Vinicius Junior, Kylian Mbappe dan Jude Bellingham sering menjadi tumpuan sebagai bintang utama Real Madrid. Namun di sebalik bintang mereka terdapat seorang pemain yang tidak kurang pentingnya. Dia ialah Federico Valverde.
Pemain berusia 26 tahun ini telah menjadi watak penting dalam pasukan Madrid sepanjang musim. Malah, pada musim ini dia berjaya menguasai satu lagi posisi yang lain daripada peranannya sebelum ini iaitu sebagai bek kanan.
Valverde, seorang pemain tengah dari Uruguay menyertai Real Madrid dari kelab Penarol di negara asalnya pada tahun 2016 dengan bayaran sekitar €5 juta. Dia kini menjadi tonggak utama di bahagian pertahanan selepas Dani Carvajal mengalami kecederaan lutut yang serius dan Lucas Vazquez pula gagal menampilkan prestasi terbaik sebagai pemain gantian.
Peranan Valverde semakin terserlah dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid. Dalam perlawanan tersebut, dia berjaya mencipta bantuan gol untuk jaringan pembukaan Rodrygo serta melakukan beberapa aksi bertahan yang penting. Walaupun mengalami kecederaan hamstring, yang menurut kelab dan orang di sekelilingnya membuatkan dia hanya berada pada tahap 60-70%, Valverde tetap turun beraksi di Santiago Bernabeu.
Tidak hairanlah apabila sumber dalaman pasukan Real Madrid pernah menyebut bahawa Valverde adalah “pemain paling penting” dalam skuad pada penghujung musim lalu. Apa sebenarnya yang membuatkan dia begitu istimewa?
Artikel ini akan mengupas perjalanan hidup seorang budak dari Montevideo yang pernah bermimpi bermain untuk Real Madrid, menolak tawaran dari Arsenal dan kelab-kelab besar lain dan kini telah mengumpul 14 kejuaraan bersama kelab gergasi Sepanyol ini.
Perjalanan Awal: Dari Montevideo ke Madrid
Federico Valverde lahir dalam sebuah keluarga yang sederhana. Ayahnya, Julio, bekerja sebagai pegawai keselamatan, manakala ibunya, Doris, adalah seorang pembantu kedai. Sebagai anak bongsu dalam keluarganya, dia dibesarkan di ibu kota Uruguay, Montevideo.
Ketika kecil, Valverde adalah seorang yang pemalu tetapi dia berubah sepenuhnya apabila bola berada di kakinya. Menurut orang yang rapat dengannya, dia sering menulis statistik perlawanan, keputusan dan perpindahan pemain dalam buku catatannya. Dia juga suka bermain bola sepak di dinding rumahnya yang terletak di kawasan kejiranan La Union, Montevideo.
Bakatnya mula terserlah sejak kecil, terutama dengan gaya permainannya yang unik. Badanya yang agak kurus menyebabkan dia digelar El Pajarito (si burung kecil).
Kelab gergasi Uruguay, Penarol dengan pantas mengenal pasti bakatnya dan mengambilnya untuk meletakkannya di dalam akademi mereka ketika Valverde berusia 11 tahun. Dia akhirnya membuat debut bersama pasukan utama Penarol pada Ogos 2015, ketika berusia 17 tahun dan mencatat 13 penampilan pada musim 2015-16.
Menolak Arsenal, Memilih Real Madrid
Hidup Valverde berubah apabila Arsenal menjemputnya untuk menjalani latihan bersama mereka ketika dia berusia 16 tahun. Dia pergi ke London bersama abangnya, Pablo dan amat kagum dengan layanan mesra serta sokongan daripada Alexis Sanchez, bintang Chile yang ketika itu bermain bersama Arsenal.
Namun, sesuatu terasa tidak kena. Valverde tidak yakin dia mampu menyesuaikan diri di England, sebuah negara dengan iklim yang jauh lebih sejuk dan bahasa yang tidak difahaminya. Dia juga tidak sanggup berjauhan dengan keluarganya.
