Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata beliau tidak mahu melihat Liverpool mengubah cara permainan mereka bagi memastikan Mohamed Salah memenangi anugerah Kasut Emas musim ini.
Sebaliknya, pengendali berasal dari Jerman itu mahu anak buahnya tidak terlalu fokus untuk memberikan bola kepada Salah untuk menjaringkan gol dan meletakkan kepentingan pasukan melebihi individu.
Liverpool akan bertandang ke Stadium Hawthorns untuk bertemu pasukan tangga tercorot, West Brom yang masih lagi segar dengan kemenangan mengejut ke atas Manchester United hujung minggu lalu, sekaligus menyaksikan Manchester City muncul juara Liga Perdana Inggeris musim ini.
Sejak menyertai Liverpool dari AS Roma musim panas tahun lepas, Salah telah berjaya menjaringkan 40 gol dalam semua pertandingan dan 30 daripadanya dijaringkan dalam saingan liga. Jumlah tersebut membolehkan beliau berada di tangga teratas dalam senarai penjaring dengan liga berbaki 4 perlawanan sahaja lagi.
Pesaing terdekat Salah, Harry Kane turut mengintai peluang untuk memenangi anugerah Kasut Emas buat 3 musim berturut-turut tetapi beliau berdepan tugas yang sukar untuk memintas Salah kerana ketinggalan 4 gol buat masa sekarang.
Pemain antarabangsa Egypt itu merupakan calon pilihan untuk memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA musim ini yang bakal diumumkan dalam satu majlis di London pada hari Ahad. Calon lain yang bersaing untuk merebut anugerah tersebut adalah Kevin De Bruyne dan David De Gea.
Sebelum ini, persembahan cemerlang yang ditampilkan Salah dalam musim pertamanya di Anfield telah menerima pengiktirafan dari pemain profesional yang lain apabila beliau telah diundi untuk berada dalam Pasukan Terbaik Liga Perdana Inggeris musim 2017/2018.
Walaupun Salah terus-menerus menerima pengiktirafan dari segenap pihak, Klopp mendakwa kerjasama baik yang wujud dalam pasukan Liverpool telah banyak membantu meningkatkan tahap permainan Salah dan pemain Liverpool yang lain.
“Sasaran utama Mohamed Salah adalah untuk membantu Liverpool mengakhiri musim di kedudukan Liga Juara-Juara. Jika segalanya berjalan lancar, kami mahu mara ke final dan jika boleh memenangi pertandingan tersebut.” Ujar Klopp dalam sidang media menjelang pertemuan Liverpool menentang West Brom malam ini.
“Kami tidak boleh terlalu memikirkan untuk menjadikan Salah penjaring terbanyak. Kami tidak cuba meletakkan beliau dalam posisi dimana beliau akan menjaringkan gol. Kami harus bermain bolasepak seperti biasa.”
Klopp on Salah: "No physical problems in the moment. Hopefully it stays like this because we need all the boys for the games."
Watch live and free ? https://t.co/wD1VOyJsRt pic.twitter.com/OsffuGRKDE
— Liverpool FC (@LFC) April 20, 2018
“Jika Salah berada di tahap yang terbaik, beliau adalah ancaman gol utama kami. Jika beliau berada di kedudukan yang tepat, beliau akan menjaringkan gol.”
“Kami berada di posisi kami sekarang adalah kerana corak permainan yang telah dipamerkan pasukan musim ini. Salah memilih untuk datagn ke sini kerana corak permainan Liverpool. Kami tidak perlu mengubah apa-apa, cuma teruskan sahaja apa yang telah kami lakukan musim ini.”