Klopp Mahu UEFA Beri Hukuman Berat Kepada Kelab Yang Melanggar FFP

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menggesa badan induk bola sepak Eropah iaitu UEFA supaya mengambil tindakan yang tegas terhadap kelab yang melanggar peraturan ‘Financial Fair Play’ (FFP).

Peraturan FFP diperkenalkan UEFA pada tahun 2013 untuk memastikan tahap kewangan kelab yang berdaftar dengan badan induk itu berada dalam keadaan yang sihat. Ia juga diperkenalkan bagi memastikan kelab tidak mempunyai hutang yang terlalu tinggi dan berbelanja seimbang dengan tahap kewangan kelab tersebut.

Klopp mahu UEFA hukum kelab yang mencabul kehormatan FFP

Manchester City menjadi kelab terbaru yang dikatakan melanggar peraturan FFP berikutan pendedahan tergempar yang dilakukan sebuah majalah dari Jerman, Der Spiegel. Majalah itu melaporkan Manchester City telah memeterai satu perjanjian rahsia dengan UEFA pada tahun 2014 bagi memastikan mereka terlepas dari penggantungan dari menyertai pertandingan di peringkat Eropah akibat gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan FFP.

Der Spiegel juga mendakwa pemilik Manchester City, Sheikh Mansour menjadi individu di belakang beberapa tajaan yang diterima kelab tersebut dalam usaha untuk memenuhi tuntutan kewangan seperti yang telah ditetapkan UEFA.

Walau bagaimanapun, jurucakap rasmi Manchester City menafikan berita tersebut sambil mendakwa ia merupakan cubaan untuk mencemarkan imej dan reputasi kelab berkenaan.

Selain Manchester City, Der Spiegel juga mendakwa Paris Saint-Germain ‘mencabul’ peraturan FFP dengan mencipta tajaan sendiri dalam usaha kelab tersebut untuk tidak dikenakan hukuman daripada UEFA. PSG berkongsi satu kumpulan yang sama dengan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini disamping Napoli dan Red Star Belgrade.

Pemiliki Manchester City didakwa memberi duit kepada pihak yang membuat tajaan kepada kelab tersebut

Dalam sidang media menjelang pertemuan menentang Fulham malam esok, Klopp telah diminta untuk memberikan pendapatnya mengenai dakwaan yang dikeluarkan oleh Der Spiegel. Walaupun belum membaca laporan tersebut, Klopp berkata mana-mana kelab yang mencabul peraturan FFP perlu dihukum sewajarnya.

“Sangat sukar untuk saya memberikan komen mengenai perkara ini tetapi secara dasarnya, FFP merupakan satu perkara yang baik.”

“Jika peraturan itu ditetapkan oleh UEFA, mereka perlu membuat sesuatu jika ada kelab yang melanggarnya. Saya tidak mempunyai sebarang idea mengenai apa yang telah berlaku ketika ini [laporan yang mengaitkan Manchester City dan PSG dengan pelanggaran FFP].”

“Cuma yang saya tahu kelab tersebut adalah Manchester City dan Paris Saint-Germain. Saya tidak pasti sama ada terdapat kelab lain melakukan perkara yang sama.”

Paris Saint Germain dan Manchester City berpisah tiada. Dua-dua pakai duit minyak

“Saya berpendapat FFP merupakan perkara yang bagus kerana ia telah menetapkan satu garis panduan yang mesti diikuti semua kelab. Jika semuanya mengikut peraturan, kelab tidak perlu risau apa-apa.”

“Jika ada yang melanggar peraturan tersebut, UEFA perlu mengambil tindakan yang sewajarnya. Itu sahaja yang saya boleh cakap mengenai perkara ini kerana saya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai apa yang benar-benar berlaku.”

BACA:  Henderson Tinggalkan Al Ettifaq Tanpa Terima Sesen Gaji Dan Tanggung Hutang Jutaan Pound