Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji persembahan cemerlang Mohamed Salah selepas pemain terbabit sekali lagi membantu Liverpool menewaskan AS Roma 5-2 dalam pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara di Anfield semalam.
Salah berjaya menjaringkan dua gol pertama perlawanan pada separuh masa pertama sebelum Sadio Mane dan Roberto Firmino menambah derita Roma untuk menjadikan kedudukan 5-0 pada satu ketika.
Roma berjaya menunjukkan kebangkitan pada lewat permainan selepas Klopp bertindak mengeluarkan Salah daripada perlawanan hasil jaringan Edin Dzeko dan penalti menerusi Diego Perotti.
Dua gol di tempat lawan yang berjaya dijaringkan Roma memberi sedikit sinar harapan kepada mereka untuk cuba bangkit dalam perlawanan timbal balik di Rome yang bakal berlangsung minggu hadapan.
Pemain antarabangsa Egypt tersebut telah menjaringkan 43 gol dari 47 perlawanan dalam semua pertandingan untuk Liverpool musim ini, dan Klopp turut mengambil kesempatan untuk memberikan pujian atas sumbangan cemerlangnya ketika menewaskan AS Roma.
Ketika bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, Klopp memuji persembahan Salah tetapi mengakui masih jauh perjalanan yang harus ditempuhi Salah sekiranya mahu diangkat menjadi pemain terbaik dunia.
“Dalam keadaaan sekarang, Mohamed Salah adalah pemain yang cukup cemerlang. Secara jujurnya, beliau agak sukar untuk dikawal pemain pertahanan ketika ini.”
“Untuk 15 minit yang pertama, kami terpaksa mempelajari corak permainan dan formasi pasukan lawan. Selepas itu, kami bermain mengikut cara biasa. Sudah tentu, Salah berjaya memberikan impak yang besar dalam permainan kami.”
“Gol pertama kami adalah jaringan yang amat genius. Salah telah berjaya melakukan jaringan sedemikian rupa beberapa kali sebelum ini dan jaringan tadi membuatkan ia lebih mengagumkan. Gol kedua Salah hasil daripada kerjasama pasukan.. selepas itu beliau mencipta dua gol untuk rakan yang lain.”
“Jika anda menganggap beliau sebagai pemain terbaik dunia, tulis atau lafazkan ia sahaja. Salah berada dalam keadaan yang cukup cemerlang dan bermain di tahap 100%. Ia baik untuk Liverpool.”
“Tetapi untuk menjadi pemain terbaik dunia, beliau perlu mempamerkan prestasi sebegini dalam tempoh masa yang lama. Terdapat beberapa pemain lain yang tidak kurang bagusnya. Salah adalah pemain yang fantastik dan kami gembira untuk memiliki beliau.”
Liverpool akan bertandang ke Stadio Olimpico Rabu minggu depan dengan kelebihan 3 jaringan tetapi mereka perlu berwaspada dengan apa yang berlaku kepada Barcelona sebelum ini.
Dalam pusingan suku akhir, Roma berjaya bangkit daripada kekalahan 4-1 dalam perlawanan pertama untuk mencatatkan kemenangan 3-0 di hadapan penyokong mereka sendiri.
“Sekarang kami perlu bekerja keras sekali lagi di Rome. Itu tidak menjadi satu masalah buat kami. Kami masih perlu bekerja keras walaupun jika kami berjaya memperolehi kemenangan 5-0 kerana Roma akan berusahah habis-habisan untuk kembali bangkit.”