Ketika menyertai kejohanan bawah 17 tahun Amerika Selatan pada tahun 2015, Valverde menerima kejutan besar. Di sana, dia bertemu dengan Juni Calafat, yang kini menjadi ketua pencari bakat Real Madrid. Calafat menyampaikan berita bahawa Madrid mahu mendapatkan khidmatnya.
“Saya hampir tidak percaya,” kata Valverde ketika ditemu bual dalam dokumentari Real Madrid pada tahun 2019.
Calafat, yang turut memainkan peranan penting dalam mendapatkan Vinicius Junior dan Rodrygo, memberitahu rancangan yang terperinci kepada Valverde dan keluarganya. Madrid bukan sahaja mahu menandatanganinya sebagai pemain tetapi juga bersedia membantu keluarganya berpindah ke Sepanyol untuk memastikan dia dapat menyesuaikan diri dengan baik.
Perjanjian €5 juta yang dimeterai oleh Madrid dengan Penarol kini dianggap sebagai salah satu urusan perpindahan terbaik dalam sejarah kelab itu. Dalam satu temu bual bersama media rasmi kelab pada tahun 2019, ibu Valverde, Doris menceritakan bagaimana anaknya pernah bermimpi 2 kali tentang menyertai Real Madrid.
“Dia berlari ke dalam bilik dan berkata, ‘Ibu, Ayah! Saya ada mimpi—saya melihat ramai orang berpakaian putih bersorak untuk saya tetapi mereka bercakap dalam bahasa yang pelik’,” kata Doris. Beberapa waktu kemudian, Valverde mengalami mimpi yang sama lagi tetapi kali ini dia menyedari bahawa orang berpakaian putih itu bercakap dalam bahasa Sepanyol.
Walaupun sudah menjalani ujian kesihatan dan bersetuju dengan perpindahan pada tahun 2015, Valverde hanya menyertai Madrid secara rasmi setahun kemudian selepas genap 18 tahun, selaras dengan peraturan FIFA.
Cabaran di Sepanyol: Dari Castilla ke Pasukan Utama Madrid
Musim pertamanya di Sepanyol (2016-17) menyaksikan Valverde bermain untuk pasukan kedua Madrid (Castilla) di divisyen ketiga bola sepak Sepanyol. Orang di sekelilingnya menceritakan bagaimana dia pada mulanya berasa terkejut dengan gaya hidup mewah yang dimiliki oleh pemain-pemain lain di dalam bilik persalinan.
Dia membuat 30 penampilan bersama Castilla. Pasukan itu menampilkan Achraf Hakimi dan Martin Odegaard. Ketika itu, jurulatihnya, Santiago Solari banyak membantunya menyesuaikan diri.
Namun, untuk benar-benar menembusi pasukan utama, Valverde terpaksa membuat satu keputusan sukar. Dia dipinjamkan ke Deportivo La Coruna pada musim panas 2017, walaupun turut mendapat tawaran daripada Real Betis.
Perpindahan ke Deportivo bermakna dia perlu berpindah ke bandar La Coruna yang terletak 600km dari Madrid dan jauh dari keluarganya. Walaupun begitu, dia menganggap tempoh pinjaman ini sebagai satu pengalaman yang mematangkannya, baik dari segi peribadi mahupun profesional. Sehingga kini, dia masih menyimpan jersi Deportivo di dalam bilik trofinya sebagai kenangan.
Debut di La Liga dan Permulaan Perjalanan di Peringkat Antarabangsa
Peluang untuk Valverde beraksi di La Liga akhirnya tiba ketika dia dipinjamkan ke Deportivo La Coruna pada musim 2017-18. Jurulatih kelab itu, Pepe Mel (bekas pengurus West Bromwich Albion) memberinya debut dalam liga utama Sepanyol ketika menentang Real Sociedad pada September 2017.
