Langkah Penjimatan United, Transformasi atau Pengorbanan?

Sekitar setengah jam sebelum Manchester United mengumumkan ‘pelan transformasi’ kelab, para kakitangan berkumpul di Manchester Suite, Old Trafford. Ramai dalam kalangan mereka sudah menjangkakan apa yang bakal berlaku.

Mesyuarat Singkat dan Suasana Muram

Mesyuarat itu berlangsung dalam tempoh yang singkat, sekitar 20 hingga 30 minit, dan dipimpin oleh Omar Berrada. Ketua Eksekutif United itu mengesahkan bahawa kelab akan menjalankan satu lagi pusingan pemberhentian pekerja.

Selain Berrada, Ketua Pegawai Kewangan, Roger Bell, turut memberi ucapan ringkas sebelum Annie Hale, Ketua Sumber Manusia kelab, berucap. Sama seperti pengumuman pemberhentian 250 pekerja pada musim panas lalu, suasana dalam bilik mesyuarat itu sunyi dan muram.

Ruben Amorim serta kakitangannya tidak hadir dalam pertemuan tersebut, tetapi Ketua Jurulatih pasukan wanita, Marc Skinner, bersama beberapa ahli staf kejurulatihan hadir.

Keputusan Pemberhentian Didedahkan Melalui E-mel

Para pekerja mungkin akan memberi reaksi yang berbeza sekiranya jumlah sebenar jawatan yang akan ditamatkan diberitahu semasa mesyuarat berlangsung. Namun, jumlah tersebut tidak didedahkan dalam mesyuarat, sebaliknya hanya akan diumumkan melalui e-mel.

Ramai yang hadir terkejut dengan nada mesyuarat itu, yang menekankan usaha mengatasi rintangan dan mencapai kejayaan melalui kesukaran, walaupun hakikatnya sebahagian daripada mereka yang hadir mungkin tidak lagi berkhidmat di kelab tersebut.

Pengumuman Rasmi dan Ketelusan

Para pekerja dimaklumkan bahawa kelab akan mengeluarkan kenyataan bagi memastikan ketelusan. Tidak lama selepas mesyuarat tamat, satu notifikasi dihantar kepada pengguna aplikasi rasmi United, mengumumkan ‘pelan transformasi’ dan langkah-langkah untuk “meningkatkan kestabilan kewangan kelab serta kecekapan operasi”.

Kebimbangan dan Skeptikal Dalam Kalangan Kakitangan

Sebelum itu, terdapat permintaan untuk merahsiakan mesyuarat menyebabkan sesetengah kakitangan berasa skeptikal, manakala yang lain berasa bimbang sekiranya mereka diperhatikan bagi memastikan tiada rakaman dibuat atau mesej dihantar mengenai perbincangan yang berlangsung.

Mereka yang berada di pejabat United di London mengikuti perkembangan di Old Trafford melalui skrin besar kerana pautan persidangan video tidak disediakan bagi mengelakkan kebocoran maklumat.

Pemotongan Kos dan Penamatan Hidangan Percuma

Namun, butiran lain mengenai langkah penjimatan kos kelab telah tersebar lebih awal, terutamanya berkaitan perubahan dalam penyediaan makanan untuk pekerja. Hidangan panas percuma untuk kakitangan di Old Trafford akan dihentikan dan digantikan dengan buah-buahan, manakala kantin pula akan ditutup.

Di Carrington, pemain pasukan lelaki, wanita dan akademi akan terus menerima makanan panas percuma. Namun, selepas kerja pengubahsuaian di bangunan utama pusat latihan selesai, kemudahan katering untuk kakitangan akan dipisahkan dan dikurangkan.

Kapten Bruno Fernandes, Maya Le Tissier dan rakan sepasukan mereka tidak akan terjejas dengan perubahan itu tetapi jurulatih, ahli fisioterapi, penganalisis dan staf lain kini hanya akan menerima sup dan roti.

Kesannya Kepada Kakitangan

United menganggarkan penamatan penyediaan makan tengah hari percuma di Old Trafford sahaja dapat menjimatkan lebih daripada £1 juta setahun. Namun, pemotongan ini dibuat tidak lama selepas kelab membayar £14.5 juta sebagai pampasan kepada bekas pengurus dan pengarah sukan mereka, sesuatu yang pastinya tidak diterima baik oleh ramai pihak.

Walaupun kelihatan remeh, faedah seperti makanan percuma telah lama dihargai oleh kakitangan United. Beberapa pekerja merasakan bahawa status berprestij bekerja di United menyebabkan gaji mereka lebih rendah daripada kadar pasaran, seolah-olah mereka perlu bersyukur hanya kerana berkhidmat untuk sebuah kelab terkenal. Insentif seperti makanan percuma sedikit sebanyak membantu mengimbangi perkara ini.

