan itu membantunya sehingga sekarang, terutama dalam pergerakan tanpa bola dan situasi satu lawan satu.”
Jurulatihnya ketika berusia 9 tahun, Ashour Hashem berkata Marmoush mempunyai keperibadian di atas padang.
“Dia seorang pemimpin yang selalu memberi semangat kepada rakan sepasukan. Dia tidak meraikan gol secara keterlaluan malah sentiasa tenang.”
Namun, satu peristiwa penting mengubah kariernya.
Semasa sesi latihan pasukan remaja Degla yang terletak bersebelahan dengan latihan pasukan utama. Pasukan utama itu sedang bermain menentang Al Ahly dan ketinggalan 3-0.
“Marmoush menjaringkan hatrik, dan jurulatih pasukan utama, Patrice Carterton terus memanggilnya untuk berlatih bersama mereka,” kata El Kas.
Dia kemudian membuat debut pasukan utama dalam perlawanan terakhir musim 2015-16 dan menjaringkan gol kemenangan untuk memastikan Degla menamatkan kempen liga di tempat ke-5.
Pada musim berikutnya, bekas penyerang Liga Perdana, Mido mengambil alih pasukan dan terus memberi peluang kepada Marmoush. Dia menjaringkan 3 gol dalam 8 perlawanan sebelum berpindah ke Jerman.
Samy menjelaskan bahawa membantu pemain berpindah ke Eropah adalah matlamat utama kelab.
“Kami adalah kelab pembangunan, jadi keputusan perlawanan bukan keutamaan. Fokus kami adalah membangunkan pemain yang boleh beraksi dalam pasukan utama pada usia muda.”
Perjalanan ke Puncak
Ketika menyertai Wolfsburg, Marmoush masih belum menjadi pemain yang lengkap. Dia perlu bekerja keras untuk meningkatkan prestasinya. Salah satu kelemahannya adalah dia terlalu bergantung kepada kaki kanan.
“Sekarang dia boleh melakukan percubaan dengan kedua-dua kaki,” kata Hashem.
Di Jerman, dia juga belajar pergerakan tanpa bola yang lebih efektif.
“Dia memberitahu saya bahawa perkembangan terbesar dalam permainannya adalah cara berlari dan mencari posisi yang betul,” kata Zikry. “Gabungan itu, bersama kelajuan dan kekuatannya, memberinya kelebihan ke atas pertahanan lawan.”
Sikap kompetitif Marmoush membuatkannya sentiasa mencari cara untuk meningkatkan permainannya.
“Dalam apa perkara pun dia benci kalah,” kata Zikry. “Kalau dia kalah, dia akan belajar sehingga boleh menang.”
Zikry berasa bangga melihat kejayaan sahabat baiknya.
“Ia perasaan yang sukar digambarkan kerana kami bermula bersama. Dulu kami hanya bermimpi sekarang dia sudah mencapainya,” katanya.
Ketika Marmoush memberitahu Zikry bahawa Manchester City berminat mendapatkannya, Zikry hampir tidak percaya. “Ini adalah impiannya sejak kecil untuk bermain di Liga Perdana,” katanya.
Kini, budak yang pernah berangan-angan bermain di Liga Juara-Juara akhirnya benar-benar berada di sana.