Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberi bayangan akan ada lagi pemain baru yang akan tiba di Anfield sebelum tirai perpindahan pemain ditutup dalam misi The Kops meneruskan legasi mereka sebagai pasukan hebat di Eropah.
Liverpool telah berjaya membawa masuk dua pemain tengah iaitu Fabinho dan Naby Keita dalam tirai perpindahan musim panas ini, tetapi Klopp menjangkakan urusan perpindahan Liverpool tidak akan tamat disitu sahaja.
Selepas mengalami kekecewaan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah hujung Mei lalu di tangan Real Madrid, Klopp bertindak cepat dengan membawa masuk dua pemain berprofil tinggi untuk menambahbaik bahagian tengah Liverpool.
Pemain tengah Jerman, Emre Can meninggalkan Liverpool selepas menolak tawaran lanjutan kontrak dan telah bersetuju untuk menyertai Juventus.
Liverpool juga cuba mendapatkan penyerang sensasi Lyon, Nabil Fekir dan melihat bidaan bernilai £60 juta diterima Lyon, tetapi Lyon menarik diri pada saat akhir kerana mahu menunggu kempen Piala Dunia berakhir terlebih dahulu dengan harapan nilai Fekir akan meningkat lebih tinggi.
Selepas memperkuatkan bahagian tengah, posisi seterusnya yang akan diperkuatkan adalah penjaga gol. Berikutan kesilapan yang dilakukan Loris Karius ketika final Liga Juara-Juara Eropah, banyak pihak mendesak Klopp mencari penjaga gol baru yang lebih berkualiti.
Penjaga gol AS Roma, Alisson yang kini merupakan penjaga gawang No.1 Brazil telah dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield.
Selain itu, pemain antarabangsa Switzerland, Xherdan Shaqiri juga dilaporkan berada dalam radar Liverpool dan beliau mampu diperolehi dengan harga yang lebih murah berikutan penyingkiran Stoke City dari Liga Perdana Inggeris.
Ketika bercakap kepada laman web rasmi Liverpool, Klopp memberitahu beliau tidak akan berhenti dari cuba untuk memperkuatkan skuad Liverpool selagi tirai perpindahan pemain belum ditutup.
“Kami sentiasa bekerja, itu lumrah bola sepak. Kenapa kami harus berhenti mencari pemain sedangkan pintu perpindahan masih terbuka ?”
“Segalanya baik-baik sahaja sekarang. Kita akan lihat apa yang akan berlaku selepas ini. Saya tidak mahu bercakap banyak mengenai perkara ini kerana ianya adalah lebih bagus jika melibatkan perpindahan pemain.”
“Kita akan lihat apa yang akan berlaku di sebelah sana , tetapi kami di Liverpool masih memikirkan perkara ini sebelum hari terakhir tirai perpindahan pemain.”
Klopp juga berkata pemain simpanan dan remaja Liverpool akan mendapat peluang untuk diturunkan dengan lebih kerap ketika pra-musim memandangkan ramai pemain utama terlibat dengan Piala Dunia 2018.
“Saya beritahu pemain saya Selasa lalu yang setiap pemain mempunyai peluang untuk beraksi. Saya bukan buta, jadi saya akan lihat apa yang setiap pemain mampu lakukan di atas padang. Jika pemain tersebut mampu berikan sesuatu yang istimewa, saya akan menyedari perkara tersebut dan membuat keputusan mengenainya.”