Leicester City Sedekah Dua Gol Untuk Tiga Mata Penuh Buat Liverpool

Bakal juara liga, Liverpool, telah berjaya mengutip tiga mata penuh selepas berjaya menundukkan Leicester City di laman sendiri.

Meskipun bermain di Anfield, Liverpool memulakan perlawanan dengan langkah sumbang apabila mereka terlebih dahulu ketinggalan seawal minit keempat. Gol Leicester terhasil apabila penjaga gol, Danny Ward, melakukan satu sepakan jauh ke dalam kawasan The Reds, lalu disambut oleh Harvey Barnes.

Tanpa membuang masa, Barnes melakukan hantaran pantas secara satu sentuhan ke arah Kiernan Dewsburry-Hall yang kemudiannya membawa bola masuk ke dalam kotak penalti lalu melakukan sepakan yang mengelirukan bekas bakal pemenang sarung tangan emas Piala Dunia, Alisson Becker.

Meskipun tersentak dengan gol awal tersebut, Liverpool memperkemas jentera serangan dan bermain dengan mentaliti pasukan juara apabila mereka menyerang bertubi-tubi gawang pasukan Musang.

Pada minit ke-23, satu larian pantas Darwin Nunez di sebelah kiri padang telah berjaya menewaskan pertahanan Leicester lalu penyerang unggul ini melakukan hantaran ke dalam kotak penalti.

Hantarannya disambut oleh Mo Salah, namun cubaan pemain Mesir ini sekadar meliar tanpa arah tujuan. Terpancar kekecewaan di wajah Nunez, namun selaku bakal pejaring terbanyak liga, dia tidak menunjukkan sikap putus asa.

Pada minit ke-26, Salah berjaya menggegar gol lawan hasil daripada kecelaruan permainan Ward, namun gol tersebut tidak diraikan oleh para pemain Liverpool kerana penjaga garisan terlebih dahulu mengangkat bendera tanda ofsaid.

Gol yang dicari Liverpool akhirnya hadir pada minit ke-38. Trent Alexander-Arnold atau lebih mesra disapa sebagai TAA oleh peminat, telah melakukan hantaran meliar dan meleret ke dalam kotak penalti Leicester.

Pada mulanya bola ini dilihat tidak berbahaya kerna ia menuju tepat ke arah Ward. Namun tidak semena-mena muncul seorang pemain yang bernama Wout Faes, yang pergi menerkam bola lalu bola tertampan di kakinya dan melambung tinggi melepasi Ward lalu masuk ke dalam gawang.

Walaupun itu merupakan gol sendiri, Nunez tetap meraikannya kerana dikhuatiri melanggar adab dan tatasusila bola sepak.

Tidak puas menjaringkan gol sendiri buat kali pertama, Faes mengambil langkah drastik pada penghujung separuh masa pertama apabila dia sekali lagi menolak bola ke dalam gawang sendiri.

Penyerang padu, Nunez, yang menerima bola hasil flick daripada Mo Salah, telah membawa bola masuk ke dalam kotak penalti.

Sebaik sahaja Ward cuba menerkam penyerang Uruguay ini, dia terus melakukan satu cip yang cantik ke arah gol Leicester. Sayang sekali bola cip tersebut sekadar singgah di tiang lalu melantun keluar dan di sinilah hardirnya wira Liverpool, Faes.

Bola yang melantun keluar telah tertampan di kaki Faes yang cuba mengeluarkan bola namun sebaliknya bola meluru masuk ke dalam gol Leicester buat kali kedua.

Pada separuh masa kedua, Liverpool cuba menjaringkan gol lagi sambil berharap gol dijaringkan oleh pemain mereka pula, bukan lagi pemain Leicester City. Namun bekas pemain terbaik Liga Inggeris, Mo Salah, kerap kali mensia-siakan peluang.

Minit ke-78 menyasksikan Nunez hampir menjaringkan gol ketiga Liverpool, namun cubaannya sekadar melepasi palang gol pasukan lawan.

BACA:  West Ham Siasat Insiden Perkauman Melibatkan Penyokongnya Terhadap Mohamed Salah