Lima Calon Pengurus Yang Bakal Mengurus Newcastle United

Berbicara tentang Newcastle pada hari ini, antara topik yang sering dibahaskan oleh para peminat adalah tentang calon pengganti yang akan menggantikan Steve Bruce.

Sejak satu ke dua bulan sebelum ini, ramai pihak yang sering memperdebatkan tentang nasib Steve Bruce di St James Park.

Ramai yang percaya masa depan beliau bersama Newcastle sudah sampai ke penghujungnya, dan pihak kelab sedang berusaha untuk mendapatkan pengganti beliau.

Selepas proses pengambilalihan kelab dari Mike Ashley kepada Syarikat Konsortium Arab Saudi berjaya dimuktamadkan, para peminat sudah mula membayangkan kehadiran para pemain bintang untuk beraksi bersama The Magpies.

Walau bagaimanapun, sebelum memasang impian untuk melihat bintang besar menyarung jersi Newcastle, satu hal yang dituntut oleh para penyokong adalah menukar pengurus kelab.

Para peminat merasakan Steve Bruce tidak ada kemampuan yang sempurna untuk membawa Newcastle pergi lebih jauh.

Selepas pelbagai desas-desus dan khabar angin yang tersebar, Newcastle United akhirnya pada petang semalam, telah mengumumkan berita pemecatan Steve Bruce.

Bruce telah mengendalikan Newcastle selama dua tahun selepas tampil sebagai pengganti kepada Rafael Benitez pada tahun 2019, dan mengendalikan perlawanan ke-1000 sebagai jurulatih peringkat kelab ketika tewas 3-2 kepada Tottenham pada hujung minggu lalu.

Pengurus berusia 60 tahun itu berjaya membantu Newcastle untuk kekal dalam saingan Premier League selama dua musim, namun beliau jelas sekali tidak ada nama yang besar untuk diberikan kepercayaan.

Selepas pengambilalihan Newcastle berjaya dimuktamadkan, masa depan Steve Bruce dilihat semakin sukar dan hasilnya, semalam beliau dipecat.

Musim ini menyaksikan Newcastle belum memenangi sebarang perlawanan, dan menyebabkan mereka berada di tempat kedua tercorot dalam saingan Premier League.

Jadi siapa calon pengurus yang paling layak untuk membimbing Newcastle, dan memulakan era baru kelab di bawah pemilikan pemilik baru?

Berikut merupakan senarai lima pengurus yang hangat dikaitkan dengan bakal mengisi kekosongan jawatan pengurus Newcastle, selepas Steve Bruce dipecat.

5) Steven Gerrard

Nama terakhir yang ada dalam senarai ini merupakan legenda Liverpool, Steven Gerrard yang telah membuktikan kemampuan beliau dalam dunia pengurusan bersama Rangers.

Beliau tidak dinafikan lagi sememangnya sangat berani untuk menggalas tugas berat di Ibrox, dan cemerlang membuktikan kemampuan sebenar beliau sejak dari awal lagi.

Beliau dengan mudah membantu Rangers memenangi gelaran Scottish Premiership pada musim lalu, seterusnya mengakhiri dominasi 10 tahun Celtic dalam kancah bola sepak Scotland.

Apa yang menariknya lagi, Steven Gerrard turut berjaya membantu Rangers mengakhiri saingan liga musim lalu, dengan tidak terkalahkan.

Pemilihan beliau sebagai pengurus juga bakal menjadi satu keputusan yang bijak oleh Newcastle, memandangkan Gerrard sudah cukup faham dengan kancah bola sepak Inggeris.

4) Lucien Favre

Para peminat menganggap Newcastle akan berada di tangan yang selamat andai Lucien Favre dipertanggungjawabkan untuk menjadi pengurus mereka.

Beliau merupakan seorang pengurus yang sangat berpengalaman dan boleh dikatakan Favre sangat jarang melakukan kesilapan dalam mengendalikan sesebuah kelab.

Melihat cara permainan Borussia Monchengladbach dan Nice ketika di bawah kendalian Favre, corak persembahan mereka tidak dinafikan sungguh mengagumkan.

Mereka senantiasa mempamerkan aksi persembahan yang menghiburkan dan jarang mengecewakan para peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan.

