Ejen Beri Respon Perkhabaran Klopp Bakal Latih Jerman

Ejen kepada Jurgen Klopp akhirnya bersuara mengenai kemungkinan pengurus Liverpool itu mengambil alih skuad kebangsaan negaranya.

Jerman tewas kepada Poland 1-0, diikuti dengan kekalahan 2-0 kepada Colombia dalam dua perlawanan sepanjang Jun ini.

Keputusan itu bermakna Die Mannschaft kini sudah melalui empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Kali terakhir Jerman merekodkan kemenangan adalah pada Mac lalu apabila menundukkan Peru 2-0 pada Mac lali.

Namun sebelum itu, pasukan yang dianggap antara gergasi bola sepak dunia itu hanya menang tiga kali daripada 11 perlawanan yang dilalui – prestasi teruk yang dialami bermula sejak pusingan peringkat kumpulan Piala Dunia 2022.

Sebagai antara pasukan yang memiliki sejarah gah di dalam bola sepak, Jerman sentiasa diharapkan penyokong mereka untuk menyerlah di pentas antarabangsa.

Maka tidak hairanlah mengapa kini Klopp diminta oleh penyokong Jerman untuk mengambil alih jawatan pengendali daripada Hansi Flick.

Bekas pengendali Borussia Dortmund itu juga adalah antara jurulatih berprofil tinggi yang dilihat berjaya membangkitkan Liverpool sebagai antara kelab paling digeruni di dunia sejak tiba di Anfield pada 2015.

Antara yang paling vokal agar Flick digantikan oleh Klopp adalah akhbar bola sepak paling berpengaruh di Jerman, Bild.

Klopp sebelum ini turut pernah secara terbuka menyatakan hasrat untuk melatih skuad kebangsaan Jerman pada masa hadapan.

Namun demikian ejen kepada jurulatih itu tidak berpendapat kemungkinan Klopp akan mengendalikan Jerman akan berlaku dalam masa terdekat.

“Jurgen [Klopp] terikat dengan kontrak jangka masa panjang bersama Liverpool. Begitu juga dengan jurulatih Jerman sekarang.

“Topik ini tidak sesuai untuk dibincangkan sekarang,” kata Marc Kosicke kepada wartawan, Christian Falk baru-baru ini.

Seperti kata madah Mat Salleh, “Never Say Never”. Siapa tahu apakah perubahan yang mungkin akan berlaku pada masa depan.

BACA:  Mourinho: Kemenangan Ke Atas Liverpool Satu Keputusan Yang Sempurna