Klopp Yakin Salah Tidak Akan Tinggalkan Liverpool Dalam Masa Terdekat

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menepis spekulasi yang mengaitkan Mohamed Salah dengan perpindahan keluar pada jendela perpindahan yang akan datang dan percaya pemain tersebut sangat selesa bermain di Anfield.

Salah merupakan pembelian musim panas dari AS Roma dengan yuran perpindahan sekitar  £38 juta dan beliau telah membuktikan mengapa nilai tersebut agak kecil jika dibandingkan dengan impak yang telah dibawanya kepada pasukan Liverpool musim ini.

Jangan ko coba tinggalkan daku

Pemain antarabangsa Egypt ini telah menjaringkan 39 gol dalam semua pertandingan musim ini dan kehebatan beliau di depan gol telah menarik minat pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid untuk cuba mendapatkan khidmatnya pada musim panas yang akan datang.

Menyedari minat beberapa kelab ternama Eropah terhadap bintang sensasinya, Klopp yakin Salah tidak berminat untuk keluar dari Anfield buat masa ini kerana pemain tersebut gembira dengan perjalanan kariernya sejak menyertai Liverpool.

“Saya tahu Mohamed Salah sangat selesa bermain di Liverpool, dan beliau juga tahu corak permainan kami cukup sesuai dengan beliau. Jadi saya tidak risau dengan spekulasi yang mengaitkan beliau dengan perpindahan ke kelab lain musim panas nanti.” Ujar Klopp ketika bercakap kepada akhbar dari Jerman, Bild.

Salah berpeluang untuk menjadi hanya pemain ketiga dalam sejarah Liverpool menjaringkan 40 gol atau lebih dalam satu musim dan hanya memerlukan satu gol sahaja lagi.

Salah berdepan saingan sengit daripada Kane untuk meraih Kasut Emas musim ini

Beliau juga adalah pendahulu dalam senarai penjaring Liga Perdana Inggeris dengan 29 gol, 4 gol melebihi penyandang kasut emas dua musim berturut-turut, Harry Kane.

Penyerang antarabangsa England itu agak bernasib baik apabila gol kemenangan Spurs ketika menentang Stoke dianugerahkan kepadanya selepas rayuan dibuat oleh kelabnya. Gol tersebut pada mulanya diberikan kepada Christian Eriksen tetapi Kane mendakwa terdapat sentuhan daripadanya sebelum bola sepakan percuma Eriksen menerjah jaring.

Bekas pemain Chelsea dan FC Basel ini menggambarkan pengalaman bermain di hadapan peminat Liverpool di Anfield sebagai satu pengalaman yang istimewa dan beliau juga memuji penyokong yang berjaya mencipta atmosfera yang hebat setiap kali Liverpool beraksi di gelanggang sendiri.

Adakah Salah bakal bertemu pasukan lamanya dalam Liga Juara-Juara musim ini ?

“Ada satu perasaan yang istimewa setiap kali saya bermain untuk Liverpool. Malam berlangsungnya Liga Juara-Juara Eropah juga sangat istimewa bagi peminat-peminat Liverpool. Anda boleh merasai atmosfera yang hebat bermula dari jalanan lagi.”

“Atmosfera stadium ketika perlawanan pertama menentang Manchester City minggu lepas merupakan pengalaman kali pertama saya melihat suasana sedemikian rupa.”

“Apabila saya mengetahui kami diundi bertemu Manchester City, semua orang berkata ia satu undian yang sukar buat kami. Tetapi saya berkata yang kami perlu berfikir positif untuk mencatatkan kemenangan. Dan akhirnya kami berjaya melakukannya.”

BACA:  Ini Alasan Mengapa Jurgen Klopp Tidak Memakai Cermin Mata Ikoniknya Lagi