“Dia seorang yang pendiam tetapi sangat profesional sejak awal,” kata Mel kepada The Athletic. “Musim itu sangat baik untuknya kerana dia dapat berkongsi bilik persalinan dengan pemain-pemain berpengalaman, yang mempercepatkan proses pembelajarannya.”
Mel juga adalah orang pertama yang mencuba Valverde di posisi sayap, baik di kiri mahupun kanan. Keputusan ini menerima kritikan tetapi ia membuktikan betapa versatilnya pemain Uruguay itu.
Namun, musim di Deportivo tidak semuanya berjalan lancar. Pemecatan Mel, kecederaan lutut yang dialami Valverde serta pelantikan Clarence Seedorf sebagai jurulatih baharu pada pertengahan musim sedikit sebanyak menjejaskan perkembangannya. Dia hanya meraih 1,317 minit permainan dalam 25 perlawanan sepanjang musim itu.
Di peringkat antarabangsa, Valverde menerima panggilan sulung untuk pasukan senior Uruguay pada September 2017 dan sejak itu dia telah mewakili negaranya sebanyak 67 kali termasuk menjadi kapten dalam 13 perlawanan.
Peluang di Real Madrid: Dari Pemain Simpanan ke Pemain Penting
Musim panas 2018 membawa perubahan besar dalam karier Valverde. Ketika itu, Real Madrid baru sahaja kehilangan Cristiano Ronaldo dan Julen Lopetegui dilantik sebagai ketua jurulatih baharu. Dalam perancangan Lopetegui, Valverde diberi peluang untuk menyertai skuad utama dalam sesi pra-musim di Amerika Syarikat.
Menurut seorang sumber dalam kelab,
“Kami melihat seorang pemain yang agak pendiam tetapi penuh dengan semangat dan tenaga sebaik sahaja dia beraksi di atas padang. Kadangkala dia kelihatan seperti sedang mencari tempatnya dalam skuad yang dipenuhi bintang dan dia tidak pernah berhenti berusaha.”
Valverde tidak mensia-siakan peluang itu. Dia belajar banyak perkara daripada idolanya sejak kecil, Toni Kroos. Walaupun Madrid memecat Lopetegui pada Oktober 2018, menggantikannya dengan Solari dan kemudian melantik semula Zinedine Zidane sebagai pengurus pada Mac 2019, Valverde tetap berjaya mendapat tempatnya dalam pasukan yang ketika itu memiliki trio tengah legenda (Casemiro, Luka Modric dan Kroos).
Musim Gemilang dan Kejayaan di Liga Juara-Juara
Kemuncak perjalanan Valverde di Madrid berlaku pada musim 2021-22. Dia bermain sebagai pemain sayap kanan dalam banyak perlawanan dan menjadi watak penting ketika Madrid menjuarai La Liga serta Liga Juara-Juara.
Saat paling bersejarah ialah ketika final Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Paris. Ketika perlawanan masih terikat tanpa jaringan, Valverde melakukan satu hantaran lintang yang kemudiannya ditolak masuk oleh Vinicius Junior untuk menjaringkan gol kemenangan.
Sumbangan Valverde diiktiraf oleh rakan sepasukan dan peminat. Malah, pada Oktober 2022, Toni Kroos memuat naik ciapan di media sosialnya meminta Valverde untuk mengambil jersi nombor 8 miliknya selepas bersara secara mengejut pada tahun lalu.
Keupayaan bermain di pelbagai posisi menjadikan Valverde aset penting untuk mana-mana pengurus. Sejak musim 2019-20, dia telah bermain dalam 11 posisi berbeza di La Liga termasuk bek kanan untuk musim ini. Dengan Real Madrid kini dalam misi memburu satu lagi gelaran Liga Juara-Juara, ada yang bergurau bahawa Valverde boleh melengkapkan ‘hatrik sempurna’—menjuarai pertandingan ini sebagai pemain tengah, pemain sayap dan kini sebagai bek kanan.