Namun, program pemberhentian pekerja – yang kedua dalam tempoh tujuh bulan – memberikan kesan yang paling besar.

Komunikasi Dalaman dan Kesan Keputusan

Selepas laporan mengenai pemotongan lebih lanjut tersebar awal bulan ini, United memaklumkan kepada kakitangan melalui buletin dalaman Redlines bahawa mereka sedang meneliti semua pilihan untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos.

Ada pekerja yang merasakan pengumuman itu sengaja dihantar pada petang Jumaat agar mereka terlepas membaca e-mel tersebut pada hujung minggu.

Sesetengah kakitangan menyangka e-mel itu akan mengesahkan pelantikan baharu, terutamanya selepas berita mengenai pelantikan Marc Armstrong sebagai Ketua Pegawai Perniagaan kelab tersebar. Sebaliknya, e-mel tersebut mengesahkan kepada ramai pekerja bahawa jawatan mereka mungkin akan dilupuskan.

Peranan Dan Ashworth dan Perbezaan Pendapat

Dalam hal ini terdapat persamaan dengan pemberhentian pekerja sebelum ini, yang diumumkan ketika Dan Ashworth secara rasmi memulakan tugasnya sebagai Pengarah Sukan.

Ashworth hanya bertahan selama 5 bulan dalam jawatan tersebut sebelum berlaku perselisihan pendapat dengan pemilik minoriti, Sir Jim Ratcliffe mengenai keperluan pemotongan ini. Ratcliffe meminta Ashworth mengurangkan kakitangan dalam operasi bola sepak United tetapi bekas eksekutif Newcastle itu tidak bersetuju.

Namun, pemotongan tersebut tidak boleh ditangguhkan selama-lamanya. Walaupun kelab menyatakan bahawa langkah ini diambil demi “kejayaan bola sepak”, terdapat pembahagian 50-50 antara jabatan bola sepak dan jabatan lain dalam kelab. Proses pemberhentian pekerja dijangka berlangsung selama 3 bulan.

Pengurangan Kakitangan di Pejabat London

Pejabat United di London yang terletak di Kensington dan didominasi oleh staf bukan bola sepak juga akan mengalami pengurangan kakitangan.

Keputusan suku kedua kelab pada minggu lalu memuji kesan positif perjanjian penajaan jersi utama dengan Snapdragon keluaran Qualcomm, yang meningkatkan hasil komersial sebanyak 18%.

Berbeza dengan perjanjian United bersama Adidas, penajaan Qualcomm tidak mengandungi klausa penalti sekiranya kelab gagal layak ke Liga Juara-Juara. Namun beberapa individu utama yang merundingkan perjanjian tersebut telah meninggalkan kelab sejak pengambilalihan oleh INEOS.

Keperluan Langkah Drastik

Bagaimanapun, angka-angka kejayaan individu ini tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa United kini mengalami kerugian selama 5 tahun berturut-turut, berjumlah £373 juta. Menurut beberapa sumber, inilah sebab tindakan drastik perlu diambil.

Pada penghujung musim lalu, purata pekerja bulanan United ialah 1,140 – jumlah tenaga kerja tertinggi dalam mana-mana kelab Liga Perdana Inggeris. Dengan pemotongan terbaru ini, United dijangka kehilangan sehingga 450 jawatan.

Krisis Kewangan dan Cabaran di Dalam Padang

Selain itu, isu di luar padang juga berpunca daripada masalah di dalam padang iaitu pemain dan pengurus gagal memenuhi jangkaan. Mereka yang dilantik oleh eksekutif kelab sering dipersoalkan.

Dalam mesyuarat pada hari Isnin, dinyatakan bahawa perancangan kewangan ini dibuat dengan anggapan bahawa United akan layak ke Liga Europa untuk 4 tahun akan datang. Namun, dengan Amorim dan pasukannya kini berada di tangga ke-15 Liga Perdana, satu persoalan jelas timbul:

Apa yang akan terjadi jika mereka tidak layak ke pertandingan Eropah?

Kelayakan ke Liga Europa musim depan hampir pasti bergantung kepada kejayaan United menjuarai Piala FA, seperti yang mereka lakukan musim lalu. Sekiranya gagal, United akan berdepan masalah kewangan yang lebih besar. Dan seperti biasa, dalam situasi sebegini pekerja bawahan yang terpaksa menanggung akibatnya.

BACA:  Premier League 2021/22: Manchester United 5-1 Leeds United