Karier beliau bersama Borussia Dortmund juga tidak begitu teruk dengan Favre tetap mempamerkan taktikal dan corak persembahan yang sangat mengujakan.

Satu hal yang menarik, Favre mampu berbahasa Inggeris dengan sangat baik, dan ia jelas perkara terpenting untuk beliau masuk ke kancah saingan bola sepak Inggeris.

Beliau mempunyai perancangan yang sangat mengagumkan, dan seandainya Newcastle mahu kejayaan segera hasil bantuan dari duit, Favre merupakan individu paling tepat untuk dilantik.

3) Graham Potter

Selain nama-nama besar dari luar England, terdapat juga calon pengurus Inggeris yang dikatakan layak untuk mengurus Newcastle, dan turut berjaya menarik minat kelab untuk mendapatkan khidmat mereka.

Graham Potter merupakan antara nama pengurus Inggeris yang berada dalam senarai pendek calon pengganti Steve Bruce untuk mengendalikan Newcastle United.

Memulakan karier pengurusannya bersama Ostersund FK, beliau telah dilantik untuk menjadi pengurus Swansea, dan turut menjalankan tanggungjawabnya dengan sangat cemerlang.

Beliau ketika ini sedang mengendalikan Brighton and Hove Albion dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa beliau sangat cemerlang dalam menjalankan tugasnya.

Corak permainan Brighton di bawah kendaliannya sangat berbeza dengan mereka bermain β€˜one-touch passing dan mengamalkan corak menyerang serta tidak henti menekan pemain pasukan lawan.

Beliau berjaya membawa Brighton pada musim ini untuk bersaing di kelompok teratas dalam saingan Premier League, dan turut dianggap antara lima pengurus terhebat dalam saingan bola sepak Inggeris pada ketika ini.

Potter hanya memerlukan kelab besar dengan pemain yang lebih berkualiti untuk membuktikan kemampuan sebenar beliau, dan Newcastle merupakan destinasi yang tepat untuknya.

2) Antonio Conte

Nama Antonio Conte tidak dinafikan sememangnya antara pengurus yang paling dikenali dalam dunia bola sepak, yang gemar dengan projek seperti membangunkan Newcastle.

Selepas meninggalkan Inter Milan, Antonio Conte telah menerima banyak tawaran dari pelbagai kelab, namun beliau masih belum memutuskan projek mana yang berjaya menarik minatnya.

Seperti yang ditulis di atas, Conte jelas meminati projek seperti membangunkan Newcastle, dengan syarat pihak pengurusan tidak boleh mengganggu sistem dan pemain pilihannya.

Conte terbukti mampu untuk membawa kelab memenangi Piala dengan beliau sebelum ini sudah melakukannya dalam saingan Serie A dan juga saingan Premier League.

Walau bagaimanapun, bekas pengurus Inter Milan itu dikatakan lebih berminat untuk menanti tawaran dari Manchester United, berbanding Newcastle

1) Paulo Fonseca

Ia berlaku dengan sangat pantas, namun tidak boleh dielakkan lagi, yang Paulo Fonseca ketika ini dianggap calon kegemaran untuk dilantik sebagai pengurus Newcastle.

Bekas pengurus Roma dan Shakhtar Donetsk itu sebelum ini sudah hampir pasti untuk dilantik sebagai pengurus Tottenham Hotspur.

Walau bagaimanapun, rundingan antara beliau dengan pimpinan kelab pada musim panas lalu, berakhir dengan kegagalan, kerana Fonseca tidak bersetuju dengan visi kelab.

Fonseca mungkin bukanlah nama besar yang selalu disebut-sebut oleh para peminat, namun melihat kepada kemampuan yang beliau miliki, tidak mustahil untuk bekas pengurus Roma ini membawa Newcastle ke arah kejayaan.

Pendekatan yang beliau terapkan dalam sistem serangannya jelas sangat menakjubkan dan ia jauh berbeza berbanding apa yang diamalkan oleh Steve Bruce.

BACA:Β  Man Utd Cipta Statistik Terburuk Mereka Sepanjang Musim Ini Ketika Aksi Bertemu Newcastle