Cabaran dan Sokongan Keluarga
Valverde bukan sahaja berkembang sebagai pemain tetapi juga sebagai seorang pemimpin dalam skuad. Dia berkongsi hubungan rapat dengan Carlo Ancelotti, yang pernah mencabarnya untuk menjaringkan lebih daripada 10 gol selepas hanya menjaringkan 1 gol sepanjang musim 2021-22. Ancelotti bergurau bahawa dia akan bersara jika Valverde gagal mencapai sasaran itu. Sebagai tindak balas, Valverde menjaringkan 12 gol musim berikutnya.
Salah satu senjata utama Valverde adalah rembatan jarak jauhnya. Musim ini sahaja, 5 golnya di La Liga semuanya datang daripada jarak 30 ela. Dia telah mengatasi jangkaan golnya (expected goals) dan hanya Matheus Cunha dari Wolverhampton Wanderers yang dapat menyaingi rekod 5 gol dari luar kotak penalti (untuk 5 liga utama Eropah).
Namun, versatiliti Valverde tidak selalunya memberikan kelebihan. Pada November lalu, isterinya, Mina Bonino seorang wartawan dari Argentina mengkritik keputusan Ancelotti meletakkan Valverde sebagai pemain sayap dalam satu perlawanan menentang AC Milan. Kritikan itu dimuat naik di media sosial tetapi Bonino segera memadamkannya. Ancelotti enggan membesar-besarkan perkara itu dan hanya berkata, “Sukar untuk memberi komen mengenai pendapat di media sosial.”
Dalam satu sidang media sebelum final Supercopa de Espana menentang Barcelona pada Januari lalu, Valverde menegaskan bahawa tiada masalah antara dirinya dan jurulatih. “Kedua-dua pihak mempertahankan apa yang mereka cintai,” katanya.
Bonino bukan sahaja penyokong setia Valverde tetapi juga pengkritik paling tegasnya. Dalam artikel untuk The Players’ Tribune pada 2023, Valverde mendedahkan bagaimana isterinya pernah mengecam prestasinya selepas kekalahan Real Madrid kepada Ajax dalam Liga Juara-Juara 2019.
“Dia berkata, ‘Serius, Fede? Itukah cara kamu bermain untuk Real Madrid?’” kenangnya.
Mereka kini menetap di kawasan mewah, La Moraleja di Madrid bersama dua anak, Benicio dan Bautista. Namun, kehidupan mereka juga ada dugaan. Kelahiran Bautista disertai komplikasi serius semasa kehamilan, yang digambarkan Valverde sebagai pengalaman “neraka.”
Insiden Dengan Alex Baena dan Kepimpinan di Madrid
Pada 2023, Valverde terpalit dalam satu kontroversi apabila dia dituduh menumbuk pemain Villarreal, Alex Baena di kawasan tempat letak bas pasukan di Bernabeu. Baena yang mengalami lebam dan bengkak di pipinya membuat laporan polis tetapi mahkamah menolak kes itu kerana kekurangan bukti. Insiden ini didakwa berpunca daripada komen Baena mengenai kehamilan isteri Valverde. Ia dinafikan oleh pihak Baena.
Walaupun pernah dikritik, Valverde terus membuktikan dirinya sebagai pemimpin dalam pasukan Real Madrid. Dalam beberapa perlawanan baru-baru ini, dia telah memakai lilitan kapten sebanyak 5 kali. Dari Mei tahun lalu hingga Februari, dia tidak terlepas satu perlawanan pun. Dia beraksi dalam 45 perlawanan berturut-turut.
Kini, pemain yang dahulu dikenali sebagai El Pajarito (Si Burung Kecil) lebih dikenali sebagai El Halcón (Si Helang). Dari seorang yang pemalu kepada seorang pemimpin di Real Madrid, Federico Valverde kini sedang terbang tinggi.