Lamine Yamal Cedera, Flick Desak Tindakan Tegas Pengadil

Ketua Jurulatih Barcelona Mahu Perlindungan Lebih Baik untuk Pemain

Ketua jurulatih Barcelona, Hansi Flick, menggesa pengadil memberikan perlindungan lebih baik kepada pemain selepas Lamine Yamal meluahkan rasa kecewa kerana kekasaran terhadapnya sering tidak dihukum.

Pemain berusia 17 tahun itu berkongsi imej di media sosial menunjukkan stoking kirinya berlumuran darah selepas kemenangan Barcelona ke atas Las Palmas pada Sabtu lalu, akibat beberapa terjahan keras yang diterimanya.

Flick berharap Yamal dapat beraksi dalam perlawanan separuh akhir pertama Copa del Rey menentang Atletico Madrid pada Selasa, namun menegaskan bahawa pengadil perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap kekasaran berulang.

“Kita perlu tunggu dan lihat keadaan Yamal,” kata Flick. “Saya rasa dia boleh bermain, saya ada perasaan yang positif.”

Ketika ditanya mengenai perlindungan pemain secara umum, Flick menambah: “Kita tidak boleh kata hanya Lamine atau pemain tertentu yang perlu dilindungi, ia harus untuk semua. Jika pengadil tidak memberi kad kuning, kekasaran keras akan terus berulang.

“Kita perlu melindungi mereka, ini sesuatu yang masuk akal. Bukan hanya pemain tertentu, tetapi semua.”

“Di Sepanyol, kita semua suka melihat aksi satu lawan satu, pemain yang mampu melepasi pertahanan lawan. Mereka perlu dilindungi.”

Yamal mencipta assist untuk Dani Olmo untuk gol pembukaan Barcelona ketika menentang Las Palmas, menjadikannya assist ke-16 musim ini dan ke-12 dalam La Liga – jumlah tertinggi dalam liga. Pemain antarabangsa Sepanyol itu telah membuat 33 penampilan dalam semua pertandingan musim 2024-25, menjaringkan 11 gol.

Kemenangan 2-0 pada Sabtu lalu meletakkan Barcelona di tangga teratas La Liga. Selepas perlawanan menentang Atletico Madrid, mereka akan kembali ke saingan liga menentang Real Sociedad pada Ahad.

BACA:  Eintracht Frankfurt Lakar Kejutan Tendang Barcelona Dari Europa League