Lautaro Martinez Dedah Punca Beliau Menangis Ketika Aksi Bertemu Uruguay

Penyerang Argentina, Lautaro Martinez menangis selepas beliau menjaringkan gol untuk skuadnya ketika aksi kemenangan 3-0 menewaskan Uruguay awal pagi semalam.

Bintang Inter Milan itu jelas beremosi ketika beliau sedang duduk di bangku simpanan, selepas dikeluarkan pada hujung aksi permainan.

Reaksi beliau hangat dibincangkan di media sosial, dengan ramai yang tertanya-tanya mengapa beliau menangis dan begitu beremosi.

Walau bagaimanapun, selepas tamat perlawanan yang memperlihatkan Argentina mencatatkan kemenangan di Buenos Aires, bintang berusia 24 tahun itu tampil menjelaskan kepada media tentang mengapa beliau beremosi.

Ketika ditanya tentang mengapa beliau menangis, Martinez menjawab bahawa:

“Untuk anak perempuan saya, keluarga saya, mereka lebih dari segalanya.”

“Saya fikirkan tentang keluarga saya yang berada di stadium, kerana itulah saya begitu beremosi. Itulah pengorbanan, perlu tinggalkan banyak perkara.”

“Keluarga saya senantiasa menemani saya dan saya akan selamanya bersyukur tentang itu.”

Selepas meninggalkan negaranya, Argentina pada tahun 2018 untuk bersama Inter Milan, Lautaro Martinez tidak berpeluang untuk beraksi di hadapan para penyokong negaranya sendiri.

Semalam, beliau bagaimanapun berkesempatan untuk beraksi dihadapan stadium yang penuh dengan penyokongnya, dan turut berpeluang untuk menjaringkan gol dihadapan keluarganya.

Kemenangan itu berjaya membawa Argentina itu berada di kedudukan kedua, dalam sesi kelayakan Piala Dunia zon Amerika Utara.

Mereka kekal enam mata dibelakang pendahulu kumpulan, Brazil dan turut mempunyai kelebihan enam mata di hadapan Ecuador dan Uruguay yang berada di kedudukan ketiga dan keempat.

Kemenangan itu juga merupakan hal yang sangat istimewa untuk pasukan tuan rumah, yang terlepas banyak kesempatan pada awal perlawanan.

Walau bagaimanapun, dengan kualiti yang dimiliki oleh Lionel Messi, beliau berjaya menjaringkan gol untuk Argentina mendahului perlawanan pada minit ke-38 perlawanan.

Rodrigo De Paul kemudiannya mencatatkan nama sebagai penjaring gol kedua dalam perlawanan ini, untuk memastikan Argentina mendahului Uruguay 2-0.

Lautaro Martinez cemerlang meledak gol di hadapan para penyokong Argentina di Buenos Aires, untuk mengesahkan kemenangan 3-0 menewaskan Uruguay.

Gol tersebut merupakan jaringan ke-16 beliau untuk skuad kebangsaan Argentina, dengan Lautaro Martinez dianggap calon pemain harapan negara di masa hadapan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Arsenal Cuba 'Menyelam Sambil Minum Air' Untuk Dapatkan Lautaro Martinez