Komen Jamie Carragher Dedahkan Sikap Tidak Hormat Terhadap Bola Sepak Afrika

Komen Jamie Carragher Tentang AFCON Dedahkan Isu Lebih Besar; AFCON Sering Dipandang Rendah

Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) mungkin merupakan kejohanan paling dipandang rendah dalam dunia bola sepak.
Ramai yang menganggapnya sekadar gangguan pertengahan musim yang menyusahkan kelab kerana perlu melepaskan pemain bintang dari Afrika. Mengapa pemain perlu bersusah payah membantu negara mereka memenangi trofi sedangkan kejayaan dalam Piala FA atau Liga Perdana Inggeris lebih penting?

Kenyataan Kontroversi Jamie Carragher

Kenyataan Jamie Carragher pada minggu lepas, selepas Mohamed Salah menjaringkan gol ketika Liverpool menang 2-0 ke atas Manchester City cukup teruk tetapi tidak begitu mengejutkan.
Ketika membincangkan peluang Salah untuk memenangi Ballon d’Or di Sky Sports, Carragher tidak bersetuju kredibiliti AFCON sebagai “kejohanan utama.”

Apabila ditegur oleh Micah Richards dan Daniel Sturridge, beliau tidak mahu mengaku salah, sebaliknya hanya menunjukkan reaksi terkejut dan membuat mimik muka ke arah kamera seperti seorang kanak-kanak yang tidak mahu menerima kesalahan.

Pada keesokan harinya, Carragher cuba menjelaskan pendiriannya di media sosial. Beliau berkata bahawa Salah berada dalam kedudukan tidak menguntungkan untuk Ballon d’Or kerana AFCON “tidak mempunyai taraf seperti kejohanan lain” seperti Piala Dunia, Euro atau Copa America.
Namun beliau mengakui kenyataannya mengenai AFCON sebagai “bukan kejohanan utama” adalah kurang tepat tetapi tetap mempertahankan pandangannya bahawa kejohanan lain lebih berkualiti.

AFCON Bukan Kejohanan Mudah

Komen Carragher hanya menguatkan persepsi negatif yang sudah sedia ada terhadap AFCON. Jika AFCON begitu mudah dimenangi, mengapa Salah belum pernah menjulang trofi ini?
Sadio Mane, yang membantu Senegal menjuarai AFCON 2022 menduduki tempat kedua di belakang Karim Benzema dalam undian Ballon d’Or tahun itu. Mane menjaringkan 23 gol dalam semua kejohanan untuk Liverpool tetapi kejayaannya di AFCON mungkin menjadi faktor utama yang menarik perhatian pengundi.

Persaingan Sengit dalam AFCON

Ramai yang terlalu cepat mengkritik kualiti bola sepak Afrika tanpa benar-benar memahaminya. Jika kejohanan ini hanya dikuasai oleh negara dengan pemain terbaik di liga Eropah, Ivory Coast sepatutnya sudah menang berkali-kali ketika mereka memiliki bintang seperti Didier Drogba, Yaya Toure, Kolo Toure, Salomon Kalou dan Wilfried Bony. Namun, generasi emas mereka hanya menang sekali iaitu pada 2015, selepas Drogba bersara.

Edisi 2023, yang diadakan pada awal 2024 di Ivory Coast juga membuktikan betapa sukar dan kejohanan ini tidak dapat dijangka. Morocco, yang mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 dan diperkuatkan pemain seperti Achraf Hakimi serta Sofyan Amrabat, hanya mara ke pusingan 16 sebelum disingkirkan oleh Afrika Selatan.

Sementara itu, juara bertahan Senegal tersingkir kepada Ivory Coast yang hanya layak ke pusingan kalah mati sebagai salah satu pasukan tempat ketiga terbaik.

AFCON juga sering menampilkan kisah luar biasa. Pada tahun lalu, Sebastien Haller menjaringkan gol kemenangan dalam final menentang Nigeria hanya 18 bulan selepas menjalani rawatan tumor testis. Ivory Coast pula bangkit sebagai juara walaupun memecat jurulatih mereka, Jean-Louis Gasset, selepas peringkat kumpulan dan dipimpin oleh jurulatih sementara, Emerse Fae.

