Klopp Meminta Maaf Kerana Berlari Ke Dalam Padang Ketika Jaringan Kemenangan Liverpool

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata beliau telah meminta maaf kepada Marco Silva kerana masuk ke tengah padang ketika meraikan jaringan kemenangan Divock Origi pada minit terakhir perlawanan.

Tidak seperti sebelum ini, pertemuan derby Merseyside pertama musim ini di antara Liverpool dan Everton berlangsung dengan agak hambar kerana kedua-dua pasukan dilihat bermain agak berhati-hati bagi mengelak dari dibolosi.

Klopp dirasuk semangat Usain Bolt

Ketika perlawanan dijangka tamat tanpa sebarang jaringan, pemain gantian Liverpool Divock Origi muncul wira buat The Reds apabila menolak masuk bola ke dalam gawang Everton pada minit ke-96 perlawanan.

Kesilapan penjaga gol England, Jordan Pickford yang gagal mengagak bola jatuh ke mana menyebabkan The Toffees kehilangan satu mata berharga untuk dibawa pulang ke Goodison Park.

Klopp yang berada di bangku simpanan gagal menahan kegembiraannya dan beliau dilihat berlari ke tengah padang untuk memeluk penjaga gol Liverpool, Alisson ketika pemain-pemain lain menyambut jaringan Origi di penjuru padang.

Bekas pengedali Borussi Dortmund itu sedar dengan perbuatannya itu dan meminta maaf kepada mana-mana pihak yang terguris dengan aksinya itu.

“Pertama sekali, saya ingin meminta maaf kerana berlari masuk ke dalam padang. Saya terus meminta maaf kepada Marco Silva. Saya tidak berniat untuk kurang ajar.”

“Perasaan hormat saya terhadap Everton semakin bertambah selepas perlawanan tadi. Kami tahu bagaimana kuatnya Everton tetapi hari ini mereka menunjukkan persembahan yang amat cemerlang dan berjaya menyukarkan permainan kami.”

“Memang jelas gol tersebut agak bernasib baik tetapi kami mempunyai idea sendiri sepanjang perlawanan. Kami akan cuba mencari kemenangan sehingga wisel penamat.”

Origi the hero

“Kami menunjukkan niat untuk menang apabila memasukkan penyerang. Ia merupakan perlawanan yang terbuka dan agak panjang. Saya rasa kami berhak mendapat tiga mata.”

Untuk rekod, walaupun jarang diturunkan bermain, Origi telah mengumpul 3 gol dalam derby Merseyside dan Klopp mengakui beliau jarang melihat pemandangan seperti penghujung perlawanan tadi.

“Tidak selalu berlaku. Ia boleh berlaku dari semasa ke semasa tetapi agak jarang.”

“Syukurlah. Jantung saya mungkin lebih selamat sekiranya perlawanan bola sepak ditentukan lebih awal.”

Disaat peminat Liverpool bergembira di seluruh dunia, akan ada hati yang berduka melihat Liverpool memungut 3 mata.

Pickford gagal menahan kesedihan

Pemain pertahanan Everton, Michael Keane berkata semua pemain Everton memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada Pickford berikutan kesilapan beliau pada penghujung perlawanan.

“Semua pemain berasa amat kecewa dan senyap. Kami cuba untuk menenangkan Jordan. Beliau tidak bernasib baik. Beliau sebenarnya bermain sangat baik untuk Everton.”

“Semua pemain berasa kecewa kerana kerja keras yang kami tunjukkan dalam perlawanan itu tadi. Kami juga mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan dan sangat hampir untuk menjaringkannya. Kami sangat kecewa dengan diri sendiri dan juga peminat.”

BACA:  Premier League 2019/20 Season Finale: Newcastle United 1-3 Liverpool