Dua Lagi Pemain Barca Setuju Menerima Cadangan Pemotongan Gaji

Dua lagi pemain dari skuad utama Barcelona telah bersetuju untuk menerima cadangan pemotongan gaji, kerana mahu membantu kelab berdepan dengan krisis ekonomi yang sangat teruk.

Sergio Busquets dan Sergi Roberto kedua-duanya sudah menyatakan persetujuan mereka untuk menerima cadangan pemotongan gaji, dengan Barca kini terus dilanda masalah kewangan yang parah.

Tiada kisah lain selain dari bebanan hutang yang diceritakan oleh media tentang FC Barcelona sejak kebelakangan ini.

Gergasi Catalan itu menanggung bebanan hutang bernilai lebih dari €1.35 billion, dan atas masalah sama juga mereka terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada pemain terhebat sepanjang zaman kelab, Lionel Messi.

Awal bulan lalu, terdapat laporan yang menyatakan bahawa Gerard Pique sudah bersetuju untuk menerima pemotongan gaji yang banyak, dan hal itu menyebabkan Barca mampu untuk mendaftarkan pemain seperti Memphis Depay, Eric Garcia dan Sergio Aguero.

Laporan terbaru pula menyatakan bahawa, Busquets dan Roberto kini sudah bersetuju untuk mengikuti jejak langkah Pique, dengan Jordi Alba dilaporkan bakal melakukan hal yang sama.

Ketika Presiden kelab, Joan Laporta membincangkan masalah yang dihadapi oleh kelab pada awal bulan lalu, beliau turut menjelaskan apa yang segelintir pemain boleh lakukan untuk bantu kelab keluar dari masalah tersebut.

“Pemain mempunyai gaji tetap dan bonus persembahan dan Piala. Segelintir seperti Pique sudah bersetuju untuk pemotongan gaji..”

“Yang lain ada yang masih berfikir untuk terima pengurangan gaji atau bonus mereka. Kita sedang mencari jalan penyelesaian, untuk menyelaras semula keseluruhannya.”

“Skuad sudah menurunkan gaji mereka ekoran dari C0V-19. Sekarang kita perlu minta untuk kurangkan lagi gaji mereka, reaksi pertama sudah tentu tiada sesiapa yang suka gaji mereka dipotong. Tapi memandangkan pada situasi mereka sepertinya sudah faham dan kita percaya kita boleh selesaikan masalah ini secepat mungkin bersama pemain lama, kemudian pemain baru.”

Dalam sidang media mengejutkan itu, Laporta turut meletakkan sepenuh kesalahan pada Presiden kelab terdahulu, Josep Maria Bartomeu sebagai punca masalah ini berlaku.

Barca kini sedang berusaha untuk melepaskan beberapa pemain yang sememangnya tidak mahu menerima cadangan pemotongan gaji.

Namun dengan jendela perpindahan sudah hampir untuk ditutup, sukar sebenarnya untuk Barca melepaskan pemain-pemain tersebut.

Apa lagi pemain-pemain yang mereka mahu lepaskan itu menerima gaji yang tinggi, maka tiada kelab yang sanggup membayar gaji yang sama pada mereka.

Umtiti misalnya, selain menerima gaji yang tinggi, beliau juga sering berdepan dengan masalah kecederaan, maka tidak ada kelab yang akan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Sumber: SB

BACA:  [VIDEO] Messi Terus Cemerlang, Kali Ini Jaringkan Gol Menerusi Sepakan Percuma 'Panenka'