Alexander-Arnold ‘Berlatih Selama13 Tahun’ Untuk Hadapi Real Madrid

klopp trent

Pemain muda Liverpool, Trent Alexander-Arnold berkata beliau telah ‘berlatih selama 13 tahun’ untuk menghadapi perlawanan besar seperti pentas final Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid hujung bulan ini.

Walaupun baru menginjak usia 19 tahun, Arnold telah menunjukkan kematangan melangkui usianya dan menjadi nadi penting Liverpool dalam perjalanan mereka menuju ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara. Beliau hanya terlepas satu perlawanan sahaja iaitu perlawanan timbal balik menentang Porto selepas mencatatkan kemenangan selesa di Portugal.

Arnold telah berlatih selama 13 tahun untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi detik penuh bersejarah ini

Arnold berjaya merantai pergerakan pemain sayap Manchester City ketika pusingan suku akhir Liga Juara-Juara tetapi bagi pentas final kali ini, ujian lebih besar menanti apabila beliau perlu mengawal pergerakan pemenang Ballon d’Or sebanyak 5 kali, Cristiano Ronaldo.

Menjelang perlawanan getir tersebut, Arnold berkata beliau telah menunggu lama untuk berhadapan saat sebegini.

“Saya telah menjalani latihan selama 13 tahun untuk berhadapan dengan detik dan perlawanan besar sebegini.” Ujar Arnold ketika ditemu ramah oleh The Telegraph.

“Anda mempersiapkan diri untuk saat sebegini tanpa anda sedari. Saya akan terus bekerja lebih keras beberapa hari yang akan datang untuk menjadi lebih baik, dan mencapai tahap permainan yang lebih tinggi.”

Arnold berjaya merantai pergerakan Leroy Sane ketika peringkat suku akhir Liga Juara-Juara

“Perkara paling penting adalah  terus bekerja keras, fokus pada permainan sendiri bagi memastikan saya mengharungi perlawanan dengan baik. Selepas itu, saya juga perlu lebih berwaspada dari memberi peluang menjaringkan gol kepada Cristiano Ronaldo kerana kita semua tahu beliau sangat bagus dalam perkara tersebut.”

Dalam perkembangan lain pula, Arnold turut menerima perkabaran gembira daripada pengurus England, Gareth Southgate apabila beliau disenarai dalam skuad 23 pemain England yang akan berangkat ke Russia untuk menghadapi Piala Dunia.

Tetapi adakah beliau mampu merantai pergerakan mamat ini ? Sama-sama kita saksikan

Ini merupakan panggilan antarabangsa pertama Arnold kerana beliau tidak pernah dipanggil untuk menghadapi perlawanan kelayakan atau persahabatan sebelum ini. Arnold mengakui panggilan tersebut merupakan satu kejutan buatnya tetapi gembira kerana impiannya untuk bermain dengan England akhirnya tercapai.

“Panggilan ini sebenarnya satu kejutan buat saya kerana saya tidak menyangka yang saya akan pergi ke Piala Dunia. Saya selalu bermimpi yang saya akan bermain di Piala Dunia pada satu peringkat dalam karier saya.”

“Ketika membesar, saya banyak berfikir mengenai perkara yang bakal berlaku dalam hidup saya. Kesemua perkara yang telah saya lalui ketika ini merupakan perkara yang telah saya fikirkan dahulu.”

BACA:  'Seolah Satu Sumpahan'- Mason Mount Tewas 6 Perlawanan Akhir Di Wembley