Penyerang sensasi Barcelona, Lionel Messi mencipta satu lagi rekod dalam karier yang penuh gemilang apabila muncul pemain pertama dalam sejarah untuk menjaringkan 30 gol dalam 7 musim atau lebih dalam kancah La Liga.
Pemain antarabangsa Argentina tersebut berjaya menjaringkan 3 gol ketika membantu Barcelona membenam cabaran Deportivo La Coruna di tempat lawan. Barcelona menang 4-2 dalam perlawanan tersebut sekaligus mengesahkan kejuaraan La Liga musim ini.
Messi berjaya menjaringkan gol ke-30 dalam liga musim ini pada minit ke-38 selepas menerima hantaran cantik daripada Luis Suarez. Messi yang berada dalam posisi tepat tenang melakukan volley untuk menjadikan kedudukan 2-0 berpihak kepada Barcelona. Gol pertama perlawanan disumbangkan oleh pemain antarabangsa Brazil, Philippe Coutinho.
Deportivo berjaya bangkit selepas itu dengan menjaringkan dua gol melalui jaringan Lucas Perez dan Emre Colak untuk mengikat kedudukan menjadi 2-2. Messi muncul wira Barcelona sekali lagi apabila menjaringkan gol ke-3 dan ke-4 Barcelona pada minit ke-82 dan 87 sekaligus mencatatkan hatrik dalam perlawanan tersebut.
Apa yang lebih menakjubkan adalah kesemua 3 gol Messi dalam perlawanan tersebut dibantu oleh pemain yang sama iaitu rakan baiknya, Luis Suarez.
Hatrik yang dicatatkan Messi telah meletakkan beliau berada di hadapan Mohamed Salah dalam perebutan Kasut Emas Eropah dimana beliau kini mengumpul 32 gol dalam saingan La Liga. Salah pula telah menjaringkan 31 gol dalam Liga Perdana Inggeris.
Kali pertama Messi menjaringkan lebih 30 gol dalam satu musim adalah pada musim 2009/2010 dan beliau berjaya melakukan perkara tersebut selama 3 musim berturut-turut selepas itu.
Pada musim 2011/2012, Messi mencipta sejarah baru apabila menjaringkan 50 gol dalam La Liga dan hampir menyamai pencapaian tersebut pada musim berikutnya dengan catatan 46 gol.
Prestasinya sedikit merudum pada musim 2013/2014 apabila beliau gagal melepasi catatan 30 gol tetapi kembali bangkit pada musim berikutnya dengan menjaringkan 43 gol dari 38 perlawanan La Liga.
Musim lalu menyaksikan Messi menjaringkan 37 gol dari 32 perlawanan liga dan beliau sekali lagi melepasi catatan 30 gol dalam perlawanan menentang Deportivo kelmarin apabila menyumbang hatrik untuk Barcelona.
7 – Lionel Messi is the first player in La Liga history to score 30+ goals in seven different seasons. Stellar. pic.twitter.com/JyQFKnm4ie
— OptaJose (@OptaJose) April 29, 2018
Stadium Deportivo, Estadio Riazor kini menjadi antara tempat ‘pemburuan’ kesukaan Messi dimana beliau telah menjaringkan 13 gol secara keseluruhan sepanjang kariernya. Catatan tersebut juga telah melepasi jumlah gol yang dijaringkan beliau di stadium milik Real Madrid, Santiago Bernabeu iaitu 11 gol.
Barcelona masih lagi belum kalah musim ini dan dengan perlawanan berbaki 4 sahaja lagi, mereka dijangka mampu mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini sekiranya dapat mengelakkan kekalahan apabila Real Madrid berkunjung ke Nou Camp 7 Mei nanti.