Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui anak buahnya gagal menemui ‘mojo’ ketika tumpas mengejut di tangan Red Star Belgrade awal pagi tadi.
Dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi, Liverpool dianggap calon pilihan untuk menumpaskan Red Star memandangkan mereka berjaya menjinakkan pasukan tersebut 4-0 beberapa minggu yang lalu.
Walau bagaimanapun, statistik dan sejarah pertemuan tidak membawa sebarang makna dalam Liga Juara-Juara Eropah. Red Star membuktikan pasukan bakal juara EPL dan UCL musim ini iaitu Liverpool mampu ditewaskan jika kena caranya.
Kekalahan Liverpool menyebabkan saingan kumpulan C terbuka luas dengan semua pasukan masih mempunyai peluang untuk layak ke pusinga kalah mati. Ia ditambah dengan keputusan seri 1-1 dalam satu lagi perlawanan yang menemukan Napoli dan Paris Saint-Germain.
Dalam sidang media selepas berakhirnya perlawanan malam tadi, Klopp kecewa dengan kesilapan yang dilakukan pemainnya namun percaya Liverpool tidak menghadapi sebarang masalah yang serius walaupun tewas mengejut.
“Bagi kami, segalanya tidak menjadi. Ia bukan mudah. Agak sukar untuk kami mencari ‘mojo’ kami kembali. Kami juga menghadapi waktu yang sukar untuk melakukan perkara yang betul dalam waktu yang tepat kerana kami bermain dalam keadaan yang bermasalah.”
“Kami banyak memberikan sepakan percuma kepada pihak lawan sebelum mereka berjaya menjaringkan gol. Kami juga tidak menjangka gol kedua Red Star. Kami mempunyai bola ketika itu dan tiba-tiba melepaskan penguasaan kepada mereka.”
“Ia bukan perkara yang sepatutnya kami lakukan dalam atmosfera perlawanan seperti tadi. Ia merupakan satu tamparan yang hebat buat kami.”
Apabila ditanya mengenai prestasi Liverpool yang semakin lama semakin merudum dan seperti kehilangan ‘mojo’, Klopp menegaskan kekalahan ini hanyalah insiden yang terpencil.
“Untuk perlawanan tadi, saya perlu melakukan sedikit perubahan. Ada juga perubahan yang kami terpaksa lakukan dan ada juga yang kami perlu lakukan.”
“Saya tidak percaya kami menghadapi situasi yang serius walaupun sudah kalah dua kali. Tetapi sudah tentu kami perlu memastikan keputusan seperti ini tidak berulang lagi selepas ini. Jika tidak, kami akan menghadapi situasi yang sukar kerana kami akan menghadapi perlawanan di tempat lawan selepas ini. Selepas itu, satu lagi perlawanan sukar di tempat sendiri.”
Klopp juga ditanya apakah insiden yang menyebabkan Liverpool tewas di tangan Red Star Belgrade, ini jawapan Klopp.
“Saya hanya mempunyai 10 jari. Permulaan permainan agak sengit. Kami mempunyai peluang terbaik pertama perlawanan melalui Daniel Sturridge. Setiap gol dalam perlawanan seperti ini akan mengubah hala tuju dan keputusan perlawanan.”