Pentingnya AFCON Bagi Mohamed Salah

Carragher sepatutnya tahu betapa pentingnya AFCON bagi Salah. Mesir telah menjuarai kejohanan ini 7 kali, termasuk 3 kali berturut-turut dari 2006 hingga 2010. Namun, Salah tidak pernah menjadi sebahagian daripada kejayaan tersebut kerana hanya mendapat penampilan antarabangsa pertama pada 2011. AFCON adalah satu-satunya trofi besar yang masih tiada dalam legasi pemain berusia 32 tahun itu.

Salah begitu bersemangat untuk memenangi AFCON sehingga, selepas mengalami kecederaan hamstring dalam peringkat kumpulan tahun lalu, beliau merancang untuk kembali ke Liverpool bagi pemulihan sebelum kembali semula ke Ivory Coast sekiranya Mesir mara lebih jauh. Jika memenangi AFCON begitu mudah, sudah tentu beliau sudah melakukannya.

Jadual AFCON dan Tekanan dari Kelab Eropah

Satu lagi alasan yang kerap digunakan untuk memperlekeh AFCON adalah jadualnya yang bertembung dengan musim bola sepak Eropah. Pada 2022, pemilik Napoli, Aurelio De Laurentiis berkata beliau enggan membeli pemain Afrika melainkan mereka bersetuju untuk tidak bermain di AFCON.

Bekas pemain antarabangsa Ivory Coast, Sol Bamba, pernah mendedahkan bahawa kelab-kelab Eropah sering memberi tekanan kepada pemain untuk tidak menyertai kejohanan ini. “Apa yang kebanyakan kelab dan pengurus tidak faham adalah betapa pentingnya AFCON bagi kami,” katanya.

Mengapa AFCON Tidak Berubah Untuk Bola Sepak Eropah?

AFCON pertama kali dianjurkan pada 1957 di Sudan dan berlangsung dalam tempoh seminggu pada bulan Februari. Mengapa bola sepak Afrika perlu mengubah tradisinya demi kepentingan bola sepak Eropah?

Pada 2017, Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) cuba menyesuaikan AFCON dengan mengadakannya pada pertengahan tahun bagi mengelakkan pertembungan jadual. Namun, keadaan cuaca yang tidak sesuai memaksa kejohanan 2021 di Cameroon dan 2023 di Ivory Coast kembali ke jadual asal pada bulan Januari.

Edisi seterusnya akan diadakan pada Disember 2025 dan berlanjutan ke Januari 2026. Keputusan ini sebahagiannya disebabkan oleh FIFA, yang mengutamakan penganjuran edisi pertama Piala Kelab Dunia baharu mereka.

Presiden CAF, Dr Patrice Motsepe, menegaskan bahawa CAF komited untuk melindungi kepentingan pemain Afrika di kelab-kelab Eropah sambil memastikan bola sepak benua itu kekal kompetitif di peringkat global. Namun, apabila FIFA sendiri seolah-olah meminggirkan AFCON, tidak hairanlah ada yang terus meremehkannya.

Keunikan dan Keistimewaan AFCON

Bola sepak Afrika mempunyai budaya unik yang tersendiri. Atmosfera di stadium dipenuhi nyanyian, tarian dan sokongan padu penyokong yang mencipta suasana mengagumkan. Ketika Ivory Coast menyingkirkan Senegal tahun lalu, penyokong Senegal memakai topeng singa dan menyalakan suar merah sambil bersorak sepanjang perlawanan.

Sambutannya luar biasa malah anggota polis yang bertugas pun mencuri peluang untuk menonton. Selepas perlawanan, jemaah dari masjid berhampiran turun ke jalan untuk meraikan kemenangan. AFCON adalah satu karnival yang menyatukan benua ini.

Sebastien Bassong pernah berkata bahawa orang ramai perlu “diedukasi” tentang kepentingan AFCON. “AFCON bukan seperti Euro atau Piala Dunia. Ia mempunyai keistimewaan tersendiri—persaingan sengit, semangat persaudaraan dan suasana meriah. Itulah keindahan bola sepak Afrika,” katanya.

Masa Untuk Menghargai AFCON

Dunia perlu berhenti memandang rendah AFCON dan mula menghargai betapa istimewanya kejohanan ini.

BACA:  Salah Mahu £500k Seminggu Untuk Kontrak Baharu?