Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui beliau mungkin menggunakan jendela perpindahan Januari nanti untuk mendapatkan pemain baru sekiranya berlaku kecederaan serius terhadap pemain utama mereka.
Liverpool kini selesa di persada Liga Perdana Inggeris selepas mengharungi 18 perlawanan dengan kelebihan 4 mata di hadapan juara bertahan, Manchester City yang tumpas mengejut di tangan Crystal Palace hujung minggu lalu.
Liverpool akan melalui kempen liga pada musim perayaan yang sibuk ini tanpa khidmat dua pemain utama iaitu Joe Gomez dan Joel Matip yang masing-masing mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki dan collarbone.
Pemain muda, Trent Alexander-Arnold dan Naby Keita juga masih bergelut dengan masalah kecederaan dan mereka ini akan melalui ujian kecergasan bagi menentukan sama ada dapat beraksi menentang Newcastle pada Boxing Day nanti.
Klopp mengakui beliau mungkin terpaksa ‘terjun’ ke dalam jendela perpindahan sekiranya terdapat lagi pemain utama Liverpool yang mengalami kecederaan selepas ini.
“Saya sangat gembira dengan apa yang saya ada sekarang tetapi seperti yang saya selalu cakap, anda tidak tahu apa yang bakal berlaku. Saya sentiasa membiarkan pintu terbuka.”
“Jika berlaku sesuatu, kami mungkin perlu melihat pasaran pemain. Kami bakal melalui banyak perlawanan selepas ini. Jadi sangat penting untuk kami bertindak balas dalam situasi ini.”
“Jika berlaku perubahan yang drastik, kami akan membuat sesuatu tetapi jika tiada apa-apa yang berlaku, kami tidak berbuat apa-apa.”
Ketika Liverpool mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Wolves hujung minggu lalu, James Milner terpaksa mengisi posisi bek kanan berikutan kecederaan yang dialami Alexander-Arnold.
Klopp mengakui beliau tidak boleh berterusan mengharapkan Milner untuk mengisi posisi tersebut walaupun tahu pemain tersebut agak versatile.
“Kami tidak mempunyai banyak pilihan lagi kerana kami mempunyai dua pemain bek tengah yang sedang cedera, jadi segalanya agak terhad buat masa sekarang.”
“Kami tidak lah terlalu versatile. Betul, James Milner mampu bermain dalam 5 atau 6 posisi yang berbeza dan itu bukan masalah yang besar buat beliau. Tetapi kami tidak mempunyai ramai pemain yang mampu beraksi dalam beberapa posisi.”
“Tetapi situasi sekarang masih lagi okay.”