LeBron James Tinggalkan Cleveland Cavaliers Untuk Sertai Los Angeles Lakers

LeBron James akan bermain untuk Los Angeles Lakers bagi saingan NBA musim hadapan selepas menandatangani kontrak selama 4 tahun berjumlah $154 juta (£116 juta).

LeBron yang memenangi MVP sebanyak 4 kali memberitahu Cleveland Cavaliers pada Jumaat lalu yang beliau tidak akan mengaktifkan kontrak lanjutan selama setahun berjumlah $35.6 juta (£26.8 juta) bersama franchise tersebut bagi membolehkan beliau menjadi ejen bebas.

Lebron akan menyertai Zlatan Ibrahimovic mengeteh di Los Angelas musim hadapan

Cavaliers sangat berharap mampu memujuk LeBron untuk menandatangani kontrak baru bersama mereka tetapi LeBron mengambil keputusan untuk mencari pasukan lain selepas 4 tahun bersama Cavaliers.  Philadelphia 76ers juga berminat untuk menandatangani pemain berusia 33 tahun ini yang dianggap sebagai salah seorang pemain terhebat dalam sejarah NBA.

Walaubagaimanapun, dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan melalui Twitter oleh syarikat yang mewakili beliau, Klutch Sports, LeBron sah akan mewakili Los Angeles Lakers untuk 4 tahun yang akan datang.

“LeBron James, 4 kali MVP NBA, 3 kali MVP NBA Finals, 14 kali NBA All-Star, dan pemenang dua medal emas Olimpik bersetuju untuk menandatangani kontrak selama 4 tahun bernilai $154 juta bersama Los Angeles Lakers.”

Sebaik sahaja pengumuman rasmi tersebut dilakukan, LeBron memuat naik 3 gambar di laman Instagram beliau sebagai penghargaannya terhadap peminat Cleveland.

“Terima kasih Northeast Ohio untuk 4 musim yang menakjubkan. Ia akan sentiasa menjadi rumah  saya.”

LeBron berjaya membawa pasukan yang disertainya dalam 8 musim terakhir beliau ke pentas NBA Finals. Beliau akan menyertai pasukan Lakers yang gagal layak ke saingan Playoff untuk 5 musim berturut-turut, rekod paling lama bagi franchise tersebut.

Selepas kerap dikecewakan Golden State Warriors dalam NBA Finals kebelakangan ini, Lebron akhirnya membawa diri ke pasukan lain

Lakers mengalami zaman kejatuhan sejak jurulatih, Phil Jackson meninggalkan franchise tersebut pada tahun 2011. Ditambah pula pemain berpengaruh, Kobe Bryant yang semakin berusia dan akhirnya bersara pada tahun 2016 membuatkan franchise tersebut mengalami zaman gelap sehingga ke hari ini.

Jackson berjaya membawa Lakers memenangi kejuaraan NBA berganda pada tahun 2009 dan 2010.

Lakers kini dilatih oleh Luke Walton yang juga pernah bermain untuk franchise tersebut ketika masih lagi aktif sebagai seorang pemain bola keranjang.

Legenda Lakers, Kobe Bryant turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat datang kepada Lebron yang akan mengisi peranannya selaku pemain paling berpengaruh dalam pasukan.

BACA:  NBA: Pergaduhan Tercetus Dalam Perlawanan Pertama Lebron Di Staples Center