Legenda Manchester United Mahu Gareth Bale Tolak Lamaran Mourinho

Pengurus Wales, Ryan Giggs telah memberitahu Gareth Bale supaya menolak tawaran Manchester United musim panas nanti dan terus kekal bermain untuk Real Madrid.

Legenda Manchester United itu juga mahu melihat Bale kekal lebih lama di Santiago Bernabeu dan membantu pasukannya memenangi trofi. Giggs juga mendakwa terdapat persamaan di antara corak permainan Bale dengan bintang sensai Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Jangan jadi macam Sanchez dan Pogba, ujar Giggs kepada Bale

Walaupun Giggs adalah ikon kepada kelab bolasepak Manchester United, beliau tidak mahu melihat Bale melakukan kesilapan dalam kariernya dan telah menasihatkan pemain tersebut supaya terus kekal di Sepanyol demi kelangsungan kariernya.

Musim ini menyaksikan Bale bergelut dengan masalah kecederaan pada awal musim dan persembahannya terjejas disebabkan perkara tersebut. Sebaik sahaja pulih dari kecederaan, Bale lebih kerap memanaskan bangku simpanan dengan Zinedine Zidane lebih gemar menggunakan beliau pada separuh masa kedua perlawanan.

Situasi semasa Bale di Real Madrid menyebabkan wujud spekulasi yang mengaitkan beliau dengan perpindahan ke Old Trafford, dimana Jose Mourinho terdesak untuk mencari pemain berkualiti tinggi untuk memperkuatkan pasukannya musim hadapan.

Walaupun demikian, pengurus Wales itu tidak gusar dengan spekulasi perpindahan Bale kerana Real Madrid adalah antara kelab terbesar dunia dan Bale harus berjuang untuk mendapatkan kembali tempatnya dalam kesebelasan utama.

Bale pernah kurus keding suatu masa dahulu

“Ini Real Madrid – hanya terdapat beberapa kelab sahaja yang mempunyai aura seperti kelab tersebut. Sudah tentu setiap pemain mahu kekal di Real Madrid. Apa yang Gareth telah menangi ? 3 Liga Juara-Juara Eropah. Itulah buktinya. Apabila anda bermain dengan kelab sebesar Real Madrid, anda akan selalu memenangi trofi.”

Dalam perlawanan persahabatan Khamis lalu,  Bale muncul wira pasukannya ketika Wales membenam China 6-0 di gelanggang lawan dengan Bale menjaringkan hatrik. Perlawanan itu juga akan diingati kerana Bale muncul penjaring terbanyak Wales sepanjang zaman dengan 29 gol, memintas rekod lama yang dipegang Ian Rush.

Giggs turut mengambil peluang untuk memuji sumbangan Bale dalam perlawanan tersebut dan telah membandingkan keupayaan menjaringkan gol Bale dengan bintang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Langkah kanan. 6-0 dalam perlawanan pertama selaku pengurus Wales

“Gareth mempunyai keupayaan untuk menjaringkan segala jenis gol yang ada dan wujud persamaan di antara Gareth dan rakan sepasukannya di Real Madrid iaitu Cristiano Ronaldo.”

Kemenangan ke atas China merupakan ujian pertama Giggs sejak mengambil alih tampuk pengurus pasukan kebangsaan daripada Chris Coleman. Giggs juga bersemangat untuk memperbaiki segala kelemahan pasukannya menjelang kelayakan Euro 2020 yang bakal bermula tidak lama lagi.

“Saya bukannya pengurus yang lantang bersuara. Semuanya akan diperbaiki dengan pengalaman yang saya kutip selama bergelar pemain.”

Wales akan menentang Uruguay Isnin ini dalam satu lagi perlawanan persahabatan sebelum para pemain kembali ke pangkuan kelab masing-masing.

BACA:  Zabaleta Kesian Tengok Rashford & Martial Sentiasa Turun Bertahan